21 Jan 2010

Aayirathil Oruvan

Peminat fanatik filem Vijay, peminat fanatik Vadiveloo, peminat fanatik filem Melayu dan pencinta filem hiburan, tolong JANGAN menonton filem “Aayirathil Oruvan”.
.
Demikian amaran awal yang mampu saya berikan. Apatah lagi, filem Tamil "Aayirathil Oruvan" (ஆயிரத்தில் ஒருவன், One Man in a Thousand) kurang mendapat sambutan khalayak umum. Maka, ia pasti filem bermutu tinggi dan wajib saya tonton!
.
Demikian juga telah saya nyatakan di Facebook pada 19 Januari 2010 sebelum menonton filem berkenaan.
.

Sebenarnya, saya tidak tahu apa-apa mengenai filem terbaru lakonan Karthi Sivakumar (yang sebelum ini muncul dalam filem sulungnya, Paruthiveeran; dan akan muncul selepas ini dalam filem Payya).

.

Beberapa hari lalu, Rajan dan Kumar memberitahu saya bahawa saya pasti menyukai filem "Aayirathil Oruvan" - kerana mereka tahu selera saya.

.

Filem kelima arahan Selvaraghavan ini memang sebuah filem bermutu yang hanya sesuai bagi golongan yang dahaga akan filem bermutu dan mencabar minda.

.

Mujurlah juga watak Raja Chola yang pada awalnya mahu diberikan kepada adik si pengarah, Dhanush, diserahkan kepada Parthiban. Jika tidak, rosaklah imej Raja Chola dan keseluruhan filem!

.

Karthi Sivakumar (adik kepada Surya) muncul sebagai Muthu dan membuktikan bahawa watak hero tidak semestinya memiliki segala ciri positif seperti yang lazimnya dipaparkan dalam filem Tamil dan Hindi.

.

Muthu seorang pekerja mengangkat barang (porter) di Pelabuhan Chennai dan tidak terlepas daripada ditampar, ditendang dan dihina oleh dua wanita sepanjang filem!

.

Reemma Sen yang sebelum ini muncul dalam Thimiru dan Vallavan, kali ini membawakan watak Anitha, seorang pegawai kerajaan yang ditugaskan menjejak tempat persembunyian Raja Chola dan para pengikutnya.

.

Andrea Jeremiah yang sebelum ini mungkin lebih dikenali menerusi lagu dalam filem Anniyan dan Veetaiyaadu Vilayadui, membuktikan bakat lakonannya selepas filem Pachaikilli Muthucharam dengan membawakan watak seorang pakar arkeologi bernama Lavanya.

.

Andrea dan Karthi turut menyampaikan beberapa lagu dalam filem ini. Lagu "Maalai Neram" yang cukup popular pula tiada dalam filem; di pawagam dan DVD.

.

Lagu pertama dalam filem ini ternyata semacam tribute bagi MGR yang berlakon dalam filem Aayirathil Oruvan (1965) bersama-sama Jayalalitha dan M.N. Nambiar.

.
Lagu “Oh Eesa” pula tiada kaitan dengan jalan cerita tetapi boleh membantu menarik perhatian khalayak umum. Begitu juga lagu “Un Meela Asathan” yang tidak kena pada tempat; iaitu apabila Muthu, Lavanya dan Anitha menemui kota milik Raja Chola di sebuah pulau berhampiran Vietnam.
.
[Perhatikan betul-betul dan anda akan melihat peta yang menunjukkan bahawa pulau yang dituju oleh mereka terletak di bahagian utara Kepulauan Andalan; bukan pulau Min-gua, Vietnam! "Minguo" pula bermakna "Republik China" tetapi merujuk kepada Taiwan.]
. "

Bagaimanapun, penggambaran filem “Aayirathil Oruvan” yang dikeluarkan serentak dalam Bahasa Tamil dan Bahasa Telegu ini dilakukan sejak akhir tahun 2007 di Kerala, Rajasthan serta di dalam studio di Hyderabad.

.

Penggambaran adegan tarian yang melibatkan Raja Chola (Parthiban) dan Puteri Pandya @ Anitha (Reemma Sen) khabarnya mengambil masa selama 20 hari.

.

Lagu bagi tarian berkenaan adalah dalam Bahasa Tamil dan Bahasa Telegu; semacam memberi gambaran mengenai Kerajaan Chola dan Kerajaan Pandian (selain daripada Kerajaan Cheran). Harus saya akui bahawa suara Vijay Yesudas kini sehebat suara bapanya, Yesudas (sekurang-kurangnya dalam lagu “Thai Thindre Mannea”).

.

Muzik digubah oleh G.V. Prakash Kumar; khabarnya selepas Yuvan Shankar Raja gagal melaksanakan tugas dalam masa yang ditetapkan. Bagaimanapun, bayangkan betapa hebat jika Ilayaraja diberi tugas menggubah muzik bagi filem ini!

.

Filem ini amat panjang. Malah, versi DVD adalah lebih panjang dan memuatkan beberapa babak yang sangat penting.

.

Ringkasnya, sebuah filem yang WAJIB DITONTON oleh peminat filem bermutu dan mencabar minda. Juga sebuah filem yang WAJIB DIELAKKAN oleh peminat fanatik filem Vijay, peminat fanatik Vadiveloo, peminat fanatik filem Melayu dan pencinta filem hiburan.