Friday, 18 June 2010

Filem Malayalam

Walaupun saya secara teknikal keturunan Malayalam, saya tidak fasih bahasa berkenaan. Namun begitu, saya amat gemar mendengar lagu Malayalam serta menonton filem Malayalam.
.
Filem Pazhassi Raja (2009) yang saya tonton pada 12 Mei 2010 asalnya filem Malayalam. Begitu juga filem Poove Poochudava (1985).
.
Memang banyak filem Malayalam – yang secara umum lebih ketara mengangkat tema sosial dan lebih realistik berbanding filem Tamil dan Hindi; serta lebih mencabar minda – difilemkan semula dalam versi Tamil.
.
Filem Kaasi (2001) lakonan Vikram (John Kennedy Vinod Raj) adalah pembikinan semula filem Malayalam berjudul Vasanthiyum Lakshmiyum Pinne Nyaanum (1998). Jika versi Tamil dianggap menyedihkan, nantikan sehingga anda berpeluang menonton versi asal.
.
Filem Chandramukhi (2005) memang “hebat” dari segi penampilan tetapi versi asal berjudul Manichitratazhu (1993) lebih “hebat” kisahnya. Apatah lagi filem Katha Parayumbol (2007) yang lahir semula sebagai Kuselan (2008).
.
Walaupun perbelanjaan yang digunakan bagi filem Malayalam adalah jauh lebih rendah berbanding filem Tamil dan Hindi, kualiti tinggi tetap ada pada filem Malayalam yang lebih bersahaja dan mencabar minda.
.
Masih ingat filem Perazhagan (2004) di mana Surya (Saravanan Sivakumar) dan Jyothika Sadanah masing-masing memegang dua watak? Dalam versi Malayalam berjudul Kunjikoonan (2002), Dileep memegang dua watak sementara watak wanita dipegang dua pelakon berbeza supaya sesuai dengan jalan cerita.
.
Shalini juga memulakan dunia lakonan menerusi filem Malayalam; malah filem Mamattikkuttiyammaku (1983) difilemkan semula sebagai En Bommukutty Ammavaku (1988).
.
Saya tidak bersikap rasis di sini tetapi terus terang saya dapati filem-filem Malayalam yang hebat musnah apabila diterbitkan semula dalam versi Tamil.
.
Filem-filem Malayalam juga agak sukar diperoleh di Malaysia. Filem-filem yang ditayangkan menerusi stesen televisyen di Malaysia juga adalah filem-filem kelas kedua dan ketiga; mungkin kerana boleh dibeli dengan harga terlalu murah.
.
Jika sudah jemu menonton filem-filem Tamil, sudikanlah meluangkan sedikit masa menonton filem Malayalam.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!