22 Jan 2010

Fantastic Meryl Streep

Ada dua perkara yang menarik perhatian saya untuk menonton filem Fantastic Mr Fox (2009) sebanyak tiga kali; sendirian pada 16 Januari 2010 dan bersama Devishi Prabha Sankari pada keesokannya; dan sekali lagi pada 20 Januari 2010.
.

Pertama, filem yang menggunakan teknik stop motion ini adalah berdasarkan novel Fantastic Mr Fox (1970) karya Roald Dahl (1916 – 1990), seorang lagi pengarang yang amat saya minati cerpen-cerpen beliau. Pengarah filem ini, Wes Anderson turut meminati Roald Dahl.

.

Kedua, Meryl Streep menyumbangkan suara bagi watak Mrs Felicity Fox. Khabarnya, Cate Blanchett yang antara lain berlakon dalam trilogi The Lord of the Rings (2001, 2002, 2003) dan Robin Hood (2010) sepatutnya memegang watak itu tetapi menarik diri atas alasan tertentu.

.

Fantastic Mr Fox sebenarnya pernah dipersembahkan sebagai drama pentas pada tahun 2001 dan sebagai opera pada tahun 1998; tentunya bukan di Malaysia.

.

Projek filem animasi yang menggunakan teknik stop motion ini bermula pada tahun 2004 dengan pembelian hak cipta. Kerja-kerja penerbitan pula dilaporkan bermula pada September 2007 di London dengan rakaman suara yang dibuat bukan di dalam studio tetapi di luar studio; termasuk di hutan dan di bawah tanah.

.

Pasti sahaja ada perbezaan apabila novel diadaptasi ke dalam bentuk filem. Misalnya, bahagian awal dan akhir dalam filem ini tiada dalam novel. Jalan cerita juga diubah sedikit untuk memberikan kesan dramatik. Bagaimanapun, perubahan itu tidak menjejaskan “sentuhan emas” yang menjadikan karya-karya Roald Dahl diminati ramai.

.

Karya-karya beliau yang turut saya pernah tonton dalam versi filem adalah James and the Giant Peach (1996) dan Charlie and the Chocolate Factory (2005). Manakala filem yang belum berpeluang saya tonton adalah Danny the Champion of the World (1989), The BFG (1989), The Witches (1990) dan Matilda (1996).

.

Manakala filem pertama lakonan Meryl Streep yang saya tonton dan terus “jatuh cinta” pada kehebatan lakonannya adalah The French Lieutenant’s Woman (1981) di mana beliau memegang watak Sarah dan Anna. Rupa-rupanya, itulah juga filem pertama di mana beliau memegang peranan utama!

.

Sejak itu, jika ada filem lakonan Meryl Streep, maka saya tahu bahawa filem berkenaan pasti bermutu, mencabar minda dan memenuhi selera intelek saya.

.

Antara filem yang membuktikan kehebatan Meryl Streep sebagai pelakon berbakat besar – dan telah saya tonton dan saya klasifikasikan sebagai "filem wajib tonton" – adalah Out of Africa (1985), Adaptation (2002), The Hours (2002), The Manchurian Candidate (2004), The Devil Wears Prada (2006), Lions for Lambs (2007) dan Doubt (2008); serta Angels in America (2003).