Friday, 29 March 2013

Budaya “Pendatang” – Bahagian 2

[Mengikut laporan Bernama, jumlah penduduk kaum India di negara ini hampir dua juta orang; dengan majoriti keturunan Tamil. Soalnya: Apakah wujud rasa sangsi terhadap kesetiaan kaum India terhadap Malaysia?]
 
[BACA BAHAGIAN PERTAMA] – Pada 26 Julai 2010, saya memutuskan untuk mengambil langkah wajar sebagai protes terhadap penghinaan yang dilakukan melalui penggunaan istilah “bangsa asing” dan “pendatang”. Keputusan saya adalah seperti berikut; sebagaimana saya paparkan pada ruangan status di Facebook pada 26 Julai 2010:
 
“Sesiapa yang berpendirian bahawa warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan ‘lain-lain’ sebagai ‘pendatang’ dan ‘bangsa asing’ tolong segera klik unfriend kerana saya tidak layak menjadi sahabat anda. Teruskanlah hidup anda yang penuh kepura-puraan.”
 
Dalam masa tidak sampai 24 jam, dua individu berbuat demikian. Terima kasih, Tuhan, kerana menyelamatkan saya daripada terus berkawan dengan puak ekstremis, etnosentrik, ultra kiasu dan fanatik yang menggugat keamanan negara!
 
Mengikut laporan Bernama (9 Disember 2012), jumlah penduduk kaum India di negara ini hampir dua juta orang; dengan majoriti keturunan Tamil. Soalnya: Apakah wujud rasa sangsi terhadap kesetiaan kaum India terhadap Malaysia?
 
Sejarah membuktikan bahawa kedatangan penduduk awal kaum India adalah dari Benua Kecil India. Akan tetapi, bukan hanya selepas tahun 1900 seperti yang cuba “disajikan” kepada pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya menerusi novel Interlok: Edisi Murid karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang dimanipulasi pihak berkepentingan.
 
Malah, walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan, masih ramai penduduk kaum India di Malaysia dikatakan lebih berminat mengetahui perkembangan politik – selain perkembangan filem – di India berbanding perkembangan dalam negeri.
 
Sekelompok anak-anak muda yang lahir jauh selepas merdeka juga didapati lebih terkesan oleh perkembangan politik di India (khasnya Tamil Nadu) berbanding apa yang berlaku di dalam negara. Kehadiran enam akhbar Bahasa Tamil yang menyajikan berita Tamil Nadu memudahkan lagi perkara ini berlaku. [Nota: Akhbar keenam terbit mulai 1 Mac 2013.]
 
Tidak kurang juga kelompok yang masih menggelar serta menganggap diri mereka sebagai imigran dari India. Saya sendiri pernah mendengar ungkapan seperti itu yang sebenarnya amat memalukan dan semacam tidak memahami realiti.
 
Hal ini belum termasuk label “pendatang” yang dipercayai diletakkan secara penuh sedar oleh puak tertentu yang secara terancang berusaha menafikan hak kaum India sebagai warganegara Malaysia.
 
Bukti sejarah dihapus secara terancang
 
Di sisi yang lain pula, sekumpulan kaum India sendiri nampaknya menganggap Malaysia sebagai “negara mereka” (their country) dan bukannya “negara kita” (our country). Isu-isu ini saya perhatikan sendiri hasil pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Apa yang didengar dan diperhatikan adalah realiti pahit. Saya ada memperkatakan isu ini menerusi sebuah makalah di majalah Minda keluaran September 2003; jauh sebelum tsunami politik 8 Mac 2008.
 
Agak menarik jika dapat dikaji mengapa keadaan seperti didedahkan di atas boleh berlaku. Mungkin sahaja penelitian terhadap sejarah awal kedatangan kaum India ke negara ini boleh membantu kita untuk sama-sama memahami mentaliti dan sifat mereka pada masa kini.
 
Hubungan antara Benua Kecil India dan Kepulauan Melayu di nusantara sebenarnya terjalin jauh sebelum bermulanya Kerajaan Melayu Melaka. Sejak awal kurun Masehi, sudah terdapat kerajaan-kerajaan awal seperti Srivijaya, Funan, Langkasuka, Kadaram (Kedah), Tun-Sun (Terengganu) dan Chih-Tu (Kelantan).
 
Kajian membuktikan bahawa kesemuanya adalah kerajaan yang dipengaruhi unsur Hindu-Budha dan budaya serta tradisi pemerintahan India. Malangnya, bukti-bukti sejarah itu semakin dihapuskan secara terancang oleh puak tertentu demi kepentingan politik perkauman. Suatu lagi realiti yang pahit untuk diterima. Saya sedar bahawa saya akan dikecam kerana mengeluarkan kenyataan ini tetapi fakta tetap fakta.
 
Walaupun kemudian Kerajaan Melayu Melaka menerima pengaruh Islam, unsur-unsur agama Hindu dan budaya India terus kekal dan sebati dengan budaya Melayu-Islam hingga kini. Cuba perhatikan, teliti dan kaji budaya Melayu-Islam di Malaysia secara objektif dan hakikat ini akan terpampang jelas di depan mata. Tidak wujud “budaya Melayu” yang kukuh jika semua “budaya India” dibuang.
 
Kedatangan orang India ke Kepulauan Melayu pada peringkat awal hanyalah sebagai pedagang. Jumlah mereka tidak ramai dan mereka tidak bercadang untuk menetap di sini. Namun, mereka mendapat tempat istimewa daripada golongan diraja sehingga digelar “saudagar diraja”. [Lihat juga: Masyarakat Chetti]
 
Pada tahun 1820-an, banduan-banduan India dilaporkan dibawa ke Tanah Melayu. Tenaga buruh banduan berkenaan digunakan untuk membina bangunan, jalan raya dan jambatan. Perlu diingat bahawa India dan Tanah Melayu sama-sama dijajah British pada waktu itu.
 
Agak menarik juga untuk direnungkan bagaimana ada pihak yang tidak lama dahulu tiba-tiba tampil mengubah fakta sejarah dengan mengatakan bahawa negara ini tidak pernah dijajah! Maka, saya tidak akan terkejut jika ada puak tertentu tampil mengatakan bahawa negara ini tidak pernah menerima sebarang pengaruh budaya dan agama dari India.
 
Berbalik pada topik perbincangan, pada tahun 1840-an, ladang-ladang tebu mula diusahakan secara besar-besaran di Seberang Perai oleh pengusaha Eropah. Lalu, buruh dibawa dari Tamil Nadu, India untuk bekerja di sana. Pembukaan ladang kopi di Selangor pada tahun 1870-an membuatkan lebih ramai buruh dibawa dari India.
 
Punca kaum India berhijrah ke Tanah Melayu
 
Suatu perkara yang cukup menarik untuk diteliti adalah berhubung soal mengapa pengusaha ladang Eropah berminat mengambil rakyat India menjadi buruh di ladang. Alasan yang biasa diberi adalah bahawa Tanah Melayu dan India sama-sama dijajah British. Maka, proses membawa buruh adalah lebih mudah dan murah. Upah yang diminta juga jauh lebih rendah berbanding upah yang sedia diterima pekerja dari Eropah.
 
Sebenarnya, selain daripada alasan di atas, ada beberapa lagi alasan yang lebih menarik untuk diteliti secara mendalam. Alasan-alasan ini bukan sahaja relevan untuk mengkaji mengapa pengusaha ladang Eropah mengambil buruh dari India. Malah, boleh membantu untuk mengetahui sifat dan peribadi penduduk kaum India secara am.
 
Ada beberapa sebab mengapa orang India bersedia untuk datang ke Tanah Melayu sebagai buruh pembinaan dan buruh di ladang pada masa silam. Sistem aturan dan kedudukan dalam masyarakat di negara India pada masa lalu menjadi penghalang untuk mencapai mobiliti sosial. Seseorang yang lahir dalam keluarga pencuci pakaian (dobi), misalnya, hanya boleh menjadi pekerja dobi dan tidak boleh mencapai status lebih tinggi dalam masyarakat di negara itu.
 
Berbekalkan impian membaiki kedudukan ekonomi dan status dalam masyarakat tanpa dipengaruhi ikatan tradisi yang mengongkong, ramai yang bersedia datang ke Tanah Melayu yang dikenali sebagai Suwarna Bumi (“Semenanjung Emas”).
 
Bagaimanapun, jangan pula terpengaruh seratus peratus dengan apa yang dipaparkan dalam novel Interlok: Edisi Murid dan dipertahankan secara bermati-matian oleh puak tertentu bahawa rata-rata buruh kaum India yang dibawa ke Tanah Melayu oleh British adalah daripada “kasta p***”. Semua itu boleh dianggap – malah terbukti – propaganda terancang puak tertentu bagi menjatuhkan maruah dan semangat kaum India di Malaysia.
 
Pada realiti masa silam, pertambahan dan kepadatan penduduk di Benua Kecil India juga menyebabkan masalah mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi. Begitu juga dari segi pekerjaan. Situasi menjadi bertambah buruk sepanjang musim kemarau dan banjir besar.
 
Di bawah pemerintahan British, penduduk di India terpaksa membayar cukai yang tinggi. Semua faktor ini menyebabkan ramai rakyat India memutuskan untuk mencari kehidupan baru di Tanah Melayu.
 
Di pihak pengusaha Eropah pula, mereka dikatakan memilih untuk mengambil buruh dari India kerana golongan ini sentiasa akur pada arahan kerja yang diberi. Mereka tidak menimbulkan masalah kepada majikan.
 
Sikap ini tentu sekali disukai pengusaha ladang Eropah yang menghadapi masalah mendapatkan golongan pekerja seperti itu daripada kalangan buruh dari Eropah dan penduduk Melayu tempatan pada waktu itu. – Bersambung minggu hadapan [BACA DI SINI]
 
[Makalah ini dikemas kini pada 2 Mac 2013 berdasarkan bahan lama dan disiarkan di Roketkini pada 19 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!