Kalaulah saya secara membuta-tuli ditakdirkan
percaya bulat-bulat pada panduan yang khabarnya disahkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM), maka saya akan mula memikirkan serta mempercayai
bahawa majoriti rakan-rakan saya adalah golongan lesbian, gay, biseksual dan
transgender (LGBT).
Apatah lagi, Bernama dan Utusan Online
pada 12 September 2012 melaporkan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad
Zarkashi sebagai berkata bahawa “tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang
memahami atau mengenali simptom LGBT, khususnya tanda-tanda awal terjebak”.
Laporan penuh di akhbar Sin Chew Daily pada keesokan hari
memberi gambaran lanjut yang sekadar membuktikan kekhilafan dan kejahilan KPM dan
sekutunya terhadap isu sebenar. Apatah lagi apabila dilaporkan bahawa
kementerian berkenaan mengesahkan (mengendors, kata Kamus Dewan) garis panduan berkenaan yang diterbitkan oleh Yayasan
Guru Malaysia Bhd serta Majlis Rundingan Persatuan Ibubapa dan Guru Putrajaya.
“Dimaklumkan juga bahawa seminar ini adalah
anjuran NGO yang prihatin terhadap isu tersebut.” Demikian kenyataan di laman Facebook “Official: Kementerian
Pelajaran Malaysia” pada 15 September 2012.
Panduan yang dikeluarkan pada Seminar
Keibubapaan Dalam Menangani Isu LGBT di Georgetown, Pulau Pinang kononnya bertujuan membantu ibu bapa dan guru mengenal pasti
tanda-tanda (simptom, kata Kamus Dewan)
LGBT dalam kalangan pelajar dan remaja.
Serta-merta panduan yang bodoh dan
membuktikan kejahilan itu mendapat maklum balas daripada orang ramai; tidak
sekadar golongan LGBT. Namun, tentulah reaksi itu tidak disiarkan media arus
perdana. Mujurlah ada media alternatif dan jaringan media sosial seperti Facebook untuk membantu orang ramai
mendapatkan fakta sebenar.
Menurut panduan yang dikeluarkan “NGO yang
prihatin” itu, tanda-tanda seorang remaja/pelajar menjadi gay adalah apabila
dia memiliki (atau mahu memiliki) tubuh yang berotot (muscular); serta suka menayangkan tubuhnya dengan cara memakai
pakaian yang mendedahkan seperti kemeja berkolar potongan V (V-neck) dan kemeja-T tanpa lengan.
Pakaian yang digemari golongan gay –
menurut panduan yang disediakan “pakar-pakar” itu – adalah pakaian ketat dan
warna terang. Mereka juga suka membawa beg tangan menyerupai beg tangan wanita.
Tanda-tanda untuk mengenal pasti
remaja/pelajar perempuan yang mengamalkan cara hidup lesbian adalah lebih
mudah: Mereka suka meluangkan masa (“hanging
out”) dan makan (“dining”)
bersama-sama wanita.
Saya katakan “lebih mudah” kerana sekiranya
panduan bodoh itu dijadikan ... err, panduan ... maka setiap wanita yang normal
adalah lesbian. Lihat sahaja pada waktu rehat panjang setiap hari Jumaat,
berapa ramai wanita yang meluangkan masa, makan dan membeli-belah bersama-sama
“teman” wanita!
Sebagai seorang pengamal media dan
perunding media, saya dapat melihat betapa Barisan Nasional (BN) sedang
menggali kubur sendiri (atau melakukan sabotaj dari dalam) melalui pelbagai
tindakan “kurang bijak” (baca: bodoh) sejak belakangan ini.
Petikan perenggan di atas adalah daripada
tulisan saya bertajuk “Tweet dan pertahan Putrajaya?” (TMI, 3 September 2012) dan ternyata
masih sesuai bagi menjelaskan perkembangan terbaru berkaitan isu LGBT.
Pada awal November 2011, pernah kecoh tentang
program Seksualiti Merdeka yang dikatakan menggalakkan seks bebas. Salah
seorang individu yang saya wawancara bagi makalah “Apa kes Seksualiti Merdeka?” (TMI, 29 November 2011) berkongsi
pendapat bahawa orang politik mula bersuara lantang menentang LGBT kerana
“Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir”.
Saya tidak dapat menolak pandangan itu
kerana setiap kali menjelang pilihan raya, politikus dan juak-juaknya akan
semakin teruja untuk mempamerkan kebodohan yang sudah mendarah-daging dalam
diri mereka. Kalau tidak percaya, beranikanlah diri membaca akhbar-akhbar
dan/atau menonton berita di stesen televisyen yang dikuasai pihak berkenaan.
Berbalik pada panduan yang disediakan oleh
“NGO yang prihatin” dan “diendors” KPM (atau sekurang-kurangnya oleh Puad?),
terbukti ia menjadi bahan lawak terbaik pada masa kini – sebagai tambahan
kepada pelbagai lawak bodoh yang dipersembahkan Badut Paul Lathic setiap hari,
tentunya.
Misalnya,
dinyatakan bahawa tanda-tanda seorang gay adalah apabila dia memiliki
(atau mahu memiliki) tubuh yang berotot (muscular).
Jangan lupa bahawa “panduan pakar” ini adalah bagi membantu guru dan ibu bapa
memantau pelajar/remaja. Maknanya, ibu bapa perlu berhati-hati jika anak mereka
memiliki (atau mahu memiliki) tubuh yang berotot. Untuk itu, secara logik,
remaja berkenaan akan berminat pergi ke gimnasium.
Saya menghubungi beberapa rakan yang
mengusahakan dan/atau menjadi jurulatih di gimnasium di sekitar Lembah Klang.
Mereka mengesahkan bahawa umur minimum untuk menjadi ahli di gimnasium adalah
18 tahun. Ada kelonggaran bersyarat bagi remaja bawah umur jika datang
mendaftar bersama-sama ibu/bapa.
Maka, sekiranya ada ibu bapa yang cukup
bodoh untuk akur pada “panduan pakar” yang disediakan oleh “NGO yang prihatin”
maka bayangkan apa yang akan berlaku kepada remaja yang mahu pergi ke gimnasium
bagi tujuan kesihatan dan menambah otot pada tubuh.
Saya mempunyai alasan untuk mempercayai
bahawa segala tindakan bodoh seperti ini yang dilakukan pihak tertentu
sebenarnya berniat jahat dan secara jelas mahu menzalimi golongan minoriti. Kelompok
monoriti memang sentiasa menjadi mangsa di negara bertuah ini. Malah, dengan
“sokongan” pemerintah.
Seperti yang saya tegaskan dalam novel Panchayat: Edisi Khas (2012), saya
menentang sekeras-kerasnya segala bentuk penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan
penipuan oleh mana-mana pihak; khususnya politikus dan
pihak berkuasa.
Dua hari lalu, kenyataan akhbar dikeluarkan
menerusi Facebook oleh “Official:
Kementerian Pelajaran Malaysia” untuk menjelaskan bahawa “KPM tidak pernah
mengesahkan kepada mana-mana pihak untuk menyediakan atau mengeluarkan garis
panduan tersebut untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.”
Kenyataan akhbar yang sama turut
mengesahkan, “KPM juga memandang berat kes-kes gejala sosial yang berlaku dalam
masyarakat dan sentiasa memberi bimbingan secara langsung dan tidak langsung
kepada semua murid untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan
gejala-gejala yang tidak sihat.”
Khabarnya Seminar Keibubapaan Dalam
Menangani Isu LGBT sudah diadakan sebanyak sepuluh kali di Selangor, Perak,
Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Ya, tentu sahaja oleh “NGO yang prihatin” dan
saya percaya “KPM tidak pernah mengesahkan” apa-apa yang dilakukan penganjur
terbabit untuk merosakkan (meracuni) minda masyarakat.
Pada 14 September 2012, saya menghadiri
jamuan perpisahan di Brickfields bagi seorang rakan yang akan melanjutkan
pelajaran di luar negara. Saya sengaja memakai kemeja-T ketat dan berkolar V
sebagai tanda bantahan terhadap garis panduan yang dikeluarkan “NGO yang
prihatin”.
Biasanya saya jarang memakai V-neck dan tidak pernah membawa beg
tangan menyerupai beg tangan wanita. Malah, saya kurus dan tidak termasuk dalam
kategori “muscular”. Dengan adanya
garis panduan yang kini dijaja ke seluruh negara, saya boleh menarik nafas lega
kerana orang ramai tidak akan tersalah tafsir beberapa foto terbaru yang
diambil di Alfiearth Studio pada 2 September 2012 di mana saya tampil tidak
berbaju (barechested).
Sementara itu, sekiranya anda melakukan
pencarian di Google, anda akan
menemui foto-foto di mana Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri tercinta),
Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri tercinta) dan Khairy
Jamaluddin Abu Bakar (Ketua Pemuda Umno tercinta) memakai kemeja dengan kolar
potongan V.
Tentu ibu bapa dan keluarga para pemimpin
BN itu perlu membaca garis panduan yang disediakan “NGO yang prihatin” dan
mengambil tindakan segera sebelum Najib, Hishammuddin dan Khairy “terjebak
dengan gejala-gejala yang tidak sihat” seperti dibimbangi pemerintah.
(Uthaya Sankar SB menampilkan watak LGBT
dalam novel UGUT yang pernah disiarkan secara
bersiri di TMI. Makalah ini ditulis pada 15 September 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 17 September
2012. © Uthaya Sankar SB 2012.)