12 Feb 2013

Mencari “Halal” di Kampung Kacang Putih

[Produk makanan di kawasan ini mendapat perhatian masyarakat pelbagai kaum dan agama.]
 
Baru-baru ini, seorang sahabat menceritakan bahawa pada setiap kali musim perayaan, bapa saudaranya yang tinggal di Buntong, Ipoh akan membeli pelbagai keropok, kacang dan muruku dari kedai-kedai berhampiran rumahnya di Kampung Kacang Putih.
 
Bagaimanapun, saudara-mara dan tetamu yang berkunjung ke rumah sedikit was-was untuk menjamah juadah yang dihidangkan itu dengan alasan bahawa produk makanan itu dihasilkan oleh pengusaha kaum India beragama Hindu.
 
Saya percaya bahawa kebimbangan dan perasaan was-was yang dialami sekitar awal tahun 1990-an sudah tidak berasas kerana kebanyakan pengusaha di Kampung Kacang Putih sudah memiliki sijil pengesahan Halal yang dikeluarkan sama ada oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
 
Pada 15 Disember 2012, saya berpeluang mengunjungi sebuah kedai dan kilang produk keropok, kacang dan muruku di kawasan tersebut. Kunjungan saya adalah sebagai menemani Neelakanthan Munisamy dan Murugan Alimuthu, dua peserta Bengkel Penulisan Makalah Budaya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 19 Mei lalu.
 
Neelakanthan membuat wawancara sementara saya menjadi pembantu dan jurufoto bersama-sama Murugan. Pengalaman itu membantu saya mendapatkan pelbagai maklumat mengenai industri “kacang putih” yang terkenal di situ.
 
Saya tidak melepaskan peluang menumpang mendengar maklumat yang dikongsikan oleh Sathis Kumar, 22 tahun, yang ditemui di DNS Kacang Putih Sdn Bhd. Katanya, perniagaan kacang putih ini dimulakan oleh moyangnya di India. Kemudian, datuknya datang ke Malaya dan meneruskan perniagaan menggunakan basikal. Seterusnya, bapanya menggunakan motosikal untuk menjual kacang putih di sekitar Ipoh.
 
Rumah mereka di Kampung Kacang Putih dijadikan kilang dan kedai menjual produk makanan sejak 1997. Kilang utama pula terletak di Taman Perindustrian Candan Raya, Menglembu dan dirasmikan oleh Datuk Bandar Ipoh pada 30 Jun 2012. Sathis yang merupakan generasi keempat, kini sudah bersedia untuk meneruskan tradisi perniagaan yang diwarisi daripada moyangnya.
 
Semasa kunjungan ke kedai di Kampung Kacang Putih, saya perhatikan bahawa perniagaan memang pesat membangun. Lori dan van yang memaparkan frasa “Kacang Putih Ipoh Mari” kelihatan di luar kedai. Pembeli pelbagai kaum dan agama dari jauh dan dekat datang bertali-arus sepanjang kami bertiga berada di sana.
 
Masih ada rasa was-was
 
Memandangkan Neelakanthan sedang dalam proses menulis sebuah makalah berdasarkan kunjungan dan wawancara yang dilakukan, tidak wajar untuk saya menulis lebih lanjut mengenai industri kacang putih berkenaan.
 
Bagaimanapun, saya lebih tertarik untuk melihat dari sudut Halal kerana masih ada perasaan was-was dalam kalangan pengguna apabila produk makanan dihasilkan oleh pengusaha kaum India beragama Hindu.
 
Saya perhatikan bahawa logo Halal terpapar pada van, lori, kedai dan plastik pembungkus makanan di kedai yang dikunjungi. Sathis memaklumkan bahawa sijil pengesahan Halal itu diperoleh pada tahun 2000. Sekali gus membuatkan pengguna beragama Islam semakin yakin untuk membeli produk makanan keluaran syarikat itu tanpa was-was.
 
Saya membuat rujukan di portal rasmi Halal Malaysia untuk mendapatkan sedikit maklumat tambahan. Jelaslah bahawa “halal” berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang bermaksud “dibenarkan atau dibolehkan oleh Hukum Syarak”.
 
Portal rasmi yang dilayari menjelaskan bahawa “Hukum Syarak bermakna undang-undang Islam dalam Mazhab Syafi’e atau undang-undang dalam mana-mana suatu Mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana negeri untuk dikuatkuasakan dalam negeri itu”.
 
Takrif “halal” ada dijelaskan secara terperinci dalam Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975 dan boleh dirujuk di portal rasmi Halal Malaysia.
 
Sekiranya diperhatikan, memang lebih banyak syarikat/pengusaha produk daripada kalangan “Bukan Islam” mendapat sijil pengesahan Halal berbanding pengusaha/syarikat milik orang Islam. Perkara ini mungkin (ulang: mungkin) berlaku kerana pengusaha beragama Islam merasakan bahawa tidak timbul keperluan khusus untuk mereka memohon sijil itu memandangkan mereka beragama Islam; sekali gus produk mereka secara automatik dianggap memenuhi hukum syarak.
 
Portal Halal Malaysia menjelaskan bahawa bermula tahun 1974, Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri diberi tugas mengeluarkan sijil pengesahan Halal. Pemberian logo “Halal” pula dimulakan pada 1994.
 
Syarat “halal” tidak membebankan
 
Antara September 1998 dan September 2002, pemeriksaan halal dilakukan oleh sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan; sebelum diserahkan sepenuhnya kepada Jakim melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam.
 
Bahagian Hub Halal diperkenalkan pada November 2005 tetapi bermula April 2008, pengurusan “Halal” diambil alih oleh Halal Industry Development Corporation. Terkini, pada Julai 2009, Kabinet memutuskan bahawa urusan “Halal” bagi produk dalam dan luar negara diuruskan sepenuhnya oleh Jakim.
 
Di tengah-tengah pelbagai perubahan baton seperti inilah pengusaha makanan daripada kalangan “Bukan Islam” terus berusaha memenuhi setiap syarat dan hukum syarak yang perlu dipatuhi. Semuanya demi memastikan produk yang dihasilkan adalah sesuai bagi semua kaum dan agama di Malaysia.
 
Bagi DNS Kacang Putih Sdn Bhd, mereka menghasilkan kacang, keropok, muruku dan manisan menggunakan barangan yang disahkan halal. Proses pembuatan juga memenuhi hukum syarak sebagaimana ditetapkan oleh Jakim.
 
Bagi Sathis, tugas mematuhi segala syarat ini tidak dilihat sebagai membebankan. Sebaliknya, pemuda ini yang terlibat dalam kerja-kerja membantu perniagaan bapanya sejak sekolah rendah melihat kesemuanya sebagai salah satu “panduan” yang membantu memastikan produk yang dihasilkan adalah selamat, sesuai, bermutu dan boleh dinikmati oleh semua orang tanpa was-was.
 
Satu-satunya perkara yang dikesali oleh Sathis adalah bahawa golongan muda tempatan kurang berminat untuk terlibat dalam industri makanan “kacang putih” seperti yang diusahakan oleh keluarganya sejak empat generasi lalu.
 
“Ramai yang menganggap kerja ini kurang menarik. Akhirnya, kami terpaksa menggunakan khidmat pekerja luar negara. Maknanya, mereka ini akan lebih tahu hukum syarak dalam penyediaan makanan halal berbanding pemuda-pemudi tempatan yang lebih gemar memilih pekerjaan lain,” katanya dengan nada kesal.
 
Apa pun, melihat pada jumlah pembeli pelbagai kaum dan agama yang mengunjungi kedai Sathis, saya yakin bahawa perasaan was-was seperti yang diceritakan oleh sahabat saya sudah tidak berasas.
 
[Uthaya Sankar SB sering mengendalikan bengkel penulisan cerpen dan makalah anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan. Makalah ini ditulis pada 21 Disember 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 24 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]