Dalam tradisi seni
persembahan seperti kathakali, therukuttu dan
wayang kulit di Benua Kecil India, kisah-kisah yang dipersembahkan adalah
cerita-cerita yang sudah diketahui umum. Namun, masyarakat pada masa lalu tetap
khusyuk mengikuti persembahan yang diadakan berjam-jam lamanya.
Tentu sahaja peredaran
masa dan perkembangan teknologi sudah mengubah segala keadaan itu yang kini
hanya tinggal sebagai nostalgia. Namun begitu, diaspora India di seluruh dunia
tidak pula melupakan kisah-kisah tradisional berbentuk epik, mitos, purana, cerita dongeng dan cerita rakyat
yang menjadi sebahagian daripada identiti dan jati diri walau di mana mereka
berada.
Terdapat lima karya agung Tamil yang disebut kaapiyam
dan menjadi kebanggaan masyarakat keturunan Tamil di serata dunia. Karya-karya
berkenaan adalah Silappatikaram tulisan Ilango Adigal pada abad ke-6, Manimegalai oleh Seeththalai Sathanar (tahun 550-650 Masehi), Civaka Cintamani oleh Thiruththakka
Thevar (abad ke-9), Valayaapathi
(abad ke-9) dan Kundalakesi (abad
ke-10).
Ada juga pengkaji
sastera Tamil di Tamil Nadu, India yang memasukkan lima lagi karya dalam
senarai kaapiyam; iaitu Choolamani oleh Thola Mozhithevar (abad
ke-10), Neelakesi (abad ke-10), Yesodhara Kaaviyam, Udayana Kumara Kaaviyam dan Nagakumara
Kaaviyam.
Walaupun majoriti
penduduk kaum India di Malaysia adalah keturunan Tamil, bukanlah sesuatu yang
menghairankan jika saya katakan bahawa tidak semua bekas murid Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT) dan pencinta Bahasa Tamil di negara ini tahu akan
kandungan – bukan setakat menyebut senarai judul – karya-karya agung Tamil ini.
Sebaliknya, kaum India
di seluruh dunia – serta majoriti penduduk di seluruh pelosok dunia – lebih
mengenali epik Ramayana dan Mahabharata yang pada asalnya
ditulis dalam Bahasa Sanskrit; kemudian diterjemah ke bahasa-bahasa utama di
India dan seterusnya ke pelbagai bahasa utama dunia.
Kisah-kisah dari kedua-dua
epik klasik ini sering diangkat dalam persembahan kutiyattam, kathakali, yakshgana, ramlila dan therukuttu di
India. Di Kerala dan Mysore, Ramayana
dan Mahabharata menjadi sumber bahan
cerita bagi pertunjukan wayang kulit; sepertimana di Malaysia, Indonesia dan
Thailand.
Malah, bentuk-bentuk
seni persembahan seperti wayang wong dan tari puteri di Indonesia, serta nang yai, nang talung dan khon di
Thailand juga mengambil kisah daripada epik klasik India.
Rata-rata masyarakat
India di Malaysia – tanpa mengira aliran bahasa pengantar di sekolah rendah –
lebih mesra dengan epik Ramayana dan Mahabharata berbanding kaapiyam yang disebutkan. Hal ini tidak
bermaskud untuk meremehkan kehebatan karya agung Tamil; sebaliknya sekadar
menyatakan hakikat sebenar.
Sudah saya nyatakan
tadi bahawa peredaran masa dan perkembangan teknologi mengubah cara masyarakat
menghayati persembahan tradisional. Fenomena ini bersifat universal dan mahu
tidak mahu, terpaksa dihadapi dengan fikiran terbuka.
Apa yang menarik, epik Ramayana dan Mahabharata ternyata masih tahan diuji zaman dan terus popular
dalam kalangan masyarakat dunia. Drama bersiri berdasarkan kedua-dua epik
berkenaan masih ditayangkan di televisyen serta dialih ke pelbagai bahasa
dunia.
Filem-filem animasi
berdasarkan kisah Ramayana dan Mahabharata juga sering dikeluarkan di
beberapa negara. Terkini, saya berpeluang menonton dua filem animasi dari
negara India yang membuktikan bahawa epik klasik India – khususnya Mahabharata – terus segar-malar dalam
jiwa masyarakat dunia.
Pada 3 Oktober 2012, saya menonton filem
animasi komputer hebat berjudul Krishna Aur Kans (2012) yang
memaparkan kisah Dewa Krishna sejak lahir hingga berusia sepuluh tahun.
Walaupun Krishna adalah wira (hero) dalam cerita ini, dia tidak muncul
pada separuh pertama filem. Sebaliknya kisah awal menampilkan kezaliman Kans
yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai impiannya menjadi pemerintah
kuku besi.
Sebagaimana dalam seni persembahan
tradisional India, khalayak sudah sedia tahu kisah yang bakal disajikan.
Begitulah juga dengan saya apabila menonton filem animasi komputer ini.
Walaupun kisah yang ditonton adalah apa yang sudah diketahui (dibaca) sejak
usia kanak-kanak, saya tetap beminat untuk menyaksikan filem ini dari mula
hingga akhir.
Kisah yang disajikan hanyalah sehingga
Krishna berusia sepuluh tahun. Kebanyakan peristiwa penting dalam epik, purana dan mitos klasik berkaitan dewa
ini terpaksa diceritakan sepintas lalu. Maka, penonton akan lebih mampu
menghayati filem ini jika sudah sedia tahu pelbagai kisah mengenai zaman
kanak-kanak Dewa Krishna. Pada masa sama, harus dinyatakan bahawa filem ini
penuh dengan unsur agama Hindu dan wajar dijauhi
oleh sesiapa yang sedar keimanannya terlalu tipis dan mudah tergugat.
Sebuah lagi filem animasi komputer yang
sempat saya tonton adalah Arjun: The Warrior Prince (2012)
yang mengangkat kisah daripada epik Mahabharata.
Watak Krishna masih hadir dalam kisah ini; tetapi dia hanya ditampilkan sebagai
“manusia” dalam filem ini. Mungkin juga kerana tumpuan mahu diberikan kepada
keperwiraan Arjun (atau Arjuna).
Harus dinyatakan bahawa epik Mahabharata dan Ramayana serta teks klasik lain dari India sentiasa diberi
interpretasi baru oleh para pengkaji. Maka, pasti sahaja filem Krishna Aur Kans dan Arjun: The Warrior Prince tidak seratus
peratus sama dengan teks asal yang ditulis dalam Bahasa Sanskrit.
Filem Arjun:
The Warrior Prince yang saya tonton pada 1 Oktober 2012 disajikan dalam
animasi komputer yang lebih hidup dan bernyawa. Hal ini tidak menghairankan
kerana rasa-rasanya filem keluaran UTV Motion Pictures dan Walt Disney Pictures
ini menggunakan teknik motion capture
atau motion tracking seperti yang
kita lihat dalam filem Rise of the Planet of the Apes (2011).
Sekali lagi, Mahabharata adalah sebuah epik yang panjang dan amat kompleks.
Kebetulan, saya sekarang dalam proses membaca bab demi bab karya berkenaan yang
diakui sebagai teks puisi terpanjang di dunia. Maka,
filem animasi arahan Arnab Chaudhuri hanya mengangkat kisah yang berlaku
sehingga ke saat tempoh pembuangan Pandava berakhir.
Sebagaimana dengan filem Krishna Aur Kans, orang ramai akan lebih
berjaya menghayati filem hebat ini mengenai Arjuna sekiranya sudah sedia tahu
kisah Mahabharata. Khalayak di
Malaysia dan Indonesia – tanpa mengira kaum dan agama – sepatutnya tidak
menghadapi masalah kerana Ramayana
dan Mahabharata tidak asing dalam
kehidupan kita.
Filem Arjun:
The Warrior Prince menampilkan suatu twist atau kejutan yang amat saya suka. Dalam cerpen berjudul “Laksamana Arjuna”, saya mengangkat watak
Vrihanala yang kurang dikenali dalam epik Mahabharata.
Watak ini hanya wujud sepanjang tempoh satu tahun terakhir apabila golongan
Pandava tinggal di istana Raja Virata sebaik tamat
tempoh pembuangan selama 12 tahun.
Watak Vrihanala juga memainkan peranan
penting dalam filem ini. Peranan Dewa Krishna pula diminimumkan. Mungkin kerana
kisah yang ditampilkan menerusi filem animasi ini berakhir sebelum perang besar
(“maha bharata yudha”) bermula dan
sebelum Dewa Krishna sempat memberi tunjuk ajar (“bhagavad gita”) kepada Arjuna di medan perang.
Bagi khalayak yang sudah sedia tahu kisah
tentang Krishna dan Arjuna, kedua-dua filem animasi ini pasti memberikan
kepuasan dan keseronokan apabila ditonton bersama-sama keluarga. Ternyata watak-watak
wira daripada pelbagai epik klasik India akan terus hidup bersama-sama
perkembangan teknologi dan mampu pula “bersaing” dengan adiwira (superhero) dari Amerika Syarikat untuk
mendapat tempat di hati generasi muda.
(Makalah
ini ditulis pada 12 Oktober 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 15 Oktober
2012. © Uthaya Sankar SB)