Saturday, 19 June 2010

LTTE Kembali Aktif

COLOMBO - Kerajaan Sri Lanka membuat keputusan bahawa majlis memperingati kejayaan tentera negara itu melumpuhkan dan menghapuskan kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dijadikan acara tahunan.
.

Ulang tahun pertama diraikan secara rasmi bermula jam 8.00 pagi, 18 Jun 2010, di Galle Face Green dengan pelbagai acara penuh warna-warni. Sambutan yang pada awalnya dijadualkan pada 18 Mei lalu terpaksa ditunda berikutan hujan lebat dan cuaca buruk menghalang persiapan majlis.

.

“Sambutan ini bukan semata-mata mengenang kejayaan menentang pemberontak LTTE tetapi lambang kejayaan Sri Lanka bebas daripada ancaman pengganas. Maka, tarikh 18 Jun dijadikan Hari Pembebasan,” kata Menteri Media dan Komunikasi, Keheliya Rambukwella.

.

Tentera kerajaan berjaya menumpaskan pemberontak LTTE pada 18 Mei tahun lalu selepas perang saudara berlarutan sejak 25 tahun lalu.

.

“Tidak berlaku sebarang jenayah perang semasa tentera kerajaan menentang pemberontak LTTE. Mana-mana pihak yang mengatakan sebaliknya bolehlah mengemukakan bukti kepada polis dan mahkamah,” kata Setiausaha Pertahanan, Gotabhaya Rajapakse.

.

Peperangan itu bagaimanapun menjejaskan kehidupan orang awam, terutama penduduk etnik Tamil, yang dikatakan berbelah bagi kesetiaan antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE. Ramai yang melarikan diri ke India dan beberapa negara lain untuk mendapatkan suaka politik.

.

“Bagaimana LTTE boleh menubuhkan negara sendiri di Sri Lanka tanpa sokongan penduduk Tamil di negara ini? Penduduk Tamil kecewa kerana LTTE memusnahkan hidup mereka. Impian LTTE sudah musnah,” kata Timbalan Menteri Penempatan Semula, Vinayagamoorthy Muralitharan.

.

Menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sejak setahun lalu, lebih daripada 214,000 penduduk sudah kembali ke rumah masing-masing atau ke rumah saudara-mara. Hampir 76,000 lagi tinggal di khemah-khemah pelarian dan kerajaan berjanji menguruskan penempatan mereka menjelang Ogos nanti.

.

PBB menekankan bahawa kerajaan Sri Lanka perlu mengambil langkah segera memulihkan ekonomi dan kehidupan penduduk terjejas, sama ada etnik Tamil atau Sinhala.

.

Di Pusat Pemulihan Pompemadu, Vavuniya, 53 pasangan bekas pemberontak LTTE melangsungkan perkahwinan pada 13 Jun lalu. Pusat berkenaan menempatkan lebih 8,000 bekas ahli LTTE yang menyerah diri sejak tahun lalu.

.

“Kerajaan Sri Lanka perlu memberi pengampunan tanpa syarat kepada bekas pemberontak LTTE dan penduduk pro-LTTE yang sudah menyerah diri,” kata pemimpin Barisan Kebangsaan Tamil (TNA), Rajavarothayam Sampanthan.

.

Dalam pada itu, walaupun kumpulan pemberontak LTTE berjaya dilumpuhkan tentera Sri Lanka pada Mei tahun lalu, diaspora penyokong dan kumpulan pro-LTTE dipercayai masih aktif di beberapa negara luar.

.

Sokongan dan kekuatan kumpulan yang memperjuangkan negara sendiri bagi etnik Tamil di utara Sri Lanka dilaporkan kembali aktif, setahun selepas pemimpin LTTE, V Prabhakaran, disahkan terbunuh.

.

LTTE diasaskan oleh Prabhakaran pada Mei 1976 dan dia sendiri membunuh Datuk Bandar Jaffna, Alfred Duraiyappah. Tindakan keras kerajaan hanya diambil pada Julai 1983 berikutan serangan bersenjata ‘Black July’ oleh pemberontak LTTE di Jafna. Pengebom berani mati LTTE juga terlibat dalam pembunuhan Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada Mei 1991 di Chennai, selain pembunuhan Presiden Sri Lanka, Ranahingse Premadasa, dua tahun kemudian.

.

Operasi LTTE hampir lumpuh selepas Prabhakaran dilaporkan mati ditembak tentera Sri Lanka pada 17 Mei 2009 tetapi kembali aktif beberapa bulan kemudian. Presiden Mahinda Rajapakse mengakui pada Januari lalu bahawa anasir-anasir LTTE masih kuat di utara Sri Lanka dan mungkin sedang kembali aktif.

.

Pada Disember 2009, seorang ahli LTTE ditahan di Thailand bersama lebih 300 pasport Kesatuan Eropah yang disahkan palsu. Pada Mac lalu, polis Jerman menahan 6 ahli LTTE di Essen, manakala pada April lalu, 7 individu ditahan di Belanda. Pemberontak LTTE juga disahkan terlibat dalam insiden letupan landasan kereta api di Villupuram, Tamil Nadu pada 12 Jun lalu.

.

Negara-negara yang mempunyai penduduk etnik Tamil turut dipercayai menjadi sasaran LTTE untuk mengumpul dana dan melatih ahli baru. Malaysia salah sebuah negara yang dipercayai menjadi sasaran bagi tujuan itu.

..

(Diolah semula daripada skrip berita yang ditulis untuk siaran akhbar Sinar Harian, 18 Jun 2010.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!