Menurut keterangan kes, tidak lama selepas tentera pimpinan Videla merampas kuasa daripada Presiden Isabel Perón pada 24 Mac 1976, 31 banduan ditarik keluar dari penjara dan ditembak mati apabila mereka cuba melarikan diri.
Pemerintahan junta tentera di bawah pemerintahan diktator Videla dari 1976 hingga 1981 mengorbankan nyawa hampir 30,000 penduduk.
Pada 29 Mac 1981, Videla menyerah kuasa kepada Roberto Viola dan pemerintahan demokrasi dipulihkan melalui pilihan raya pada 1983.
Pada tahun 1985, Videla dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan melakukan penderaan, pembunuhan dan pelbagai jenayah perang sepanjang pemerintahannya sebagai presiden ke-43.
Bekas pemimpin diktator itu dibebaskan pada 1990 selepas diberi pengampunan oleh presiden waktu itu, Carlos Menem.
Semasa Néstor Kirchner menjadi Presiden Argentina dari 25 Mei 2003 hingga 10 Disember 2007, usaha besar-besaran diambil untuk membuktikan bahawa kedudukan Videla sebagai presiden dari 26 Mac 1976 hingga 28 Mac 1981 tidak sah di sisi undang-undang.
Susulan itu, kerajaan Argentina tidak mengiktirafnya sebagai presiden ke-43.
Pada 6 September 2006, mahkamah memutuskan pengampunan yang diberikan Menem tidak sah di sisi undang-undang dan pada 25 April 2007, Mahkamah Persekutuan membatalkan pengampunan itu dan Videla dipenjarakan semula.
Sejak itu, beberapa lagi dakwaan jenayah perang dihadapi bekas pemimpin diktator itu, termasuk tuduhan penculikan dan membunuh puluhan bayi semasa pemerintahannya.
Dalam insiden di Cordoba pada 1976, kesemua 31 banduan terbabit dipenjarakan sebelum Videla merampas kuasa tetapi junta tentera membunuh mereka tanpa dibicarakan.
Junta tentera juga mengharamkan parti politik, mengambil alih kesatuan pekerja, mengawal media serta mendera dan membunuh ribuan penduduk dengan alasan menghalang penularan fahaman komunis di negara berkenaan.
Junta tentera itu diketuai oleh Videla mewakili tentera darat, Emilio Massera mewakili tentera laut dan Orlando Ramón Agosti mewakili tentera laut.
Videla selaku komander junta tentera didakwa memberi arahan kepada segala kekejaman yang berlaku sepanjang pemerintahannya.
Malah, dalam biografi berjudul The Dictator (2001), pemerintah diktator itu berkata, "Saya tahu mengenai semua yang berlaku kerana saya berada dalam kedudukan tertinggi."
Terdahulu, semasa sidang media di Venezuela pada 1977, Videla dengan angkuh berkata, "Puluhan ribu orang yang dilaporkan hilang, anggap sahaja sebagai tidak pernah wujud."
Videla yang lahir pada 2 Ogos 1925 di Mercedes, Buenos Aires turut menghadapi tuduhan di Itali, Sepanyol, Perancis dan Jerman kerana membunuh rakyat negara itu di Argentina.
Keputusan perbicaraan pelbagai dakwaan baru ini bagaimanapun tidak akan mengubah keadaan kerana Videla sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Apa pun, perbicaraan kes-kes ini diteruskan demi keadilan dan supaya keluarga mangsa mendapat ketenangan fikiran.
(Sinar Harian, 3 Julai 2010)