8 Oct 2012

Tweet dan pertahan Putrajaya?

Sambutan ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara diisi pelbagai insiden yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat yang sudah tidak boleh lagi diperkotak-katikkan.
 
Saya secara peribadi tidak kisah apabila rata-rata pengacara stesen radio Tamil melaungkan slogan muluk “1Malaysia” sepanjang siang dan malam. Akan tetapi, apa yang benar-benar menyakitkan telinga dan hati saya sejak sekitar dua minggu lalu adalah apabila mereka asyik membuat kenyataan “Malaysia terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India”.
 
Malah, salah sebuah lagu “1Malaysia” yang berkumandang hampir setiap hari menerusi MinnalFM (Tamil) memuatkan lirik yang jika diterjemahkan bermaksud “tiga kaum berganding bahu membentuk 1Malaysia”.
 
Apakah salah kalau kita melabel semua pihak terbabit dalam perkara ini sebagai orang bodoh? Atau mungkinkah sebenarnya ada perancangan berbentuk perang saraf untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan (Perdana Menteri tercinta) Datuk Seri Najib Tun Razak secara senyap dari dalam?
 
Apabila isu mengenai “Malaysia terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India” saya paparkan menerusi Facebook pada 30 Ogos 2012, ramai rakan-rakan dan kenalan tampil memberikan pandangan.
 
Ranjit Singh yang berasal dari Pulau Pinang dan kini bertugas di Miri mengakui bahawa “perkara seperti inilah yang menyebabkan kawan-kawan dari Sabah dan Sarawak sentiasa ‘terasa’ bukan sebahagian daripada Malaysia”.
 
Tidak hairanlah, rakan-rakan yang terdiri daripada etnik Iban, Bidayuh, Kadazan dan sebagainya sentiasa rasa tersisih walaupun dikatakan ‘bank’ oleh pemimpin dari Semenanjung Malaysia! Bukan sahaja pengacara radio tetapi keseluruhan warga Malaysia termasuk pemimpin negara perlu sedar bahawa komposisi kaum di Malaysia tidak hanya terdiri daripada Melayu, Cina dan India,” katanya.
 
Sehingga saat makalah ini ditulis, tiada sebarang reaksi atau pandangan daripada pihak terbabit, walaupun beberapa rakan dari stesen radio itu saya tandakan (tag) pada komen di Facebook.
 
Bagaimanapun, hasil pemerhatian saya, mulai 31 Ogos, pengacara stesen radio berkenaan sudah mula menggunakan frasa “pelbagai kaum” menggantikan “tiga kaum iaitu Melayu, Cina India”. Alhamdulillah.
 
Saya percaya penggunaan “Alhamdulillah” (Bahasa Arab) di atas tidak akan dipolitikkan mana-mana pihak. Tambahan pula, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini membuktikan bahawa rakyat “1Malaysia” tanpa mengira kaum dan agama memang sudah menggunakan frasa Bahasa Arab itu secara meluas untuk meluahkan rasa syukur.
 
Saya mendapat tahu akan perkara yang sangat menggembirakan ini menerusi kempen tweet #merdeka55 yang dipelopori (Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tercinta) Datuk Seri Dr Rais Yatim.
 
Utusan Online (31 Ogos 2012) melaporkan [BACA DI SINI] bahawa sebanyak 3.6 juta tweet dihantar dalam masa sejam sahaja semasa acara “Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati” di Stadium Nasional Bukit Jalil.
 
Khabarnya kempen itu bakal tercatat dalam The Malaysia Book of Records dan sijil rasmi akan disampaikan pada 16 September 2012 di Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia.
 
Berbalik pada frasa “Alhamdullilah” (dalam konteks Bahasa Arab, bukan dalam konteks mana-mana agama), kempen Twitter itu membuktikan ia sudah digunakan secara meluas oleh pelbagai kaum/agama di Malaysia.
 
Misalnya, “Alhamdulillah, wa syukurillah.kami sayang Malaysia. Terima kasih dgn kepimpinan @NajibRazak. Sambut #merdeka55 dgn amannya. @HishammuddinH2O” dihantar menerusi Twitter pada masa – malah saat – yang sama oleh Tan Chor Khai, Mansor Nor dan Nadaraja.
 
Laman PoliTweet melaporkan bahawa mesej yang sama dihantar sejumlah 111 pengguna Twitter. Pendedahan juga dilakukan pelbagai pihak mengenai kemungkinan rekod yang dicipta itu mengandung unsur penipuan.
 
Namun, saya mahu bersangka baik terhadap menteri tercinta dan konco-konconya. Apa yang penting adalah bahawa mulai 31 Ogos 2012, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bebas menggunakan frasa “Alhamdulillah” tanpa dilabel cuba mempersenda mana-mana kaum atau agama.
 
Sambutan di Bukit Jalil pada 31 Ogos juga sebenarnya memberi pengiktirafan terhadap sambutan oleh Rakyat di sekitar Dataran Merdeka pada 30 Ogos.
 
Hal ini amat nyata apabila Perdana Menteri tercinta dalam ucapannya di Bukit Jalil dilaporkan [BACA DI SINI] membandingkan perhimpunan anjuran Kerajaan Barisan Nasional dengan perhimpunan Janji Demokrasi anjuran Rakyat di Dataran Merdeka.
 
Sebaik sahaja perbandingan dilakukan, maka sudah terbukti ada unsur “pengiktirafan” dan “rasa bimbang”. Bernama melaporkan 150 ribu orang menyertai acara di Bukit Jalil; sementara 10 ribu orang dilaporkan menyertai acara di sekitar Dataran Merdeka pada malam sebelumnya.
 
Media alternatif melaporkan menteri tercinta mengumumkan bahawa majlis di Bukit Jalil “berjaya menghimpunkan 10,128 orang dengan catatan 3,611,323 tweet dalam masa sejam di antara jam 8.15 malam ke 9.15 malam”.
 
Saya bukanlah pengguna Twitter tegar. Namun, apabila terbukti – dan ada keraguan yang munasabah – bahawa ada unsur “penipuan” dalam penghantaran tweet berkenaan, apakah rekod yang dicipta itu masih sah?
 
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pernah menganjurkan acara “Baca Cerpen Kavyan” sempena Sambutan Kemerdekaan 2003 dan berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records berikutan pembacaan cerpen-cerpen secara berterusan selama 96 jam 32 minit.
 
Kalaulah kini tiba-tiba kempen tweet yang meragukan dan disyaki mengandungi unsur penipuan (oleh orang dalam? yang mahu sabotaj Perdana Menteri tercinta?) turut diiktiraf sebagai suatu rekod yang sah, maka betapa memalukan dan betapa suatu penghinaan bagi sekian ramai pemegang rekod yang sah dalam The Malaysia Book of Records.
 
Dalam pada itu, ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya pada 1 September, Perdana Menteri tercinta @ pengerusi Barisan Nasional @ presiden Umno dilaporkan “mahu barisan kepimpinan dan ahli Umno serta BN berganding bahu bagi membentuk ‘sekatan politik’ terhadap impian pakatan pembangkang yang mahu menduduki Putrajaya menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13”.
 
“Kalau mereka ada slogan ‘Roda to Putrajaya’, kita nak sekat mereka jangan sampai ke Putrajaya. ... Ini kerana mereka tidak layak duduk (memerintah) Putrajaya sebab kita yang membangunkannya,” tegasnya seperti dilaporkan di Utusan OnlineBACA DI SINI.
 
Perdana Menteri juga dilaporkan berkata, pakatan pembangkang sebenarnya tidak mampu memerintah negara dan mencipta kemajuan demi kemajuan dan kejayaan demi kejayaan seperti yang dilakukan oleh Umno dan BN sejak 55 tahun lalu.
 
Sebagai seorang pengamal media dan perunding media, saya dapat melihat betapa BN sedang menggali kubur sendiri (atau melakukan sabotaj dari dalam) melalui pelbagai tindakan “kurang bijak” (baca: bodoh) sejak belakangan ini.
 
Nampaknya ada golongan politikus tertentu yang terlupa bahawa mereka yang memegang kuasa pemerintahan dalam kerajaan sebenarnya diundi oleh Rakyat. Apabila mereka sudah diberi kuasa oleh Rakyat, tidak bermakna kuasa itu menjadi milik mutlak mereka.
 
Tidak hairanlah Zunar sentiasa tidak kering idea untuk melukis kartun kritikan politik! Pameran Kartun Zunar yang berlangsung di Galeri Shah Alam sehingga 9 September membuktikan hakikat ini.
 
Kalaulah politikus “sedar diri”, tidak akan ada politikus yang mendabik dada mengatakan mereka yang membangunkan itu dan ini. Bukankah itu tugas mereka selepas menerima “sedekah” berbentuk undi daripada Rakyat?
 
Biarlah Rakyat yang menentukan siapa menduduki Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13. Sementara itu, semoga politikus tidak terus membuat kenyataan-kenyataan atau kempen Twitter yang “memperbodohkan” atau “memperlekehkan” kuasa Rakyat.
 
[Makalah ini ditulis pada 2 September 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 3 September 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]