[Analisis kempen menghalang kedatangan Rajapaksa mendedahkan
beberapa perkara menarik mengenai Forum Ekonomi Islam Dunia]
Makalah bertajuk “Ada apa dengan Gaza dan Sri Lanka?” (Free Malaysia Today, 23 November 2012) ternyata mendapat perhatian
dan reaksi yang sewajarnya daripada khalayak umum. Malah, makalah itu sendiri
memuatkan pelbagai pandangan yang dikemukakan rakan-rakan saya menerusi Facebook.
Sebagai individu yang menentang sekeras-kerasnya segala bentuk penindasan,
kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan oleh
mana-mana pihak, saya secara terbuka melihat isu di Gaza dan Sri Lanka sebagai
“isu kemanusiaan” – bukan sebagai “isu
Islam” dan “isu Tamil” seperti dilakukan pihak tertentu di Malaysia.
Ramai yang sependapat dengan saya serta
mengakui hakikat bahawa isu kemanusiaan di Sri Lanka kurang diberi pendedahan
kepada masyarakat umum di negara ini. Itulah juga niat dan harapan saya, iaitu membuka
mata seluruh rakyat Malaysia untuk mampu melihat isu kemanusiaan tanpa
dipengaruhi sentimen etnik, kaum, agama
dan mazhab.
Bagaimanapun, beberapa individu mengirim
mesej peribadi menerusi Facebook
untuk membidas tindakan saya melakukan perbandingan antara isu di Gaza dengan isu di Sri Lanka.
Menurut mereka, isu di Gaza memang perlu dilihat dari perspektif agama (Islam)
kerana “di situlah kebanyakan Rasul kami diturunkan”.
Mereka sedar bahawa isu di Gaza dan Sri
Lanka memang “isu kemanusiaan” serta mengaku bahawa isu di Gaza perlu lebih
mendapat perhatian umat Islam di Malaysia. “Isu di Sri Lanka juga kurang
mendapat perhatian orang India sendiri di Malaysia. Saya berpendapat bahawa
tuan membangkitkan isu Sri Lanka kerana tuan kaum India. Akhirnya kita memang
bertindak berdasarkan kaum dan agama,” kata salah seorang daripada mereka.
Entah berapa kali saya perlu menjelaskan
bahawa saya tidak mengeluarkan kenyataan mengenai isu kemanusiaan di Gaza, Sri
Lanka, Myanmar, Malaysia atau di mana-mana pelosok dunia berdasarkan kaum,
etnik, mazhab dan agama. Pada pendirian saya, golongan minoriti yang bermaruah memerlukan ruang untuk
bersuara.
Apa yang pasti dan turut diakui rata-rata
pembaca makalah “Ada apa dengan Gaza dan Sri Lanka?” adalah perlulah isu kemanusiaan
di Sri Lanka turut didedahkan kepada penduduk Malaysia supaya mereka dapat
sama-sama melakukan apa yang termampu. Tak kenal, maka tak simpati.
Dalam perkembangan berkaitan, pada 23
November 2012, Pemuda MIC menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Luar,
A. Kohilan Pillay di Putrajaya sebagai sebagai membantah kedatangan Presiden
Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa bagi menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF)
kelapan di Johor Bahru pada 4-6 Disember ini.
Bukan hanya kaum India membantah
“Dia bertanggungjawab terhadap jenayah
perang ke atas penduduk awam di Sri Lanka, khususnya pada tahun 2009,” kata
Ketua Pemuda MIC, T. Mohan yang turut mengumumkan bahawa pihaknya bersama-sama
beberapa NGO kaum India akan mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Sri
Lanka pada 28 November 2012.
Tindakan ini sebagai menzahirkan kemarahan,
kekecewaan dan bantahan terhadap tindakan kerajaan dan tentera Sri Lanka yang
diterbukti gagal memberi perlindungan ke atas orang awam – bukan hanya etnik
Tamil dan penduduk beragama Hindu – semasa terlibat dalam pertempuran bersama kumpulan
Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Rajapaksa dikatakan bertanggungjawab terhadap jenayah perang dan penghapisan
etnik yang berlaku di negara itu.
Pendirian kerajaan Sri Lanka pula adalah
sebaliknya. “Tidak berlaku sebarang jenayah perang semasa tentera kerajaan
menentang pemberontak LTTE. Mana-mana pihak yang mengatakan sebaliknya bolehlah
mengemukakan bukti kepada polis dan mahkamah,” kata Setiausaha Pertahanan Sri
Lanka, Gotabhaya Rajapaksa pada Jun 2010.
Dalam pada itu, walaupun LTTE berjaya
dilumpuhkan tentera Sri Lanka pada Mei 2009, penyokong dan kumpulan pro-LTTE
dipercayai masih aktif di beberapa negara seluruh dunia. Laporan di akhbar Sinar Harian (18 Jun 2010) menyebut bahawa
sokongan dan kekuatan kumpulan yang memperjuangkan nasib penduduk Tamil yang
tertindas di Sri Lanka kembali aktif setahun selepas pemimpin LTTE, V.
Prabakaran disahkan terbunuh.
Apa yang berlaku di Sri Lanka ternyata
adalah isu kemanusiaan dan jenayah perang. Itulah asas mengapa beberapa NGO
kaum India di Malaysia membantah kedatangan Rajapaksa ke Malaysia. Kempen juga
dilakukan menerusi Facebook di mana
satu laman bernama “Police Report on
Preventing Mahinda Rajapakse coming to Malaysia” dibuka bagi menyeru orang
ramai membuat laporan polis bagi menghalang kedatangan presiden berkenaan.
Harus dinyatakan bahawa bantahan dan
desakan bukan hanya dilakukan oleh kaum India. Seperti yang sudah dinyatakan,
isu di Sri Lanka – dan di Gaza – adalah isu kemanusiaan dan bukannya isu agama
atau etnik semata-mata.
Pada 23 November 2012, Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang menggelarkan dirinya “che’GuBard”
mengeluarkan kenyataan umum mendesak Barisan Nasional (BN) membatalkan jemputan
ke atas Rajapaksa.
“SAMM cukup rasa terhina dan malu sebagai
warga Malaysia apabila mendapat tahu regim BN telah menjemput Mahinda
Rajapaksa, seorang penjenayah perang yang telah terlibat dalam penghapusan
etnik ke Malaysia. SAMM mendesak BN agar tidak memalukan negara dengan
membenarkan penjenayah perang sekejam Rajapaksa memasuki negara ini. Jika BN masih berdegil untuk meneruskan
jemputan itu, ia satu penghinaan terhadap kedaulatan rakyat dan negara ini dan
tindakan pekak tidak langsung menghormati suara dan sensitiviti rakyat,” kata
kenyataan rasmi di blog.
Memorandum persefahaman dengan Coca-Cola
SAMM berpendirian bahawa sekiranya undangan
kepada Rajapaksa tidak dibatalkan maka ia “membuktikan rejim BN tidak langsung
menghormati atau memahami jalinan sejarah susur-galur saudara kita (kaum India)
yang sama-sama membentuk Malaysia”.
Sementara Pemuda MIC dan NGO kaum India
mengatur demonstrasi pada Rabu ini (28 November 2012), SAMM pula khabarnya
sedang menyusun strategi bagi menggerakkan abak-anak muda di seluruh negara
“untuk berhimpun dan membantah kedatangan Living
Hitler Mahinda Rajapaksa ke Malaysia”. Menurut kenyataan umum itu, “orang
ramai perlu faham isu ini bukan isu orang India semata, ia isu kemanusiaan dan
kezaliman yang harus ditentang habis-habisan.”
Tentu sahaja ada beberapa kesalahan fakta
pada kenyataan SAMM. Misalnya, WIEF bukan anjuran BN, tetapi anjuran Yayasan
WIEF yang dipengerusikan bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam.
Bagaimanapun, forum berkenaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak selaku penaung Yayasan WIEF.
Malah, Bernama
pada 6 November 2012 melaporkan bahawa majlis makan malam gala untuk semua
peserta (sekitar 1,500 perwakilan dari 50 negara dan lebih 70 penceramah
antarabangsa) di Dataran Mahkota, Kota Iskandar akan dihoskan oleh Najib.
Laporan itu juga memetik Setiausaha Agung
WIEF, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai berkata, “15 perkongsian telah
dijalin pada tiga forum lepas (2009-2011), termasuk memorandum persefahaman
antara Coca-Cola dan Yayasan WIEF untuk
meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi dalam dunia Islam.”
Terdahulu, laporan Bernama pada 4 Oktober 2012 memetik Musa Hitam sebagai berkata di
London bahawa “perniagaan antarabangsa tidak seharusnya dihalang oleh perbezaan
agama dan kepercayaan”.
Setahu saya, kempen yang giat dilakukan di
Malaysia adalah supaya orang Islam memboikot semua barangan yang ada kaitan
dengan Israel, termasuk McDonald’s dan
Coca-Cola. Nampaknya ada alasan
kukuh untuk orang ramai turut berani menyelar Yayasan WIEF yang dipengerusikan
Musa Hitam dan dinaungi Najib.
Untuk rekod, kempen menghalang kedatangan
Rajapaksa seperti digerakkan Pemuda MIC dan beberapa NGO tidak melibatkan
tindakan memboikot sebarang produk dari Sri Lanka; sebaliknya secara khusus
menekankan pada isu kemanusiaan, jenayah perang dan penghapusan etnik yang
dilakukan pemimpin itu.
Maka, anda boleh terus menikmati secawan
teh Ceylon sambil menyatakan sokongan padu terhadap kempen mendesak Yayasan
WIEF membatalkan undangan kepada Presiden Sri Lanka.
[Uthaya
Sankar SB adalah penulis bebas dan perunding media. Beliau juga kolumnis di FMT sejak Januari 2011. Makalah ini
ditulis pada 24 November 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 26 November 2012.
© Uthaya Sankar SB 2012]