[Usaha memperjuangkan hak royalti penulis secara serius bermula
dengan perbincangan bersama seorang rakan peguam.]
Saya, Nisah Haron
dan Zamri Mohamad antara penulis yang diundang
menghadiri pre council bagi Mesyuarat
Anggota Majlis, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Sesi 2010-2012 di
Bangunan Mustapha Kamal, Cyberjaya pada 5 Julai 2010.
Ya, saya tahu bahawa ini adalah kisah lama
tetapi amat menarik untuk meneliti beberapa perkara berkaitan isu hak cipta dan
royalti melibatkan golongan penulis.
Kami bertiga secara tidak langsung, antara
lain, mewakili penulis, penggiat sastera, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
dan penulis-penerbit-aktivis dalam mesyuarat itu; walaupun saya beraral untuk
menghadiri mesyuarat-mesyuarat seterusnya.
Apabila memperkatakan mengenai Dasar Perbukuan Negara (Dasar Buku
Negara), terdapat wakil bagi penerbit, pengedar buku dan pelbagai pihak yang
terlibat dalam perusahaan perbukuan. Bagaimanapun, tidak demikian halnya dengan
kelompok penulis.
Selepas mesyuarat berkenaan, saya dan Nisah
sempat duduk berbual mengenai perkara itu kerana kami sama-sama “bimbang”
memikirkan soal kebajikan dan hak golongan penulis di negara ini.
Memandangkan kod dan etika penggiat
perusahaan perbukuan turut disentuh dalam mesyuarat pada hari berkenaan, saya
dan Nisah sependapat bahawa belum ada pihak – setahu kami – yang benar-benar
mewakili kelompok penulis dalam isu-isu berkaitan kod, etika, hak cipta,
royalti, harta intelek, penterjemahan dan pelbagai isu yang dekat dengan jiwa
penulis.
Saya tidak menafikan wujud begitu banyak
persatuan penulis; malah Nisah “orang kuat” Persatuan Penulis Negeri Sembilan
(PEN) manakala saya bersama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 1999.
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa
kebanyakan persatuan penulis tidak sepenuhnya diterajui “penulis” (dan yang
masih “menulis”) sebagai jawatankuasa. Hal ini tidak salah dan langsung tidak
dipersoalkan kerana selaras Perlembangaan masing-masing persatuan berkenaan.
Bagaimanapun, saya dan Nisah sependapat
bahawa perlu ada kelompok “penulis” yang boleh dipertanggungjawabkan mewakili
golongan “penulis” untuk bersuara dan menangani isu-isu yang berkait secara
langsung dengan penulis dan kerja-kerja penulisan.
Misalnya (dan tidak terhad kepada) isu hak
cipta, royalti, plagiat, undang-undang, ditipu penerbit, ditipu penganjur
aktiviti, proses menerbitkan buku sendiri, promosi dan pengedaran.
Dalam isu-isu berkaitan perundangan,
golongan penulis amat bertuah kerana kita mempunyai Nisah yang boleh dijadikan
pakar rujuk. Malangnya, kepakaran beliau kurang dimanfaatkan. Atau
sekurang-kurangnya boleh merujuk buku “Karya
Kita Hak Kita” (2008) yang beliau hasilkan berdasarkan kepakaran dalam
bidang undang-undang.
Apabila Dr Othman Puteh meninggal dunia pada 19
Oktober 2003, isteri Allahyarham menghadapi masalah berhubung pembayaran
royalti yang tertagguh. Mujurlah beberapa penulis tampil membantu Puan Timah
Baba menyelesaikan isu itu dengan pihak berwajib.
Pada tahun lalu, Timah Baba memberitahu
saya bahawa bayaran royalti arwah tersangkut lagi. Maka saya sendiri
menghubungi bahagian harta intelek di penerbitan terbabit dan meminta jasa baik
merungkaikan masalah. Malangnya saya diberitahu bahawa Timah Baba perlu pergi
sendiri untuk bertemu mereka bagi urusan lanjut.
Berbalik pada perbincangan antara saya dan
Nisah di Cyberjaya pada 5 Julai 2010, kami bersetuju untuk memulakan usaha
“mengesan” apakah masalah-masalah utama yang dihadapi oleh “penulis” secara
individu; bukan mewakili persatuan yang dianggotai.
Kami juga tentu sahaja mengharapkan
kerjasama, sokongan dan penglibatan lebih ramai penulis yang berpengalaman
untuk sama-sama “membantu” rakan-rakan penulis yang menghadapi masalah. Konsep
yang mahu kami berdua terapkan adalah amat mudah: “Penulis membantu penulis”.
Apabila masalah-masalah yang dihadapi sudah
dikumpulkan, senanglah untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bertindak. Mudah
juga untuk penulis “bersuara” mewakili golongan penulis.
Perlu dinyatakan bahawa usaha itu tidak
membelakangkan mana-mana persatuan penulis atau mana-mana organisasi. Malah,
sekiranya perlu, kami memang mahu menghubungi persatuan dan organisasi terbabit
untuk membantu kami menyelesaikan masalah yang dihadapi rakan-rakan penulis.
Saya dan Nisah sependapat dalam hal ini:
“Kalau bukan kita yang memulakan usaha ini, siapa lagi?” Demikian kami berdua
berbincang sekitar dua tahun lalu.
Dua hari kemudian, saya mencatatkan topik
itu di blog saya dan meminta mana-mana penulis (tanpa had umur dan latar
belakang) yang menghadapi sebarang masalah supaya mengirimkan maklumat ke
alamat e-mel saya dan Nisah untuk tindakan lanjut. [BACA DI SINI]
Tentu sahaja kami berdua juga
mengalu-alukan penyertaan rakan-rakan penulis yang berpengalaman dan sudi
tampil menjayakan usaha “melindungi” hak penulis. Saya turut menyatakan di blog
bahawa kami bukan menjadi “pembangkang” tetapi berusaha menjadi “pembantu”.
Maka, setahun kemudian – Julai 2011 –
apabila Rohani Deraman menghubungi saya menerusi Facebook untuk mengadu mengenai kes karyanya yang dijadikan teks
Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) tetapi dia tidak
menerima royalti, terbukti apa yang dibimbangi oleh saya dan Nisah sudah
benar-benar berlaku.
Beberapa penulis lain turut tampil
mengemukakan masalah sama selepas saya menulis artikel mengenai kes Rohani pada
Ogos 2011. Kesemua mereka melantik saya selaku pemilik tunggal “Perunding
Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya” untuk mewakili mereka dalam mencari
penyelesaian terbaik dalam isu royalti teks Komsas.
Segala maklumat berhubung isu royalti teks
Komsas boleh dirujuk di blog saya. Apa yang menarik, sejak
awal, saya sudah memaklumkan kepada “mangsa royalti teks Komsas” bahawa mungkin
sahaja mereka tidak akan berjaya mendapat royalti bagi teks berkenaan kerana
pasti ada pihak yang menggunakan pelbagai taktik kotor untuk menggagalkan usaha
menuntut hak itu.
Bagaimanapun, saya memberitahu mereka sejak
awal bahawa biarlah perjuangan mereka itu menjadi titik permulaan ke arah
memberi kesedaran kepada golongan penulis di negara ini mengenai isu-isu kod,
etika, hak cipta, royalti, harta intelek, penterjemahan dan pelbagai isu yang
dekat dengan jiwa penulis.
Satu lagi perkara yang saya nyatakan secara
hitam-putih dalam e-mel balasan saya kepada semua penulis terbabit adalah
bahawa tiada apa-apa bayaran dikenakan untuk “khidmat” yang diberikan dalam
membantu mereka menuntut hak royalti berkenaan.
Walaupun Nisah tidak terlibat secara
langsung dalam membantu saya dan Kavyan sepanjang menangani isu royalti teks
Komsas, buku “Karya Kita Hak Kita”
menjadi sumber rujukan yang sangat membantu. Apa yang saya bincangkan
bersama-sama Nisah di Cyberjaya pada 5 Julai 2010 juga menjadi “panduan” dan
“penguat semangat” bagi saya.
Pelbagai pihak yang terlibat dalam industri
penerbitan, perbukuan, penulisan, perundangan dan sebagainya – serta peminat
karya sastera tempatan – turut tampil membantu usaha menuntut hak royalti
secara langsung dan tidak langsung.
Memanglah ada puak tertentu yang cuba
mempolitikkan usaha murni itu dan mencuba pelbagai taktik kotor untuk
menggagalkan apa yang dilakukan. Mereka ternyata ada agenda tersendiri –
misalnya mengharapkan komisyen 50 peratus – apabila berusaha bersungguh-sungguh
untuk menghalang lima penulis terbabit dalam usaha menuntut hak royalti teks
Komsas.
Pada masa sama, ada juga individu yang
mengirim e-mel kepada penulis tertentu dan “menghasut” mereka supaya tidak
meminta bantuan daripada saya; walaupun individu terbabit (orang kuat sebuah
persatuan penulis) mengaku “tidak berani tampil membantu”.
Antara ayat yang digunakan oleh seorang
pegawai kerajaan pula adalah “saya harap penulis dapat beri kerjasama tanpa
melibatkan Uthaya Sankar SB” dan “saya yakin Allah akan bersama-sama kita
berbanding orang kafir”.
Frasa-frasa seperti “anti-Melayu”,
“pengkhianat”, “keling”, “kafir”, “p****” dan bermacam-macam lagi fitnah
disebarkan oleh golongan tidak bermaruah menggunakan pelbagai media dalam usaha
mereka memastikan perjuangan menutut hak royalti menemui kegagalan.
Anehnya, sejumlah individu yang
menggelarkan diri mereka sebagai “penulis” juga terlibat dalam perbuatan
terkutuk menafikan hak golongan penulis. Lebih pelik apabila golongan itu yang
secara terang-terangan bersikap etnosentrik (dan rasis) tidak pula berusaha
membantu kaum sendiri.
Seorang individu bernama “Rozais Al-Anamy” (mungkin nama samaran)
tampil memberi amaran kepada para penulis di Facebook pada 13 September 2011. Katanya, “Siapakah si Kitul dalam
rumah sastera sekarang? Awas dengan ‘perjuangannya’ yang kononnya mahu membela
nasib rakan seperjuangan.”
Di pihak saya dan Kavyan pula, semuanya
bermula pada Ogos 2011 sebagai usaha murni menuntut dan memperjuangkan hak penulis (tanpa mengira kaum dan agama). Bagaimanapun, apabila
isu sudah berjaya dibawa hingga kepada perhatian menteri terbabit di Putrajaya,
ada pula pihak yang tiba-tiba masuk campur dan menggunakan unsur-unsur
perkauman dan “penghinaan agama” semata-mata untuk menggagalkan usaha itu.
Mujurlah Nisah tidak terlibat sama secara
langsung dalam membantu Rohani Deraman, Amy Suzani Ainuddin, Hazama Harun, Mohd
Izan Abd Hazes dan Zaihanim Zainal Abidin menuntut hak royalti teks Komsas.
Kalau tidak, tentu dia turut dihina, difitnah, dituduh dan dilabel sebagai “pengkhianat”
dan “kafir”.
(Catatan ini ditulis pada 1 Jun 2012 berdasarkan
catatan di blog pada 5 Julai 2010 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 18 Jun 2012. Maklumat lengkap berhubung isu royalti teks Komsas boleh
dirujuk DI SINI. © Uthaya Sankar SB)