Wednesday, 2 June 2010

Bhagavad Gita

Bhagavad Gita adalah satu bab daripada epik Mahabharata yang ditulis dalam bahasa Sanskrit oleh Vyasa antara kurun ke-5 Sebelum Masehi dan kurun ke-2 Masehi. Epik Mahabharata diakui sebagai teks puisi terpanjang di dunia.
..
Epik ini mengisahkan perang saudara antara golongan Kauruva (seramai seratus orang) dan golongan Pandava (seramai lima orang) berikutan tindakan golongan Kauruva merampas kerajaan daripada golongan Pandava secara tipu muslihat.
..
Bab keenam dalam Mahabharata adalah Bhagavad Gita, dan bahagian ini dianggap sebagai sebuah teks suci yang boleh berdiri sendiri. Judul epik ini boleh diterjemahkan sebagai “Nyanyian Tuhan”.
..
Keseluruhan teks adalah dialog antara Arjuna dan Krishna. Arjuna ialah anak ketiga dalam golongan Pandava manakala Krishna ialah Dewa Vishnu yang menjelma sebagai bapa saudara golongan Pandava dalam teks Mahabharata.
..
Perang bermula antara golongan Kauruva dan golongan Pandava apabila rundingan damai gagal. Semasa Arjuna pergi ke medan perang, Krishna menawarkan diri menjadi pemandu kereta kuda. Dialog yang berlaku antara Arjuna dan Krishna sepanjang perang itulah merupakan bab keenam Mahabharata dan diberi judul Bhagavad Gita.
..
Krishna memberi pelbagai tunjuk ajar, panduan, nasihat, motivasi dan bimbingan kepada Arjuna. Memandangkan bab keenam itu mempunyai ciri-ciri yang sempurna sebagai sebuah karya epik, ia diberi judul Bhagavad Gita dan dianggap sebagai epik suci yang boleh berdiri sendiri.

..
Nota: Maklumat ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB untuk sebuah ensiklopedia pelajar tetapi tidak diketahui sama ada ensiklopedia berkenaan sudah terbit. Baca kisah Mahabharata DI SINI dan Ramayana DI SINI.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!