10 Jul 2010

Syarahan Raja Lawak

Jika anda peminat lawak, jenaka, lelucon dan seumpamanya, anda amat rugi kerana tidak menghadiri Syarahan Tokoh di Dewan Seminar, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 8 Julai 2010.
.

Saya tidak mahu berpura-pura dalam mengemukakan pandangan, maka biar saya berterus terang secara ikhlas.

.

Tentu sahaja saya mengambil cuti pada hari berkenaan kerana tidak mahu ketinggalan mendengar hujahan berhubung topik “Memartabatkan Bahasa dan Sastera Kebangsaan Kita dari Perspektif Orang Politik dan Masyarakat Berbilang Kaum” yang disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ S K Devamany.

.

Apabila saya masuk, Dewan Seminar DBP kelihatan diisi lebih ramai orang berbanding pelbagai acara sebelum ini. Rupa-rupanya, sebahagian kakitangan DBP diwajibkan hadir kerana diberi markah!

.

Beberapa minit selepas syarahan bermula, seorang wanita (kakitangan DBP) mula berdengkur. Akan tetapi, kehebatan Devamany menyampaikan syarahan segera mengejutkannya daripada lena.

.

Apa tidaknya, Devamany ternyata bijak membuat lawak. Terdapat lima selingan panjang berisi lawak, jenaka dan lelucon yang membuatkan sebahagian besar hadirin tidak kering gusi.

.

Akan tetapi, tentu sahaja tidak begitu halnya dengan mana-mana individu yang hadir untuk mendengar hujah yang bernas dan intelek.

.

Daripada penelitian saya, Devamany begitu khusyuk bercakap mengenai politik dan propaganda Kerajaan Persekutuan dan/atau retorik bahasa bombastik yang langsung tidak menjawab topik syarahan.

.

Beliau ada menyebut – dua kali – mengenai “bahasa ibunda” dan “Bahasa Jiwa Bangsa” tetapi langsung tidak dihuraikan apa yang mahu diperkatakannya mengenai topik berkenaan.

.

Sebagai graduan Universiti Malaya yang mengkhusus pada Sastera Melayu, bekas tenaga pengajar dan orang kuat dalam Sri Murugan Center (SMC), Devamany ternyata masih ingat nota-nota yang dihafaz mengenai Sejarah Melayu, Sastera Melayu Tradisional dan Sastera Sebelum Merdeka. Bagus juga kerana hadirin dapat mengimbau kenangan zaman STPM.

.

Syarahan yang disampaikan ternyata lebih menjurus kepada Bahasa Melayu, Orang Melayu dan Sastera Melayu. Mungkinkah itu yang difahami oleh Devamany dengan “sastera kebangsaan” dan “bahasa kebangsaan”? Jika benar, betapa malang.

.

Dalam syarahannya, beliau turut menyatakan bahawa sastera sudah hilang, bahasa sudah hilang dan hanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang boleh mengembalikannya.

.

Devamany turut mengutuk (bukan sekadar mengkritik) teks-teks Komsas sedia ada yang dianggapnya penuh dengan kelucahan dan tidak membantu memasyarakatkan sastera. “Siapa yang bertanggungjawab memilih teks-teks ini?” Tanya beliau. Apabila dijawab, “DBP” ... beliau terus menukar topik.

.

Daripada pemerhatian saya sepanjang syarahan (dan terhad pada syarahan ini sahaja), ternyata Devamany kurang mengenali sastera kebangsaan selepas tahun 1980. Senarai nama pengarang selepas 1980 yang disebut tidak boleh dijadikan bukti beliau mengenali karya-karya yang mereka hasilkan.

.

Penceramah/pensyarah turut mengakui majalah Dewan Sastera terlalu “tinggi” baginya; sedangkan penggiat sastera melihat kualiti majalah itu semakin menurun! Beliau juga dengan bangga menggelar dirinya “sasterawan” – kerana telah menghadiri Seminar Pemikiran Sasterawan Negara pada tahun lalu (Mungkin SEMINAR INI).

.

Peminat lawak, jenaka dan lelucon amat bertuah kerana pasti terhibur. Hal ini amat nyata menerusi gelak tawa yang berterusan daripada hadirin. Hal yang sama tidak dapat saya katakan mengenai hadirin yang datang dengan niat menambah ilmu.

.

Terdapat terlalu banyak selingan. Belum ditambah dengan segala lawak, jenaka dan lelucon. Ringkasnya, “syarahan” disampaikan secara selingan kepada “lawak jenaka” dan “cakap politik”.

.

Saya terkedu apabila Devamany mencadangkan pertandingan khusus untuk Ahli Parlimen Bukan Melayu berhubung kefasihan bercakap bahasa kebangsaan. Juga pertandingan mengarang karya bahasa kebangsaan khusus bagi penulis Bukan Melayu.

.

Betapa memalukan. Malah, suatu penghinaan besar kepada masyarakat “Bukan Melayu” (Bangsa Malaysia – Melayu = Bukan Melayu).

.

Pada masa sama, Devamany mahu penulis menghasilkan karya yang menyokong (baca: propaganda) gagasan “1Malaysia”.

,

Tiada sesi soal-jawab pada Syarahan Tokoh yang julung kali diadakan ini. Maka, tidak sempatlah saya mengemukakan soalan yang saya sediakan: “Saya ingin bertanya satu soalan yang belum dijawab dalam Syarahan Tokoh, iaitu dari perspektif orang politik dan masyarakat berbilang kaum, bagaimanakah untuk memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan?”