23 Jan 2010

Kutty (2001 vs 2010)

Filem komedi romantik Kutty (2010) lakonan Dhanush sebelum ini diberi judul Kadhir dan merupakan versi Tamil daripada filem Telegu berjudul Arya.
.

Saya tidak akan membazir masa menonton dan mengulas filem ini. Bagaimanapun, kedatangan filem Kutty (2010) segera mengingatkan saya pada filem Kutty (2001) yang tentu sahaja tidak dikenali umum.

.

Kisahnya adalah berdasarkan cerita yang ditulis oleh Sivasankari dan filem diarah oleh Janaki Vishwanathan, manakala muzik yang menyentuh jiwa digubah oleh Ilayaraja.

.

Kisahnya mengenai seorang kanak-kanak perempuan bernama Kutty (lakonan P. Shwetha) yang terpaksa pergi ke bandar untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

.

P. Shwetha pernah berlakon sebagai kanak-kanak bernama Malli dalam filem Malli (1998) arahan Santosh Sivam. Dia menang Anugerah Pelakon Kanak-kanak Terbaik 1999 bagi filem berkenaan. Lakonan sebagai kanak-kanak bernama Kutty dalam Kutty (2001) sekali lagi memungkinkannya menang Anugerah Pelakon Kanak-kanak Terbaik 2002.

.

Sambil menulis catatan ini, saya terbayang akan adegan Kutty berasa seronok menerima pakaian baru daripada majikan. Adegan Kutty gembira bersama bapanya (lakonan Naseer). Adegan Kutty didera oleh watak lakonan M.N. Rajam. Adegan pemilik kedai runcit (lakonan Vivek) yang tampil mahu membantu Kutty melarikan diri.

.

Dan air mata bergenang apabila membayangkan adegan terakhir yang menampilkan Kutty berasa gembira di dalam kereta api untuk pulang ke kampung; tanpa menyedari bahawa dia sebenarnya sudah dijual sebagai pelacur kanak-kanak kepada seorang bapa ayam dari Kolkata (Calcutta)!

.

Mustahil Kutty (2010) boleh mencapai 0.1% daripada kehebatan Kutty (2001) yang turut meraih pelbagai anugerah antarabangsa.