14 May 2010

Kerala Varma Pazhassi Raja

Saya sentiasa mencari “roh” dalam karya (filem, cereka, teater); misalnya “roh Melayu”, “roh China” dan “roh India” dalam filem.
..

Pada 12 Mei 2010, saya berpeluang menonton filem Pazhassi Raja yang merupakan versi alih bahasa Tamil daripada filem Malayalam berjudul Keralavarma Pazhassiraja (Oktober 2009). Filem itu juga dialih bahasa ke Telegu dan Hindi serta dianggap sebuah magnum opus.

..

Bahagian pembukaan filem sepanjang 3 jam 20 minit ini menampilkan suara Mohanlal (Malayalam), Kamal Haasan (Tamil), Shahrukh Khan (Hindi) dan Chiranjeevi (Telegu) sebelum kisah yang mencengkam jiwa dipaparkan di layar perak.

..

Mammootty memegang watak Kerala Varma Pazhassi Raja (1753 – 1805) manakala Sarath Kumar tampil dalam filem Malayalam pertamanya dengan memegang watak panglima tentera, Edachena Kunkan. Wajar juga dinyatakan bahawa watak-watak wanita memainkan peranan; bukan setakat muncul mendedahkan tubuh untuk dieksploitasi secara seksual.

..

T Hariharan yang memulakan kerjaya sebagai pengarah filem pada tahun 1965 terus mengekalkan rekod dan trend menghasilkan filem bermutu yang berkisar budaya dan permasalahan di Kerala, India. Muzik oleh Ilayaraaja serta alunan suara Yesudass dan Chitra tentu sahaja menyentuh emosi. Lakon layar pula oleh M T Vasudevan Nair, seorang sasterawan dan penulis skrip yang amat disegani di Kerala (Malayalam).

..

Watak Kerala Varma Pazhassi Raja sendiri tokoh yang amat penting dalam sejarah Kerala khasnya dan masyarakat Malayali amnya. Putera yang turut digelar “The Lion of Kerala” dipandang tinggi kerana berjuang bagi rakyat, kebenaran, hak, maruah dan kemerdekaan.

..

Harus saya akui bahawa tidak semua orang akan seronok menonton filem sejarah sepanjang 3 jam 20 minit yang penuh dengan “roh” Malayalam. Setiap aspek berkaitan budaya, latar, pakaian, muzik, perhiasan, adat, bahasa, fakta dan sejarah diberi perhatian khusus sehingga filem ini menjadi suatu “sajian lengkap” bagi individu yang mengharapkan lebih daripada sekadar hiburan.

..

Penonton yang terpegun menghayati kehebatan mendiang Sivaji Ganesan membawakan watak tokoh sejarah Veerapandiya Kattabomman (1760 – 1799) dalam filem Veerapandiya Kattabomman (1959) mungkin dapat menghayati filem ini dengan baik dan berkesan.

..

Filem Keralavarma Pazhassiraja juga mungkin mengingatkan kita kepada filem-filem seperti Dasavataram, Aayiratil Oruvan dan Asoka kerana ada memasukkan sedikit sejarah dan “roh” India.

..

Bagi saya, filem Keralavarma Pazhassiraja tampil sebagai sajian dan santapan minda dan pancaindera yang amat menyelerakan.