Semasa Perhimpunan Agung Ke-66 MIC
berlangsung selama sehari sahaja di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala
Lumpur pada 9 Disember 2012, saya berada di Melaka bagi menghadiri Perhimpunan
Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Saya tidak terasa rugi apabila tidak
“berpeluang” mengikuti perhimpunan agung itu yang dirasmikan Pengerusi Barisan
Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. Malah, hasil
daripada Perhimpunan Agung UMNO (27 November – 1 Disember 2012), saya sudah
dapat mengagak bahawa agenda mengutuk dan menyalahkan Pakatan Rakyat (PR) akan
diteruskan pada perhimpunan MIC.
Saya lebih tertarik untuk menumpukan
perhatian pada kenyataan dan keputusan yang dicapai pada perhimpunan itu bahawa
kaum India di negara ini adalah “deposit tetap” atau “aset tetap” bagi BN.
Walaupun saya bukan penyokong BN mahupun PR, kata-kata demikian merupakan suatu
penghinaan besar memandangkan saya juga termasuk dalam kategori “kaum India” dan saya juga “pengundi
berdaftar”.
Gambaran nyata yang diberikan adalah bahawa
kaum India di negara ini umpama komoditi dan aset yang dimiliki oleh pihak
tertentu serta mampu memberikan pulangan besar seperti diharapkan menerusi
pelaburan yang dilakukan. Dari segi definisi, Kamus Dewan menghuraikan “deposit
tetap” sebagai “simpanan wang yang tertentu lamanya (atau untuk jangka masa
yang ditetapkan) dengan mendapat bayaran faedah”.
Saya bersetuju dengan pandangan pengerusi
bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga yang menegaskan bahawa
politikus patut menggunakan otak untuk berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan
seperti ini yang merupakan suatu bentuk diskriminasi dan penghinaan.
Sejarah politik negara membuktikan
bagaimana kaum India sentiasa dianak-tirikan dan diberikan layanan kurang
berbanding kaum-kaum lain. Malah, label “pendatang” dan rujukan pada kasta masih dilakukan melalui pelbagai
cara yang licik untuk memastikan kaum India terus merasakan diri mereka
memiliki kedudukan yang sangat rendah; umpama debu di tapak kaki.
Dalam konteks negara kita, kaum India –
khususnya di bawah “naungan” parti politik tertentu yang mahu menjadi jaguh
tunggal mewakili kaum ini – terus diminta dan diasuh supaya bertenang dan
menerima sahaja apa-apa “cebisan daging dan tulang” yang dilontarkan oleh “mereka
yang berkuasa dan berada di atas sana”.
Selepas 55 tahun negara merdeka, akhirnya
kedudukan kaum India sudah disempitkan semata-mata sebagai “deposit tetap” bagi
memastikan BN boleh terus memerintah negara ini. Sementara kaum-kaum lain mungkin
menjadi “tuan” dan/atau memiliki kuasa politik dan ekonomi, pengundi kaum India
pula nampaknya hanya layak menjadi boneka.
Kalau kita meneliti sejarah silam Amerika
Syarikat, kita dapat perhatikan bagaimana tuan-tuan tanah akan berusaha
memiliki seramai mungkin hamba-abdi keturunan Afrika. Semakin ramai hamba
dimiliki – sebagai “deposit tetap” – maka semakin bertambah kuasa undi yang
dimiliki “tuan tanah” berkenaan.
Tidak hairanlah aktivis kaum India seperti
penasihat Yayasan Tamil, K. Arumugam serta A. Jayanath dari Saya Anak Bangsa
Malaysia (SABM) meluahkan rasa kecewa berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh
Najib. Kata-kata beliau – yang juga Perdana Menteri negara tercinta ini –
ternyata boleh ditafsir sebagai berbaur perkauman serta membuktikan wujud unsur
diskriminasi kaum di tengah-tengah laungan “1Malaysia” yang menggegarkan negara.
Sekiranya diperhatikan, kenyataan melabel,
menganggap dan memperlakukan kaum India sebagai “deposit tetap” berpunca
daripada keadaan terdesak politikus BN untuk memastikan mereka terus memegang
tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Detik
ketibaan PRU-13 semakin hampir dan Perdana Menteri serta sekutu politiknya
tidak ada ruang untuk berlari lagi. Mahu tidak mahu, realiti kuasa undi Rakyat (huruf besar
disengajakan) terpaksa diakui.
Akhbar Utusan
Malaysia (3 Disember 2012) melaporkan bahawa sokongan padu rakyat kepada
UMNO dan BN sehingga mencapai kemenangan majoriti dua per tiga dalam PRU-13
adalah penting bagi menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Apa yang
dimaksudkan dengan “hala tuju negara” sebenarnya merujuk pada “masa depan politikus
BN”.
“Sehubungan itu, semua pihak perlu memilih
parti yang benar-benar layak kerana perkara tersebut akan menentukan hala tuju
negara selepas pilihan raya umum nanti,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri
Mohd Shafie Apdal sebagai mengulas ucapan penggulungan Najib pada Perhimpunan
Agung UMNO yang lalu.
Seorang lagi naib presiden parti politik
itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dalam kenyataanya lebih
berterus-terang meminta Rakyat mengundi calon BN “sebagai tanda pengiktirafan
kepada pemerintahan cemerlang kerajaan pimpinan Najib”.
“Sehubung itu, rakyat Malaysia perlu
bersatu menyokong penuh kepimpinan Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi
BN,” ujarnya dan dilaporkan di akhbar sama.
Saya
sengaja memilih akhbar Utusan Malaysia
dan Berita Harian serta Bernama sebagai sumber rujukan bagi
makalah ini supaya semua petikan laporan itu dianggap sah dan kesahihannya tidak
dipertikaikan oleh sesiapa.
Kenyataan berbentuk penghinaan dengan
menganggap kaum India sebagai “deposit tetap” nampaknya tidak dianggap sensitif
oleh MIC. Akhbar Berita Harian (10
Disember 2012) memetik kenyataan beberapa pemimpin parti politik itu yang berharap
Perhimpunan Agung Ke-66 MIC “memberi semangat kepada ahlinya untuk
mengembalikan sokongan kaum India, yang pernah menjadi ‘deposit tetap’ kepada
BN”.
Timbalan presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menggesa perwakilan
MIC turun padang bagi menangani pelbagai isu seperti kemiskinan, pendidikan dan
peluang pekerjaan.
Apakah saranan dan gesaan itu dibuat kerana
benar-benar prihatin terhadap nasib dan kebajikan penduduk minoiriti kaum India? Nampaknya tidak
kerana katanya, “Hanya dengan menghapuskan isu ini kita dapat mengembalikan
deposit tetap itu kepada BN seperti yang diingini Perdana Menteri.”
Maka, gambaran jelas yang diberikan adalah
bahawa bukan hanya UMNO melihat pengundi kaum India sebagai “barang” dan
“deposit tetap”. Lebih daripada itu, MIC yang sepatutnya menjaga kebajikan kaum
India – serta sering mendabik dada mengatakan bahawa itulah satu-satunya parti politik
yang layak mewakili kaum India – turut menjadi “baruah” (tanda kutip) dalam
melakukan diskriminasi dan penghinaan ini.
Naib Presiden MIC, Datuk S.K. Devamany pula mahu kesemua 3,600
cawangan parti politik itu “sama-sama turun padang bagi mengembalikan martabat
BN secara keseluruhan”. Nampaknya cara paling mudah untuk “mengembalikan
martabat BN” adalah dengan mengiktiraf kaum India di negara ini sebagai
“deposit tetap BN” sehingga dunia kiamat.
“Kita perlu mengembalikan deposit tetap itu
kerana sekiranya kita tak sentuh jiwa mereka (kaum India) dan tuntutan untuk
memperkasakan mereka dalam sektor ekonomi, pendidikan dan juga modal insan,
maka kita akan ditolak.”
Demikian kenyataan ironis beliau yang
dilaporkan oleh Berita Harian.
Mungkin politikus itu lupa bahawa tindakan menghina kaum India dengan melabel
mereka sebagai “deposit tetap” juga boleh menjadi faktor penyumbang pengundi
kaum India menolak BN pada PRU-13.
Atau mungkin juga akan ada pelbagai
kenyataan susulan daripada pakar bahasa, politik, sosial, agama, ekonomi,
budaya, sastera dan sebagainya yang berusaha menegakkan benang yang basah
dengan mengatakan bahawa gelaran “deposit tetap” sesungguhnya merupakan suatu
penghormatan besar yang diberikan oleh pemerintah kepada kaum minoriti di
negara bertuah ini.
Mengikut laporan Bernama (9 Disember 2012), terdapat hampir dua juta penduduk kaum
India di Malaysia dan daripada jumlah itu, sekitar 955,000 orang adalah
pengundi berdaftar. Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa menurut
kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel, sejumlah 400,000 daripada
pengundi berdaftar itu adalah ahli MIC.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga
menggesa semua pengerusi cawangan MIC “berinteraksi dengan anggota
masing-masing bagi menentukan sejumlah 420,000 undi blok adalah untuk BN dalam
PRU-13”.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia (10 Disember 2012) memetik beliau sebagai berkata
bahawa sejarah hitam pada tahun 2008 (PRU-12) tidak akan berulang kerana
“kali ini masyarakat India sudah kembali kepada MIC dan BN kerana yakin
kerajaan sedia ada sahaja mampu mencorakkan masa depan mereka”.
“Kita boleh nampak lebih ramai orang India
yang menyokong BN dan MIC sekarang berbanding dalam pilihan raya lepas.
Sememangnya sokongan masyarakat secara keseluruhan telah meningkat,” katanya
dalam ucapan dasar perhimpunan agung parti itu yang khabarnya dihadiri 5,500
perwakilan dan pemerhati.
Akhbar Utusan
Malaysia juga menyiarkan berita Najib menyeru masyarakat India supaya terus
memberi keyakinan kepada BN. Katanya, “kerajaan BN tidak pernah memberikan
janji kosong malah tiada pihak yang dapat menafikan sumbangan begitu banyak
kerajaan BN dalam membela kepentingan masyarakat India”.
“Kalau sekiranya mereka (kaum India) selama
ini merupakan deposit tetap BN, kalau selama ini kita (BN) tidak membayar
kaedah faedah [sic] yang tinggi atau
kadar faedah kita tidak cukup bagus, maka, sejak empat tahun ini (sejak 2008),
kerajaan BN telah membayar kaedah faedah [sic]
yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC
pada 9 Disember lalu.
Maka, berdasarkan pengakuan Najib sendiri,
bertuahlah sesiapa yang tidak rela menjadi “deposit tetap” kepada BN;
sebaliknya mengundi PR sehingga memungkinkan PR membentuk Kerajaan Negeri –
seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Hal ini kerana BN akan terus “membayar
faedah yang lebih tinggi” kepada kaum India khasnya (dan para penduduk amnya)
di negeri-negeri yang diperintah PR; seperti yang diakui dilakukan sejak 2008.
Pengerusi BN itu juga mengaku bahawa
sebelum PRU-12, pihaknya “tidak membayar kaedah faedah [sic] yang tinggi atau kadar faedah kita tidak cukup bagus” sebelum
kebangkitan Rakyat pada 2008. Pada waktu itu (1957-2008), kaum India ternyata dianggap
sebagai “deposit tetap” dan tidak perlu diberi perhatian.
Kini, menjelang PRU-13, terpulanglah kepada
minoriti kaum India khasnya (dan rakyat Malaysia amnya) untuk memutuskan sama
ada mahu kembali menjadi “deposit tetap” kepada mana-mana parti politik atau
mahu terus memiliki hak dan kebebasan sebagai Rakyat yang berkuasa menentukan
kerajaan serta hala tuju negara tercinta. Tepuklah dada, tanyalah selera.
[Makalah
ini ditulis pada 13 Disember 2012 dan disiarkan di Projek Dialog pada 14 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]