Thursday, 28 March 2013

Bagan-Narwee dan Tradisi Seediq

Bagan-Narwee bukan suatu nama yang dikenali umum. Namun, wanita berumur 80 tahun ini tekun berusaha memastikan tradisi tinggalan nenek-moyang terus terpelihara, terpulihara dan mampu diwariskan pula kepada generasi akan datang.
 
Saya berpeluang bertemu dengan wanita legenda ini apabila pergi ke Taiwan atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd pada 25-31 Januari 2013. Pertemuan dan wawancara diatur oleh Encik Koh Yok Hwa dan pemandu pelancong kami, Minai Don Lin.
 
Kami – termasuk Izzat Izhar, Clay Lim Shi Min, Totoro Chang Boon Kiat dan isteri Encik Koh – meluangkan masa bertemu dan berbual-bual bersama-sama Bagan-Narwee di bengkel/kedai kecilnya di Alang Snuwil, Ren-ai, daerah Nantou; tidak berapa jauh dari kawasan kolam air panas Lushan.
 
Wanita ini yang dikenali penduduk tempatan sebagai Mama Chang sangat mesra dan tidak keberatan untuk berkongsi kisah diri dan masyarakat Seediq yang diwakilinya. Masalah bahasa tidak menjadi halangan kepada wanita yang buta huruf ini untuk bercerita panjang sementara Encik Koh menjadi penterjemah.
 
Secara tradisi, lelaki daripada etnik penduduk asli Taiwan ini memburu atau menanam padi bukit  sementara wanita pula menenun kain dan bercucuk-tanam. Mengikut data pada tahun 2009, terdapat sekitar 5,740 orang Seediq di Taiwan.
 
Peminat filem Taiwan di Malaysia mungkin sudah berpeluang menonton drama sejarah berjudul Warriors of the Rainbow: Seediq Bale (2011) tulisan dan arahan Wei Te-Sheng. Drama sepanjang lebih empat setengah jam itu adalah penerbitan dengan kos paling besar di Taiwan dan masih disiarkan secara bersiri di republik itu pada masa sekarang. Ia mengangkat kisah yang berlaku di Wushe pada 1930.
 
Mama Chang turut menceritakan mengenai perjuangan orang Seediq yang diketuai Mona Rudao selepas pegawai polis Jepun menghina seorang penduduk asli. Rusuhan berlaku dan ramai penduduk tempatan dibunuh secara kejam oleh tentera Jepun. Mona Rudao sendiri membunuh isterinya sebelum membunuh diri bagi mengelakkan tentera Jepun menangkap dan mendera mereka.
 
Walaupun menghadapi masalah bahasa, saya dapat menghayati kisah-kisah baru dan lama yang cuba dikongsikan oleh Mama Chang. Beliau juga bermain alat muzik dan menyanyikan lagu tradisional sambil berbual-bual dengan kami semasa kunjungan kami pada 28 Januari 2013.
 
Katanya, rata-rata golongan Seediq beragama Kristian dan terus berusaha gigih memelihara tradisi yang menjadi kebanggaan. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa semasa penjajahan Jepun di Taiwan (1895-1945), etnik Seediq dianggap sebahagian daripada etnik Atayal.
 
Saya melakukan sedikit pencarian di internet dan mendapat maklumat bahawa hanya pada 23 April 2008, selepas pembetulan fakta dilakukan, kerajaan Taiwan secara rasmi mengiktiraf kumpulan Seediq sebagai kumpulan orang asli yang ke-14; sebagai tambahan kepada senarai 13 kumpulan orang asli yang sedia ada.
 
Menurut Mama Chang, sejak dahulu, kumpulannya melakukan pelbagai usaha bagi memastikan tradisi nenek-moyang tidak pupus ditelan zaman. Selain daripada muzium peringatan di Alan-Gluban bagi memperingati tragedi Wushe (1930), orang Seediq juga mengendalikan kelas bahasa, tenunan, muzik, tarian dan nyanyian di sekolah-sekolah rendah dan menengah sekitar Nantou.
 
Mama Chang sendiri terlibat secara aktif dalam segala usaha ini sejak lebih 20 tahun lalu. Beliau yang belajar menenun daripada ibunya pada usia lapan tahun, kini dianggap tokoh warisan budaya dan “penenun nombor satu masyarakat Seediq”.
 
Katanya, kerajaan Taiwan menerusi kementerian dan jabatan terbabit amat mengambil berat serta memberi ruang dan peluang kepada masyarakat Seediq mengendalikan pelbagai aktiviti berkaitan bahasa, seni, budaya dan tradisi tinggalan nenek-moyang.
 
Malah, sepanjang seminggu rombongan kami menjelajah beberapa wilayah di bahagian utara, timur, tengah dan barat Taiwan, amat jelas bagaimana budaya tradisi pelbagai etnik dikekalkan dan dijadikan warisan; sekali gus tarikan pelancong. Hal ini tentu sahaja amat berbeza dengan mentaliti pihak berkenaan di Malaysia.
 
Berbalik pada kisah Mama Chang, beliau mengakui bahawa kedai/bengkel menenun miliknya tidak mendatangkan hasil yang lumayan. Sebaliknya, beliau terus tekun mengusahakannya sebagai tanggungjawab selaku seorang anggota masyarakat dalam kelompok Seediq untuk meneruskan tradisi.
 
“Wang bukan perkara utama. Kegembiraan dan kebahagiaan adalah jauh lebih penting. Perkara inilah juga yang saya cuba wariskan kepada generasi muda. Saya berharap mereka akan sentiasa gembira, mengekalkan budaya tradisional, menghormati ibu bapa dan jangan berputus asa,” katanya dengan spontan.
 
Menurut wanita yang sentiasa tersenyum dan kelihatan ceria itu, beliau hanya belajar di sekolah selama dua tahun. Namun, beliau mampu menghafaz muzik, lagu dan teknik menenun yang diajar oleh ibunya pada usia muda. Beliau juga boleh bercakap Bahasa Jepun.
 
Mama Chang turut bekerja sebagai sukarelawan yang mengajar bahasa dan budaya Seediq di gereja tempatan sejak sekitar 25 tahun lalu. Katanya, peluang berinteraksi bersama-sama mubaligh Kristian digunakan sebaik-baiknya untuk belajar Bahasa Inggeris.
 
Satu lagi ciri unik yang saya perhatikan pada masyarakat Seediq adalah tatu pada wajah. Rupa-rupanya ia menjadi amalan spiritual dan sosial yang sangat penting sejak zaman-berzaman. Tatu ini tidak boleh dimiliki begitu sahaja; sebaliknya perlu memenuhi kelayakan tertentu sebelum berhak memilikinya.
 
Pada usia tujuh tahun, seorang kanak-kanak lelaki etnik Seediq akan menerima tatu khas pada dahi. Bagaimanapun, untuk layak memiliki tatu pada dagu, kaum lelaki pada masa lalu perlu membuktikan keberanian dan kejantanan dengan memenggal kepala musuh dan membawanya pulang.
 
Menurut Mama Chang, seorang gadis yang mahu memiliki tatu pada muka perlu terlebih dahulu belajar serta menguasai ilmu menenun kain. Hal ini penting kerana kain yang ditenun akan dijadikan pakaian seisi keluarga selepas gadis itu berkahwin.
 
Secara tradisi, seorang individu (lelaki atau wanita) yang tidak memiliki tatu pada wajah mempunyai peluang yang amat tipis untuk berkahwin kerana mereka dianggap belum sempurna.
 
Berbalik pada drama Warriors of the Rainbow: Seediq Bale, bahagian pertama dinamakan “The Sun Flag” (144 minit) dan bahagian kedua pula “The Rainbow Bridge” (132 minit).
 
Jambatan pelangi ini ada kaitan rapat dengan masyarakat Seediq dan dinamakan “hakaw utux” dalam bahasa ibunda mereka. Menurut kepercayaan orang Seediq, roh nenek-moyang yang sudah meninggal dunia tinggal di suatu tempat yang hanya boleh dilalui menggunakan jambatan pelangi itu. “Utux” bermakna “roh nenek-moyang”.
 
Masyarakat Seediq percaya bahawa hanya individu yang mempunyai tatu pada wajah boleh melalui jambatan pelangi untuk pergi bertemu dan tinggal bersama-sama roh nenek-moyang apabila meninggal dunia.
 
Drama Warriors of the Rainbow: Seediq Bale berakhir dengan alunan lagu dalam bahasa Seediq dan penghujung lagu itu saya terjemahkan begini:
 
Wahai anak-anak! Tahukah kamu?
Betapa banyak perit yang kamu telan
Untuk menyanyikan lagu roh nenek-moyang?
Betapa banyak malu yang kamu telan
Untuk bercakap apa yang mahu diluahkan?
Betapa banyak kesal yang kamu telan
Untuk memenuhi mimpi dan impian?
Wahai anak-anak!
Apa yang tidak kena dengan kamu?
Wahai anak-anakku!
Apa sebenarnya yang tidak kena dengan kamu?
 
Demikian sebahagian kecil daripada keunikan tradisi masyarakat orang asli yang sempat saya temui dan rakamkan kisah mereka semasa kunjungan ke Taiwan. Tentu sahaja ada pelbagai kisah lain yang ingin saya kongsikan dari semasa ke semasa.
 
[Uthaya Sankar SB merakamkan terima kasih kepada One Nusantara Sdn Bhd yang menaja kunjungannya ke Taiwan selama seminggu. Makalah ini ditulis pada 10 Februari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 11 Februari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!