20 Jan 2010

The Time Traveler's Wife

Hanya apabila tamat menonton filem The Time Traveler’s Wife (2009) pada 14 Januari 2010 dan melihat senarai nama pelakon pada skrin, saya sedar bahawa watak Clare Abshire dilakonkan oleh Rachel McAdams yang sebelum ini saya saksikan memegang watak Della Frye dalam filem State of Play (2009).
.

Saya perlu mengakui bahawa saya belum membaca novel The Time Traveler’s Wife (2003) karya Audrey Niffenegger walaupun saya amat tertarik melihat kulit buku berkenaan di kedai-kedai buku.

.

Audrey Niffenegger turut menghasilkan novel The Three Incestuous Sisters (2005) dan Her Fearful Symmetry (2009) yang juga pernah saya lihat di kedai-kedai buku tetapi belum saya miliki.

.

The Time Treveler’s Wife amat menarik kerana kisahnya bukan mengenai aspek saintifik dan mitos merentas masa; sebaliknya bagi saya adalah metafora mengenai hubungan antara pasangan (kekasih atau suami-isteri).

.

Saya percaya – dan yakin – bahawa unsur merentas masa (time traveling) digunakan oleh pengarang untuk memperkatakan mengenai “pasangan yang tiada di sisi” iaitu suatu masalah yang bersifat universal dan sering menjadi masalah.

.

Lakonan Rachel McAdams sebagai Clare Abshire dan Eric Bana sebagai Henry DeTamble berjaya menyampaikan mesej sebenar cerita tanpa menjadikan filem The Time Traveler’s Wife umpama filem Back to the Future.

.

Selain memegang watak Allison Hamilton dalam filem The Notebook (2004), Rachel McAdams juga memegang watak Irene Adler dalam Sherlock Holmes (2009) dan watak Becky Fuller dalam Morning Glory (2010).

.

Wajar juga dinyatakan bahawa pelakon kelahiran Kanada ini juga pernah ditawarkan – tetapi tidak melakonkan – watak Susan Storm @ Invisible Girl dalam Fantastic Four (2005) dan watak Pepper Potts dalam Iron Man (2008).

.

Manakala, pelakon kelahiran Australia, Eric Banadinovich sebelum ini memegang watak Chopper Read dalam Chopper (2000), Bruce Banner dalam Hulk (2003), Hector dalam Troy (2004), Avner dalam Munich (2005), Romulus dalam Romulus, My Father (2007) dan Nero dalam Star Trek (2009).

.

Malah, Eric Bana mengarah dan menerbitkan sebuah dokumenteri berjudul Love the Beast (2009) mengenai kecintaannya pada kereta.

.

Watak yang dibawakan olehnya dalam filem The Time Traveler’s Wife adalah sebagai Henry DeTamble, seorang pustakawan yang lahir pada 16 Jun 1963 dan meninggal dunia pada 1 Januari 2007.

.

Mungkin selepas ini saya akan merentas ke masa lalu – atau ke masa depan – untuk membaca novel The Time Traveler’s Wife (2003) dan Her Fearful Symmetry (2009) karya Audrey Niffenegger.