30 Jan 2013

Kisah dari Kubur Hindu

Saya ada menulis makalah dalam empat bahagian bertajuk “Menghadapi Kematian” mengenai upacara menyempurnakan jenazah mengikut budaya India-Hindu di The Malaysian Insider (29 Oktober – 19 November 2012).
 
Rencana umum itu adalah berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman. Bagaimanapun, pada 15 Disember 2012, saya berpeluang bertemu petugas tanah perkuburan Hindu di Buntong, Ipoh dan mendapatkan pelbagai maklumat tambahan.
 
Apabila peluang pertemuan itu dikemukakan oleh Neelakanthan Munisamy, maka saya dan Murugan Alimuthu yang kebetulan menemani beliau untuk membuat satu lagi wawancara di Kampung Kacang Putih terus bersetuju.
 
Pasangan kembar Raman dan Lakshumanan, 41 tahun, menyambut kunjungan kami dengan gembira. Ternyata kami amat bertuah kerana keluarga itu yang menguruskan tanah perkuburan berkenaan selama enam keturunan sejak sekitar 200 tahun dahulu biasanya tidak mahu diwawancara mana-mana media; lebih-lebih lagi berikutan suatu isu yang berlaku baru-baru ini.
 
Namun, Neelakanthan berjaya mengatur pertemuan khas ini. Menurut Lakshumanan, tanah perkuburan Hindu di Buntong itu berusia lebih 300 tahun tetapi kebanyakan kubur rosak atau musnah berikutan pengeboman tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
 
“Keturunan sebelah datuk saya datang dari Chettinad, Tamil Nadu, India dan terlibat dalam kerja-kerja pengurusan kubur dan pembakaran mayat mengikut tradisi Hindu. Selepas datuk kami, Muniandy, bapa kami, Balachendran pula mengambil alih tugas di sini. Kini, saya pula meneruskan tradisi itu dengan bantuan adik-beradik,” beliau menceritakan sebelum membawa kami melawat sekitar tanah perkuburan di sebelah rumah.
 
Harus juga saya akui bahawa apabila tiba di tanah perkuburan dan melihat suasana di sana, saya segera teringat akan filem Pitha Magan (2003) lakonan Vikram dan Surya. Namun, pasti ada perbezaan antara layar perak dan realiti.
 
Gali kubur sejak kanak-kanak
 
Agak menarik bahawa pasangan kembar Raman dan Lakshumanan serta adik-beradik mereka adalah pemegang ijazah sarjana muda. Sejak pemergian mendiang Balachendran, Lakshumanan memutuskan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh tenaga di tanah perkuburan ini.
 
 “Apabila bapa kami mengalami masalah kesihatan dan lumpuh sebahagian tubuh, saya sedar bahawa tradisi pengurusan kubur ini akan berakhir jika salah seorang daripada tujuh orang adik-beradik tidak meneruskannya secara serius. Maka, saya berhenti kerja pada awal tahun 1990-an dan memikul tanggungjawab yang saya anggap sebagai suatu amanah,” katanya.
 
Saya, Neelakanthan dan Murugan seronok mendengar pengalaman serta proses pengebumian dan pembakaran mayat secara tradisional mengikut hukum-hakam agama Hindu dan budaya India yang masih dipegang oleh keluarga ini tanpa kompromi.
 
“Ada banyak kisah dan pengalaman istimewa yang mungkin orang ramai tidak akan percaya kalau kami ceritakan. Misalnya, mengenai pengalaman melihat roh – bukan hantu – dan kuasa-kuasa ghaib yang sebenarnya memang wujud di tanah-tanah perkuburan,” Lakshumanan menceritakan sambil dipersetujui oleh kembarnya, Raman yang hadir sama dalam sesi perbualan itu.
 
Mengimbau kenangan silam, beliau menceritakan bahawa penggali kubur pada tahun 1980-an hanya dibayar lima ringgit untuk menyempurnakan pengebumian jenazah. Bagi menguruskan pembakaran jenazah pula, bayarannya sepuluh ringgit.
 
Raman yang turut terlibat dalam kerja-kerja di tanah perkuburan sejak usia kanak-kanak mencelah untuk menghuraikan bahawa tugas mengorek lubang mengambil masa purata empat jam. Beliau masih ingat bagaimana mereka berdua bertungkus-lumus mengorek lubang bersaiz 9 kaki (panjang), 4 kaki (lebar) dan 7 kaki (dalam) selepas pulang dari sekolah untuk membantu mendiang bapa.
 
“Bukanlah mudah untuk mengorek tanah untuk mengebumikan jenazah kerana semuanya bergantung pada komposisi tanah. Banyak pengalaman yang kami pernah lalui. Selalu juga terpaksa menahan gigitan semut dan serangga lain. Bayaran yang diterima memang tidak seberapa tetapi kami teruskan demi mengekalkan tradisi,” katanya.
 
Tapak pengebumian sudah penuh
 
Lakshumanan menjelaskan bahawa berikutan mesyuarat dan perbincangan pada awal 1990-an, bayaran sepuluh ringgit bagi pembakaran jenazah dan lima ringgit bagi pengebumian jenazah dinaikkan kepada tiga puluh ringgit dan lima belas ringgit. Itu pun tentulah hanya jika ada kematian dan jika jenazah tidak dibawa ke tanah perkuburan lain atau ke tempat pembakaran moden yang menggunakan mesin.
 
Tanah perkuburan yang diuruskan oleh keluarga Lakshumanan pada mulanya kawasan hutan yang dibersihkan sedikit demi sedikit. Pada suatu masa dahulu, keluasannya sekitar 14 ekar tetapi kemudian mengecil kepada tujuh setengah ekar. Malah, kini keluasan tanah perkuburan itu antara lima dan enam ekar sahaja.
 
Lakshumanan tidak mahu menghurai lanjut mengenai perkara itu kerana bimbang menyentuh sensitiviti pihak tertentu. Tambahan pula, tanah perkuburan berkenaan diuruskan oleh jawatankuasa sebuah kuil dan keluarga beliau hanya menjalankan kerja-kerja yang diamanahkan demi meneruskan tradisi tinggalan generasi terdahulu.
 
Kami dibawa melawat sekitar tanah perkuburan itu sambil diberikan penerangan lanjut dan terperinci oleh Lakshumanan. Tiga tapak khas yang disediakan untuk membakar jenazah secara tradisional menggunakan kayu pokok getah menarik perhatian saya. Tambahan pula, dua daripadanya sudah siap disusun memandangkan dua jenazah akan dibakar pada hari berkenaan.
 
Pengurus kubur itu menerangkan bahawa tapak perkuburan sudah penuh dan mereka tidak dapat menerima permintaan untuk mengebumikan jenazah baru. Perlu dinyatakan bahawa dalam budaya India-Hindu, ada jenazah yang dikebumikan dan ada yang dibakar; seperti saya terangkan dalam makalah bertajuk “Menghadapi Kematian”.
 
Menurut Lakshumanan, ada juga keluarga si mati yang meminta supaya abu daripada jenazah ditanam di kubur. Permintaan itu juga terpaksa ditolak kerana sudah tidak ada ruang kosong. Maka, abu perlu dibawa untuk dicairkan di sungai atau laut mengikut tradisi.
 
Beliau menjelaskan bahawa memang ada banyak upacara yang perlu dibuat apabila jenazah dibakar. Sejak turun-temurun, keluarga mereka tidak mahu berkompromi dalam hal ini. Keunikan itulah juga yang membuatkan ramai orang tetap memilih tanah perkuburan yang mereka uruskan apabila ada kematian dalam kalangan ahli keluarga.
 
Bukan sekadar misteri roh dan mayat
 
Semasa melawat tanah perkuburan, saya perhatikan beberapa batu nesan yang tumbang dan ada juga tanda-tanda beberapa bahagian di kawasan itu seperti pernah dikorek menggunakan jentera berat. Lakshumanan mengakui bahawa pernah ada kerja-kerja mengorek dilakukan pihak tertentu; tetapi beliau enggan mengulas lanjut.
 
Nampaknya tanah perkuburan memang penuh dengan misteri! Bukan hanya misteri berkaitan hantu, roh dan mayat seperti yang sering diperkatakan, tetapi juga mengenai kumpulan manusia yang masih hidup serta diberikan amanah menguruskan tanah rizab kubur Hindu.
 
Saya pernah membaca laporan di beberapa media mengenai isu melibatkan “politik” tanah perkuburan di sekitar Ipoh. Misalnya, laporan di Malaysia Nanban, Tamil Nesan dan Makkal Osai dari Julai 2010 hingga Julai 2011.
 
Tidak ketinggalan juga peristiwa penyerahan memorandum bertarikh 5 Ogos 2011 oleh Human Rights Party (HRP Perak) kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk meminta kerajaan negeri “membina incinerator krematorium moden bagi masyarakat Bukan Islam di atas sebidang tanah yang selain daripada tanah perkuburan rizab Hindu di Buntong, Ipoh”.
 
Hasil carian di internet, saya mendapati bahawa satu lagi memorandum susulan disampaikan oleh HRP kepada Zambry – dengan salinan kepada Perdana Menteri tercinta, Datuk Seri Najib Razak – pada 29 Mei 2012 bagi “menuntut menunaikan janji Kerajaan BN Negeri Perak untuk membina krematorium moden bagi masyarakat yang beragama Hindu di Buntong dan Taiping sebelum PRU-13”.
 
HRP mahu supaya semua kubur dan krematorium masyarakat beragama Hindu digazetkan dan diselenggarakan oleh kerajaan tempatan serta “tidak sepatutnya menganaktirikan dan menolak tugas kerajaan tempatan kepada pertubuhan bukan kerajaan, pihak pengurusan kuil dan parti MIC untuk menguruskan dan menyelenggaranya”.
 
Bagaimanapun, saya memilih untuk tidak mengemukakan pertanyaan berhubung isu-isu itu kepada Raman dan Lakshumanan kerana tidak mahu meletakkan mereka dalam situasi penuh dilema.
 
Mereka adalah generasi keenam yang tekun dan penuh dedikasi menguruskan tanah rizab perkuburan Hindu di Buntong sejak sekitar 200 tahun lalu. Raman khabarnya akan berkahwin tahun hadapan (2013) manakala Lakshumanan masih bujang. Seorang lagi adik mereka yang turut membantu, juga belum berkahwin.
 
Meneruskan legasi turun-temurun
 
Lalu, apakah tradisi yang diwarisi ini akan mampu diteruskan sebagai sebuah legasi demi mengekalkan budaya dan keunikan upacara agama Hindu? Soalan saya disambut dengan ketawa penuh makna oleh pasangan kembar berkenaan yang berumur 41 tahun.
 
“Harapan kami adalah bahawa apabila kami berkahwin dan masing-masing ada anak, maka anak-anak itu akan meneruskan tradisi ini. Apa yang pasti, kami tidak mahu tradisi keluarga kami terkubur begitu sahaja,” kata Lakshumanan dengan penuh yakin selepas ketawanya reda.
 
Menurut beliau, datuknya meninggal dunia pada usia melebihi 70 tahun, lalu amanah menguruskan tanah perkuburan itu diambil alih oleh bapa mereka.
 
“Kalaulah wang menjadi perkiraan, tentulah bapa, datuk dan moyang kami tidak terlibat dalam pekerjaan ini. Tentu mereka tidak bertungkus-lumus mempertahankan tanah perkuburan ini. Bagi keturunan kami, tradisi keluarga perlu dipelihara dan terus menjadi legasi.
 
“Ibu dan mendiang bapa selalu berpesan, walau setinggi mana pun kami adik-beradik belajar dan sibuk dengan pekerjaan bergaji sebesar mana pun, kami tetap perlu bersedia untuk bekerja di tanah perkuburan ini. Walaupun tanah rizab ini bukan milik kami, tetapi ia menjadi tapak bagi meneruskan tradisi keluarga sejak turun-temurun,” katanya dengan penuh semangat.
 
Walaupun menghadapi cabaran dan rintangan yang datang dari pelbagai sudut dan daripada pelbagai pihak, keluarganya tetap mampu bertahan serta mengekalkan tradisi dan integriti. Tidak semuanya dapat saya catatkan di sini secara terbuka.
 
Sambil kami melawat tanah perkuburan, Lakshumanan turut berkongsi pelbagai cerita suka dan duka, aneh dan pelik melibatkan tingkah-laku orang ramai yang datang ke tempat berkenaan. Tentu sahaja lawatan saya ke mana-mana tanah perkuburan tidak akan sama selepas ini.
 
[Uthaya Sankar SB gemar mengunjungi tempat-tempat yang unik untuk meneroka kisah-kisah yang kurang diketahui umum. Makalah ini ditulis pada 22 Disember 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 24 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB]