27 Oct 2012

Buku Jalanan

[Sekumpulan anak muda “menjajah” ruang awam untuk menyemarakkan minat membaca.]
 
Apabila saya berpeluang menghadiri acara “Buku Jalanan” di Taman Tasik Shah Alam pada 6 Oktober 2012, saya terasa amat kagum dengan usaha yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda untuk memasyarakatkan budaya membaca serta menyemarakkan aktiviti seni dan sastera berjiwa rakyat.
 
Kita sering menyaksikan aktiviti seumpama ini digerakkan oleh pertubuhan tertentu yang mendapat dana daripada kerajaan secara berkala. Bagaimanapun, Buku Jalanan yang dijalankan dua minggu sekali sejak setahun lalu dijayakan tanpa bantuan kewangan mana-mana pihak berkuasa.
 
Saya pertama kali mendapat maklumat mengenai acara ini daripada Muhammad Zikri Abdul Rahman, pelajar ijazah sarjana muda ukur bahan, UiTM Shah Alam yang menghubungi saya untuk terlibat sama dalam aktiviti santai yang dianjurkan.
 
Pada 6 Oktober 2012, saya memenuhi undangan untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan sedikit ilmu berhubung topik pengharaman buku, hak cipta, hak royalti dan seumpamanya. Sepanjang berada di lokasi dari sekitar 5 petang hingga 8 malam, saya sangat kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak muda yang menjayakan aktiviti tersebut.
 
Menurut Zikri, Buku Jalanan adalah idea kolektif kumpulan “Mas Joko dan Rakan-rakan” yang ditunjangi olehnya bersama-sama Azrie Ahmad dan Mohd Idham Ismail.
 
“Kami terdedah dengan idea penggunaan ruang awam sebagai ruang ilmu. Untuk inspirasi dan pemahaman konsep dengan lanjut, kami rujuk video berjudul ‘Street Books’ di YouTube,” kata pemuda kelahiran Kuala Lumpur itu.
 
Memandangkan kumpulan anak muda ini menggunakan tempat awam, iaitu Taman Tasik Shah Alam, untuk mengadakan aktiviti, saya tertanya-tanya juga sama ada mereka perlu (baca: terpaksa) mendapatkan izin bertulis dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
 
Ruang awam adalah milik semua
 
“Tidak, kerana ia sebuah ruang awam dan kami bergerak tidak untuk keuntungan,” Zikri memberikan jawapan yang memang amat logik.
 
Kita sering dimomokkan dengan peraturan dan undang-undang bahawa sekiranya lebih daripada lima orang berkumpul, maka perlu mendapatkan permit perhimpunan. Kumpulan anak muda ini pula berjaya membuktikan bahawa masyarakat berhak untuk berkumpul dan berhimpun di tempat awam secara bebas – khususnya memandangkan mereka hanya menjalankan aktiviti menyemarakkan seni dan sastera serta meningkatkan budaya membaca dalam kalangan orang ramai.
 
Antara aktiviti yang biasanya diadakan adalah conteng-conteng (aktiviti melukis), instalasi seni, pinjaman buku kepada orang awam, sesi baca sajak, bermain muzik, bedah karya dan pasar percuma.
 
Menurut Zikri, acara Buku Jalanan sudah diadakan sebanyak 20 kali sejak setahun lalu. Pasti ini merupakan suatu pencapaian yang amat membanggakan dan wajar “ditiru” oleh pihak kementerian berkenaan yang turut berusaha gigih bagi menyemarakkan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.
 
“Sehingga kini, rakan-rakan yang terlibat dalam Buku Jalanan amat bersemangat dan teruja. Sambutan yang diterima daripada orang awam dan pengunjung juga cukup hangat,” kata Zikri yang kini tinggal di Sungai Buloh.
 
Acara Buku Jalanan sudah merebak di pelbagai tempat lain di seluruh negara. Jaringan perkongsian idea dan maklumat menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook membolehkan penggiat Buku Jalanan di pelbagai lokasi berbeza sentiasa mengetahui perkembangan aktiviti di tempat lain.
 
“Sehingga kini, Buku Jalanan beroperasi di sembilan lokasi iaitu Shah Alam, Padang Kota (Pulau Pinang), Padang Polo (Ipoh), Dataran Pahlawan (Melaka), Taman Tasik Titiwangsa (Kuala Lumpur), Taman Tasik Sermban, Kota Kinabalu, Kuching dan Pasir Gudang,” Zikri menyenaraikan dengan bangga.
 
Maklumat mengenai aktiviti terkini kesemua cadang Buku Jalanan itu boleh dirujuk di Facebook. Foto-foto aktiviti dan laporan juga dikongsi di blog sebagai usaha mempromosi kegiatan positif dan bermanfaat ini.
 
Bukan hangat-hangat tahi ayam
 
“Sambutan dan sokongan yang kami terima daripada pelbagai pihak juga sangat menggalakkan. Misalnya, kami bekerjasama dengan Zine Satu Malam untuk acara Puisi Satu Petang dan bersama NGO Hijau untuk menjayakan aktiviti gotong-royong. Sesi bedah buku bersama Firdaus Zolkifli, Akademi Pak Sako, Nizang, Zach Van Alley dan Kolektif Kaki Ketik juga diadakan.
 
“Bersama-sama Frinjan, kami buat persembahan Patung Patung yang ditunjangi Haiyi Ilmam dan Mohd Hafiz Hafifuddin. Aktiviti lain setakat ini termasuk persembahan akustik oleh The Pips dan Orkes Rakyat Tertindasm solidariti bersama-sama Occupy Shah Alam, Projek Kucing Puncak serta sesi taklimat Buku Jalanan di KAED Festi, UIA dan ArchiFest, UiTM Shah Alam,” pemuda yang penuh bersemangat itu menghuraikan.
 
Suatu budaya dalam kalangan masyarakat kita adalah “hangat-hangat tahi ayam”. Apakah nasib sama akan melanda Buku Jalanan? Demikian pertanyaan yang saya ajukan kepada Zikri.
 
Katanya, sejak setahun lalu, sambutan orang awam terhadap Buku Jalanan – di Shah Alam dan juga di lokasi-lokasi lain – semakin meningkat. Zikri mengakui bahawa masih banyak ruang yang boleh diperbaiki sekiranya mendapat kerjasama dan bimbingan pelbagai pihak yang mahu sama-sama terlibat dalam menjayakan usaha menyemarakkan budaya membaca.
 
Apa yang pasti, Zikri dan rakan-rakannya tidak mahu membiarkan Buku Jalanan menemui jalan buntu dalam masa terdekat. Walaupun selepas sebahagian daripada mereka sudah menamatkan pengajian nanti, akiviti ini akan tetap diteruskan oleh rakan-rakan dan pelapis yang terlibat sama.
 
Hasil pemerhatian pada 6 Oktober 2012, saya dapati bahawa Buku Jalanan adalah acara yang amat wajar diteruskan. Wakil dari lapan lokasi lain turut hadir untuk berkongsi pengalaman dan mengeratkan silatulrahim. Saya dapat merasakan semangat dan aura positif yang wajar disuburkan dan diberikan suntikan oleh pelbagai pihak.
 
Kekurangan dana cetus idea kreatif
 
Banyak perkara positif yang diterapkan melalui aktiviti Buku Jalanan, selain membaca, seni dan sastera. Saya perhatikan bagaimana mereka mengitar semula sepanduk-sepanduk lama untuk dijadikan tikar dan alas duduk sepanjang acara.
 
“Hasil daripada kesedaran terhadap pentingnya penggunaan semula barang-barang terbiar serta disebabkan keterdesakan dana kerana Buku Jalanan berlangsung atas dasar bukan mencari keuntungan, maka menyebabkan idea pengunaan sumber kitar semula datang dari pengurusan strategik hasil perbincangan bersama,” Zikri mengakui.
 
Satu lagi aspek penting Buku Jalanan adalah peluang orang awam meminjam buku selama dua minggu. Menurut Zikri, sambutan yang diterima semakin menggalakkan. Malah, pihaknya tidak risau atau mengenakan denda jika ada peminjam yang terlewat memulangkan buku.
 
“Dari segi tempoh peminjaman, kami agak fleksibel dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada peminjam. Setakat ini, kami tidak mengklasifikasikan bahan bacaan yang tidak dipulang sebagai hilang. Sebaliknya dianggap masih dipinjam bagi tempoh lebih panjang,” katanya sambil menambah bahawa pernah ada peminjam yang memulangkan buku selepas empat bulan.
 
Buku Jalanan yang amat istimewa ini berdiri atas konsep “aktivisme, seni dan bacaan”. Moto bagi Buku Jalanan Shah Alam adalah “membenih ilmu, mengakar pengetahuan” manakala cabang-cabang lain mempunyai moto masing-masing.
 
Semoga konsep yang diterapkan anak-anak muda ini menerusi Buku Jalanan terus semarak dan menjadikan membaca budaya masyarakat kita.
 
(Makalah ini ditulis pada 12 Oktober 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 15 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Maklumat lanjut boleh didapatkan di www.facebook.com/bukujalanan atau e-mel bukujalanan@gmail.com)