28 May 2010

Silappadikaram

Silappadikaram juga disebut Cilappatikaram dan Cilappadhikaram. Ia adalah satu daripada lima epik agung dalam sastera klasik Bahasa Tamil.
.

Silappadikaram merakamkan citra hidup masyarakat di India Selatan pada kurun kedua. Penulis epik ini ialah Putera Ilango Adigal, iaitu adik kepada Raja Chenguttuvan yang memerintah kerajaan Chera di negeri Kerala, India Selatan.

.

Tidak hairanlah epik ini mengisahkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di tiga kerajaan besar di India Selatan; iaitu di kerajaan Chera, Chola dan Pandian.

.

Silappadikaram pada asasnya mengangkat tiga tema yang berkaitan dengan kebenaran hakiki; iaitu (1) raja yang gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab akan menerima hukuman yang setimpal, (2) wanita yang suci dan setia terhadap suami akan disegani, (3) nasib dan takdir ketentuan Tuhan tidak boleh diubah oleh manusia.

.

Watak-watak utama dalam epik ini ialah Kovalan dan Kannagi. Kovalan dituduh mencuri gelang kaki permaisuri kerajaan Pandian, lalu dihukum bunuh. Demi menuntut keadilan, isterinya, Kannagi menyumpah seluruh kota Madurai musnah dalam kebakaran.

..

Nota: Maklumat ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB untuk sebuah ensiklopedia pelajar tetapi tidak diketahui sama ada ensiklopedia berkenaan sudah terbit.