Pemuda MIC dan beberapa pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dijadual mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Sri
Lanka pada 2.00 petang hari Rabu ini (28 November 2012). Pada pagi ini (26
November 2012) pula, mereka dijangka menyerahkan memorandum kepada Yayasan
Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang dipengerusikan bekas Timbalan Perdana Menteri,
Tun Musa Hitam dan dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kedua-dua tindakan itu – serta penyerahan
memorandum kepada Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay di Wisma Putra pada
pada 23 November 2012 – adalah sebagai membantah kedatangan Presiden Sri Lanka,
Mahinda Rajapaksa bagi menghadiri WIEF ke-8 di Johor Bahru pada 4-6 Disember 2012.
Bantahan dan kemarahan yang ditunjukkan –
khususnya oleh kaum India di Malaysia – mungkin
menimbulkan pertanyaan dan salah tanggap dalam kalangan masyarakat umum.
Walaupun bantahan dikemukakan berdasarkan alasan “isu kemanusiaan” berikutan jenayah
perang yang berlaku di Sri Lanka, mungkin ada pihak yang akan memutar-belit dan
memanipulasi fakta demi kepentingan politik.
Pada petang 24 November 2012, saya bertemu Setiausaha
Pemuda MIC Kebangsaan, C. Sivarraajh
untuk mendapatkan maklumat lanjut dan pandangan beliau berhubung isu berkaitan.
Memandangkan maklumat mengenai isu kemanusiaan di Gaza sudah sedia
tersebar luas menerusi media arus perdana, saya memutuskan untuk menumpukan
pada isu kemanusiaan di Sri Lanka dalam perbincangan bersama pemuda itu.
Bercakap mengenai isu kemanusiaan, jenayah
perang dan penghapusan etnik yang terbukti berlaku di Sri Lanka, memang ternyata
bahawa media di Malaysia gagal melaporkannya secara saksama, berbanding liputan
perkembangan isu kemanusiaan di Gaza misalnya.
Sivarraajh mengakui bahawa berita mengenai
kejadian di Sri Lanka hanya dilaporkan secara meluas dan berterusan oleh media
Bahasa Tamil (akhbar, radio dan televisyen). Hal ini kerana isu kemanusiaan itu
disalah anggap sebagai hanya merupakan isu etnik Tamil.
“Jika diperhatikan, ia sebenarnya isu
kemanusiaan yang sepatutnya dilaporkan oleh media pelbagai bahasa di negara
ini, sebagaimana tumpuan diberi pada isu kemanusiaan di Gaza. Akibat kelemahan
media arus perdana yang gagal membuat laporan menyeluruh, khalayak tidak
mendapat maklumat mengenai isu kemanusiaan yang berlaku di Sri Lanka,” katanya.
Malah, berita mengenai penyerahan
memorandum di Wisma Putra pada Jumaat lalu (23 November 2012) mendapat liputan
muka depan di akhbar-akhbar Tamil tetapi kurang menarik perhatian media arus
perdana lain.
Pemuda berumur 37 tahun itu tidak menolak
kemungkinan kelemahan ini turut disebabkan kurangnya sensitiviti dalam kalangan
pemilik dan pengamal media arus perdana yang bersikap kurang adil dalam melihat
isu kemanusiaan, jenayah perang dan pembunuhan orang awam yang berlaku di Sri
Lanka selama hampir 26 tahun.
Untuk berlaku adil kepada pihak media –
kerana saya juga pengamal media – saya bertanya, apakah maklumat berkaitan isu
kemanusiaan di Sri Lanka disalurkan ke semua media (pelbagai bahasa) di
Malaysia.
“Pemuda MIC memang sentiasa menghantar
kenyataan media kepada semua akhbar, radio dan televisyen. Apa yang saya
perhatikan adalah bahawa media Bahasa Tamil tahu akan latar belakang isu
kemanusiaan di Sri Lanka dan mampu melihat nilai berita serta kepentingan isu berkenaan. Media bahasa-bahasa lain pula
nampaknya kurang berminat kerana berlaku sebaliknya. Maka khalayak yang
mengikuti (membaca, mendengar, menonton) media berkenaan juga tidak berpeluang
mengetahui berita mengenai isu kemanusiaan itu,” Sivarraajh menghuraikan.
Pemuda itu juga mengakui bahawa dalam isu
kemanusiaan di Gaza, media sering memaparkannya sebagai “isu Islam” sedangkan
mangsa yang terbunuh termasuk kanak-kanak, wanita dan orang awam beragama
Kristian dan Yahudi.
“Kalau kita mahu seluruh dunia atau seluruh
negara prihatin terhadap isu kemanusiaan yang berlaku, maka kita perlu berhenti
melihat jenayah perang itu dari sudut kaum dan agama. Sebaliknya perlu dilihat,
ditangani dan dilaporkan di media dari sudut kemanusian. Kalau perkara ini
boleh dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran, saya yakin bahawa
masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia akan lebih prihatin terhadap apa
yang sebenarnya berlaku di Gaza, Sri Lanka dan Myanmar,” katanya.
Bagaimana pula dengan MIC sendiri? Adakah parti
politik itu turut melibatkan kaum lain dalam menangani isu kemanusiaan di Sri
Lanka? Saya membuat sedikit pencarian maklumat dan menemui keratan akhbar Malaysia Nanban (17 November 2008) yang
melaporkan mengenai perhimpunan besar-besaran anjuran Pemuda MIC dan NGO kaum
India di hadapan Kedutaan Sri Lanka pada 14 November 2008 bagi membantah
jenayah perang di negara berkenaan. Wakil UMNO, MCA, Gerakan dan PPP turut
terlibat dalam demonstrasi itu.
“Wakil parti pembangkang juga hadir sama
untuk menyokong kami. Sehari sebelum demonstrasi diadakan, Pemuda MIC
mengadakan taklimat khas kepada para pemimpin terbabit untuk menjelaskan isu
kemanusiaan yang diperjuangkan. Maka, mereka semua faham isu sebenar sebelum
menyertai demonstrasi. Malangnya, sehingga hari ini, masyarakat umum Bukan Kaum
India kurang memahami isu kemanusiaan di Sri Lanka kerana bergantung pada media
arus perdana untuk mendapatkan maklumat,” kata Sivarraajh yang menyertai Pemuda
MIC pada 2004.
Tidak dinafikan bahawa NGO kaum India yang
terlibat dalam mengetengahkan isu kemanusiaan di Sri Lanka perlu sama-sama
memikul tanggungjawab menyebarkan maklumat dan memberikan penerangan kepada masyarakat pelbagai kaum, agama dan bahasa
di Malaysia mengenai isu sebenar.
Malah, Sivarraajh mencadangkan NGO kaum
India turut menyiarkan iklan semuka penuh di akhbar-akhbar Bahasa Malaysia,
Inggeris dan Mandarin bagi tujuan murni itu. Bagi saya pula, media alternatif
dan laman rangkaian sosial seperti Facebook,
Twitter dan blog boleh digunakan
sepenuhnya bagi menyampaikan maklumat ke arah menimbulkan kesedaran umum. Untuk
menjayakannya, Bahasa Malaysia dan Inggeris wajar digunakan
sebagai bahasa pengantar dan bahasa komunikasi supaya maklumat yang sama dan
serupa dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat.
Berbalik pada cadangan demonstrasi di
hadapan Kedutaan Sri Lanka pada 28 November 2012, Sivarraajh mengundang semua
pihak tanpa mengira kaum dan agama hadir sama. Beliau juga merayu supaya isu
kemanusiaan itu tidak dipolitikkan atau dijadikan isu perkauman.
Hasil tinjauan sejak seminggu lalu, saya
mendapati bahawa ramai individu kaum India kurang berminat untuk mengambil tahu
mengenai isu kemanusiaan di Gaza. Memandangkan Pemuda MIC mahu masyarakat
pelbagai kaum/agama terlibat dalam isu kemanusiaan di Sri Lanka, saya bertanya
kepada Sivarraajh mengenai perkara itu.
“Dalam isu di Gaza, kebanyakan pihak
terbabit di Malaysia – termasuk parti politik, NGO, media, pengguna Facebook dan orang awam –
menggambarkannya sebagai isu berkaitan umat Islam. Akibat kelemahan itulah kaum
India berpendapat bahawa isu kemanusiaan di Gaza tiada kaitan secara langsung
dengan mereka. Saya yakin bahawa jika semua pihak terbabit berhenti mengangkat
isu di Gaza sebagai isu agama dan mula melihatnya sebagai isu kemanusiaan,
masyarakat Bukan Islam di Malaysia akan tampil untuk turut sama memperjuangkan
nasib penduduk Palestin,” katanya dengan penuh yakin.
Pada masa sama, jenayah perang dan isu kemanusiaan di Sri Lanka
mendapat perhatian dan simpati daripada rata-rata penduduk kaum India di
Malaysia kerana isu itu tidak dilihat dari sudut agama. Pada masa sama,
Sivarraajh tidak menolak hakikat bahawa media Bahasa Tamil di Malaysia ketara
memainkan sentimen “etnik Tamil” dalam melaporkan berita mengenai perang
berkenaan. Namun, pada umumnya, jenayah perang itu tetap dilihat oleh kaum
India sebagai “isu kemanusiaan” tanpa dipengaruhi sentimen agama dan etnik.
Amat jelas bahawa masyarakat Bukan Kaum
India di Malaysia kurang mendapat maklumat mengenai isu kemanusiaan di Sri
Lanka. Hakikat ini turut diakui rakan-rakan pelbagai kaum apabila saya paparkan
di Facebook pada 21 November lalu.
Dalam kesempatan berbual-bual bersama-sama Sivarraajh di Bandar Puteri, Puchong
pada Sabtu lalu, saya menyatakan perkara itu untuk mendapatkan reaksinya.
“Perang di Sri Lanka berlangsung selama
hampir 26 tahun dan sudah tamat secara rasmi pada Mei 2009. Namun, kesan
daripada jenayah perang itu masih ada dan mangsa peperangan masih memerlukan
bantuan bagi membina kehidupan baru. Kerajaan Malaysia turut tampil memberi
bantuan ke arah itu. Selain daripada itu, dalam konteks masyarakat pelbagai
kaum di Malaysia, NGO kaum India masih boleh meneruskan usaha memberi
penerangan mengenai isu kemanusiaan itu supaya lebih banyak bantuan boleh
disalurkan atas dasar kemanusiaan,” katanya.
Menurut Sivarraajh, Pemuda MIC bersedia
bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha murni itu; bukan hanya mengenai
isu kemanusiaan di Sri Lanka, tetapi juga isu kemanusiaan di Gaza. Dalam hal
ini, pada hemat saya, memandangkan MIC merupakan parti komponen Barisan
Nasional (BN), pasti media arus perdana (akhbar, radio dan televisyen) akan
bersedia memberikan kerjasama menyiarkan berita dan kenyataan media berkaitan.
Namun, masalah tidak akan selesai sekiranya
media, politikus dan NGO masih tebal dengan sentimen perkauman, etnosentrik,
ketuanan dan keagamaan.
Masalah sama juga akan dihadapi dalam usaha
menghalang kedatangan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa yang dijadual
menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Johor Bahru pada 4-6 Disember
2012. Pemuda MIC dan NGO kaum India yang merancang demonstrasi aman besar-besaran
dan penyeraham memorandum bantahan pada Rabu ini perlu segera memberi
penerangan kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia supaya mereka
memahami serta sama-sama tampil menyokong usaha itu.
Penjelasan yang diberikan perlulah tepat
dan menyeluruh supaya tidak disalah anggap atau dimanipulasi dan
diputar-belitkan mana-mana pihak. Misalnya, tindakan menghalang kedatangan
Rajapaksa tiada kaitan dengan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Malah tidak bertujuan menjejaskan hubungan perdagangan.
Sebaliknya, perlu dijelaskan laporan
media antarabangsa pada 13 November 2012 yang mendedahkan
bahawa pihak terbabit gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab melindungi
orang awam – tanpa mengira etnik dan agama – dalam perang saudara di Sri Lanka
yang tamat pada Mei 2009.
Apabila saya menulis mengenai isu
kemanusiaan di Gaza dan Sri Lanka pada minggu lalu di Facebook, ramai yang mengaku turut memikirkan perkara sama tetapi
“tidak berani” dan “tidak sempat” serta “tiada ruang” untuk bersuara.
Saya berpendirian tegas menentang sekeras-kerasnya segala bentuk penindasan,
kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan oleh
mana-mana pihak. Saya juga percaya bahawa golongan minoriti yang bermaruah memerlukan ruang untuk bersuara;
ruang untuk berdialog demi mencari penjernihan minda.
Ruang untuk memperkatakan isu di Gaza, Sri
Lanka, Myanmar dan sebagainya dari sudut kemanusiaan (bukan agama dan etnik)
sudah dibuka. Semoga disambut oleh politikus, media arus perdana, NGO dan
masyarakat pelbagai kaum/agama demi mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat.
[Demonstrasi
aman yang dijadualkan pada 28 November 2012 oleh Pemuda MIC dibatalkan. Makalah
ini ditulis pada 24 November 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 26 November
2012. © Uthaya Sankar SB 2012]