[Belum terlewat untuk membetulkan kesilapan melihat isu
kemanusiaan dari sudut yang sempit berdasarkan kaum dan agama.]
Isu paling hangat di Malaysia – malah di
seluruh dunia – pada masa sekarang (November 2012) adalah mengenai serangan
Israel ke atas penduduk Palestin. Media rangkaian sosial seperti Facebook serta capaian internet
memudahkan orang ramai mengetahui perkembangan terkini dengan kadar segera.
Luahan perasaan, pandangan dan doa bagi penduduk di Palestin juga boleh dibaca
di Twitter.
Saya menentang sekeras-kerasnya segala
bentuk penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan oleh
mana-mana pihak; seperti ditegaskan dalam novel Panchayat: Edisi Khas (2012). Malah, saya melihat isu di Gaza
sebagai isu kemanusiaan dan bukannya isu
berkaitan etnik atau agama.
Dalam pada itu, hasil penelitian dan
perbualan bersama-sama rakan-rakan kaum India sejak seminggu lalu,
ternyata ramai individu kaum India di Malaysia kurang berminat dalam isu
Palestin. Saya menyimpulkan dua perkara asas yang menyebabkan keadaan ini
berlaku.
Pertama, isu itu diangkat dan diperjuangkan
oleh orang Malaysia sebagai isu “umat Islam”. Lihat sahaja segala paparan dan
luahan perasaan di Facebook untuk
memahami realiti ini. Malah, media arus perdana tempatan juga ghairah
menyempitkan isu kemanusiaan di Gaza sebagai isu
berkaitan agama.
Kedua, rata-rata responden kaum India yang
saya temui melahirkan rasa kecewa dengan sikap ditunjukkan orang Malaysia dalam
isu “orang Tamil” di Sri Lanka. Laporan Bernama pada 23 November 2009
misalnya memetik Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay sebagai berkata
bahawa “Malaysia melihat konflik kaum di Sri Lanka sebagai isu dalaman negara
berkenaan, satu pendirian yang sejajar dengan dasar luar negara yang
berteraskan kepada prinsip menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan integriti
wilayah serta tidak mencampuri urusan dalaman negara lain”. [BACA JUGA]
Dalam perkembangan berkaitan, pada 13
November 2012, media
antarabangsa mendedahkan bahawa Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab melindungi orang awam
dalam perang saudara di Sri Lanka yang tamat pada Mei 2009.
Untuk rekod, perang saudara selama 26 tahun
di Sri Lanka mengorbankan sekurang-kurangnya 100,000 nyawa. Pada lima bulan
terakhir perang yang tamat pada Mei 2009, sekitar 40,000 penduudk dipercayai
terbunuh. Angka-angka ini turut melibatkan penduduk awam.
Berbalik pada dua hujah yang dikemukakan
rakan-rakan dan responden kaum India – khususnya keturunan Tamil – mereka
mengemukakan pertanyaan mengapa isu di Gaza dilihat sebagai “isu kemanusiaan”
tetapi isu di Sri Lanka dilihat sebagai “isu etnik”. Pertanyaan mereka amat
logik dan berasas serta tidak bermakna mereka (kaum India) bersikap perkauman.
Apabila hasil (kesimpulan) itu saya
paparkan pada ruangan status di Facebook
pada 21 November 2012, ramai juga rakan-rakan pelbagai kaum dan agama yang
tampil berkongsi pandangan. Pravin
Caruso dan beberapa lagi individu bersetuju dengan “kesimpulan” yang saya
buat berdasarkan maklum balas daripada responden kaum India.
Pada pandangan Adam Farhan, media memainkan peranan besar dalam hal ini. “Apa yang
berlaku di Sri Lanka dan Gaza adalah isu kemanusiaan tetapi ternyata media
tempatan berlaku tidak adil (double
standard) dalam melaporkannya. Orang awam menjadi mangsa dalam kedua-dua
perang itu tetapi media memberi gambaran seolah-olah satu isu lebih penting
berbanding satu lagi,” katanya.
Pandangan itu dipersetujui Rehan Aziz yang kurang mengambil tahu
tentang isu semasa tetapi tetap mendapat maklumat mengenai perang di Gaza melalui
media. “Isu orang Tamil di Sri Lanka pula memang saya tidak tahu apa yang
terjadi. Tak terbaca dan tak terdengar langsung berita tentangnya. Orang
sekeliling pun tak bercerita,” akuinya.
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa
media arus perdana tempatan “bertanggungjawab” dalam laporan yang berat sebelah
dan tidak menyeluruh; contohnya dalam isu di Gaza dan Sri Lanka. Berita
televisyen, akhbar dan radio Bahasa Tamil menyiarkan liputan lebih menyeluruh
berkaitan Gaza dan Sri Lanka tetapi media Bahasa Malaysia pula lebih tertumpu
pada isu Palestin dan Gaza.
John
Sara mempunyai pandangan yang serupa berhubung dua
persoalan – isu “umat Islam” dan isu “etnik Tamil” – di atas. Sebagai individu
yang mengikuti kedua-dua konflik berkenaan secara teliti dan mendalam, John
menyedari hakikat bahawa media tempatan berlaku tidak adil dan berat sebelah
dalam membuat laporan.
“Media di negara kita terlalu berat sebelah
dan berlaku tidak adil dalam membuat liputan sehingga membuatkan orang ramai
boleh membenci orang lain berdasarkan faktor agama dan kaum; sedangkan isu
sebenar adalah isu kemanusiaan yang tidak mengenal kaum, etnik dan agama,”
katanya.
“Isu di Gaza dekat dengan Muslim; tidak
tertakluk kepada Melayu-Muslim sahaja. Isu di Sri Lanka mahupun sebarang
penghapusan etnik di mana-mana juga kami ambil tahu, jika kami diberi
pendedahan tentangnya,” Farahanani
Amhazali pula mengakui.
Menurut Vinod Muniandy, dia menumpukan perhatian pada isu di Gaza tetapi
“kurang simpati” berikutan cara media tempatan menjadikannya “isu Islam”
semata-mata. Kalau media di Malaysia mampu berlaku adil dan melaporkan semua isu
kemanusiaan, dia yakin bahawa penduduk negara ini akan sama-sama bangkit
menentang keganasan berdasarkan “kemanusiaan” dan bukannya berdasarkan agama
atau etnik seperti yang berlaku sekarang.
Namun begitu, tentulah tidak adil untuk
sekadar menyalahkan kekhilafan dan kelemahan media arus perdana dalam hal ini.
Dengan adanya teknologi dan internet, kita mempunyai akses yang tidak terhad
sekiranya benar-benar mahu mengambil tahu tentang isu-isu kemanusiaan tanpa
batas kaum, etnik dan agama.
Seperti kata Ghanthimathi, kejahilan – atau reaksi “tak tau” – sering menjadi
“senjata” untuk menutup hakikat bahawa sesuatu isu sebenarnya dilihat sebagai
“tidak penting”. Dia menjelaskan bahawa “penghapusan etnik berlaku setiap saat
di setiap penjuru dunia. Di Sri Lanka, ada insiden kampung-kampung penduduk
etnik Tamil dikepung tentera dan dibom dalam usaha penghapusan etnik Tamil.
Gaza bukan satu-satunya tempat di mana isu seperti ini berlaku.”
Seorang rakan yang menggunakan nama “NurAmin Nama Pilihanku” tampil memberikan
cadangan: “Apa kata kalau kita sarankan aktivis-aktivis kemanusiaan beragama
Hindu pula memulakan kempen terhadap permasalahan di Sri Lanka memandangkan
aktivis-aktivis beragama Islam terlalu menghadap pada permasalahan di Gaza?”
Saya secara peribadi kurang setuju kerana
tindakan seumpama itu hanya “membenarkan” (acknowledge)
serta memburukkan lagi keadaan di mana isu kemanusiaan di Gaza sudah pun
digembar-gemburkan sebagai “isu Islam” dan isu kemanusiaan di Sri Lanka sudah
dilabel sebagai “isu Tamil”.
Bagaimanapun, bagi mempertahankan hujahnya,
NurAmin mengatakan bahawa “kita tidak perlu menuding jari atau bertanya kenapa
tidak; sebaliknya kita perlu memulakan sesuatu apabila pihak yang lain terlalu
asyik dengan satu agenda. Saya pasti sekiranya aktivis kemanusiaan beragama
Hindu memulakannya, pasti mendapat liputan meluas.”
Tentu sahaja NurAmin berniat baik dalam
mengemukakan cadangan itu. Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh John
Sara, Kerajaan Malaysia secara rasmi sudah menandatangani petisyen oleh
Kerajaan Sri Lanka yang “mengesahkan” bahawa pembunuhan puluhan ribu etnik
Tamil (orang awam) itu tidak boleh dianggap sebagai jenayah perang.
Maka, kalau ada pihak – misalnya aktivis
kemanusiaan beragama Hindu atau kumpulan etnik Tamil dari Malaysia –
melaksanakan kempen berhubung isu kemanusiaan di Sri Lanka, media tempatan
pasti “menghadapi masalah” untuk membuat liputan kerana akan bertentangan
dengan pendirian Kerajaan Malaysia.
“Kenapa parti MIC yang berada dalam
kerajaan (Barisan Nasional) tidak memainkan peranan dalam menjelaskan situasi
yang berlaku di Sri Lanka? Apa yang selalu disurahkan kepada kami yang bukan
kaum India adalah bahawa LTTE itu pemberontak yang cuba menggulingkan kerajaan
yang sah melalui pemberontakan bersenjata.” Demikian Nakamura Azmi mengemukakan pertanyaan yang ikhlas dan menagih
penjelasan.
Tentu sahaja topik mengenai isu di Gaza dan
Sri Lanka yang saya kemukakan di Facebook
bukan bertujuan mengeruhkan keadaan atau membidas mana-mana pihak. Sebaliknya
untuk membuka ruang berdialog agar kita sama-sama sedar bahawa isu sebenar
adalah “isu kemanusiaan” dan bukannya “isu Islam” atau “isu Tamil”.
Seperti kata Penn Jul, kemusnahan dan kehilangan nyawa orang awam sesungguhnya
sangat menyedihkan. “Bagi saya, siapa sahaja (Islam di Gaza atau Tamil di Sri
Lanka) seharusnya perlu mendapat perhatian kita dan seluruh masyarakat dunia.
Kita juga seharusnya berdoa demi keamanan dunia; berdoa supaya hati mereka yang
bersengketa itu dilembutkan dan mereka mencapai keputusan berdamai,” katanya.
Raymond
Weng Pong Woo berpendirian bahawa semangat
assabiyah perlu dihindar dalam isu kemanusiaan seperti ini. “Apabila seorang
insan menderita, kita tidak perlu melihat pada kaum atau agamanya. Sebaliknya,
kita perlu melihat individu itu sebagai seorang manusia yang sedang menderita
dan memerlukan bantuan. Kalau kita boleh mengamalkan sifat empati, saya percaya
kita boleh melakukan perubahan besar dalam menangani isu-isu kemanusiaan,”
jelasnya.
“Kita harus melihat dunia dari konteks
kemanusiaan. Lupakan perbezaan agama, bangsa atau budaya orang itu. Sepatutnya,
cari persamaan dan berjuang atas prinsip kemanusiaan sejagat.” Demikian
pandangan Rosihan Pawnstar Amri dan
begitulah juga pendirian saya.
Nagathisen
Katahenggam tampil memberikan sedikit latar
belakang dengan menjelaskan bahawa isu Palestin lebih berpaksikan fahaman
sekular dan pro-kiri pada zaman perang dingin. “Tetapi sekarang dengan pengaruh
Hezbollah, Hamas dan sebagainya, isu Palestin lebih menjurus ke arah isu agama
dan bukannya kemerdekaan Palestin semata-mata,” katanya.
Menurut Nagathisen lagi, di Malaysia,
perkara ini disampaikan sebagai perang agama dan penindasan saudara seagama.
“Bias yang jelas serta tindakan hanya menyuarakan pandangan Palestin juga
menjadi faktor kurangnya minat rakyat Bukan Melayu-Islam dalam isu ini. Dari
pandangan orang Tamil, tidak dinafikan ramai kecil hati dengan tindakan
Kerajaan Malaysia yang dilihat memihak kepada Kerajaan Sri Lanka di PBB dalam
isu pencabulan hak asasi penduduk awam (Tamil) di saat akhir peperangan Tamil
Eelam.”
Apa yang jelas,
isu penindasan, kezaliman dan diskriminasi yang berlaku di Gaza dan Sri Lanka –
atau di mana-mana pelosok dunia – perlu dilihat, dilaporkan dan ditangani
sebagai “isu kemanusiaan” dan bukan semata-mata sebagai “isu agama” dan “isu
etnik”.
Belum terlewat
untuk kita sama-sama membetulkan kekhilafan dan kembali ke pangkal jalan. Ayuh,
kita mulakan dengan isu kemanusiaan di Gaza dan Sri Lanka tanpa label “agama”
dan “etnik”.
[Uthaya
Sankar SB menerima Anugerah Duta Keamanan daripada Universal Peace Federation pada 2008 atas sumbangan terhadap
keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan. Makalah ini ditulis
pada 22 November 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 23 November 2012.
© Uthaya Sankar SB 2012]