Tuesday, 26 March 2013

Mencari Halal di Taiwan

[Pengalaman selama seminggu di Taiwan membuktikan bahawa pelancong Islam dan Hindu tidak akan menghadapi masalah.]
 
Apabila saya memaklumkan melalui Facebook pada pertengahan Januari 2013 bahawa saya akan ke Taiwan selama seminggu atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd, ramai yang bertanya adakah saya akan menghasilkan Travelog Taipei seperti mana saya bersama-sama Izan Ali dan Nurfa menghasilkan Travelog Beijing (2012).
 
Pertanyaan dan kenyataan yang lebih merimaskan dan membuatkan saya sedikit menyampah adalah apabila beberapa individu tampil mengatakan bahawa sebagai seorang individu beragama Hindu yang (antara lain) tidak makan daging lembu dan babi, saya akan menghadapi masalah besar apabila berada di Taiwan.
 
Kejahilan, prejudis dan salah tanggap yang dilahirkan oleh individu terbabit tidak sedikit pun mematahkan semangat saya. Semasa berada di Beijing, China pada 12-21 Julai 2011, saya turut menulis beberapa makalah berdasarkan pengalaman di sana dan turut disiarkan di Free Malaysia Today.
 
Salah satu makalah bertajuk “Makanan Halal di Beijing” dan menghuraikan mengenai betapa mudah menemui makanan halal yang sesuai dan selamat bagi pengujung/pelancong beragama Islam serta bagi individu beragama Hindu seperti saya.
 
Hampir sebulan sebelum berangkat ke Taiwan, iaitu pada 27 Disember 2012, saya bersama-sama pengarah urusan One Nusantara Sdn Bhd, Encik Koh Yok Hwa pergi ke Biro Pelancongan Taiwan di Wisma Goldhill, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur untuk mendapatkan pelbagai maklumat berguna.
 
Penolong pengurus biro berkenaan, Ong Jia Haur tampil memberikan penerangan lengkap serta membekalkan kami dengan pelbagai brosur, buku panduan dan maklumat penting yang diperlukan. Graduan bidang pengurusan pelancongan dari Kolej Universiti Berjaya itu juga secara khusus memberikan maklumat berkaitan makanan halal di Taiwan.
 
Katanya, sekitar 35 ribu orang dari Malaysia pergi ke republik itu setiap tahun. Rata-rata pelancong dan peniaga beragama Islam tidak menghadapi masalah untuk menikmati makanan halal di mana-mata tempat di seluruh Taiwan.
 
Buku panduan khas bagi pelancong Islam
 
Bagi tujuan itu, Biro Pelancongan Taiwan menerbitkan buku khas setebal 102 halaman yang memuatkan maklumat mengenai masjid-masjid, tempat pelancongan, pusat beli-belah, penginapan, waktu solat dan makanan yang dijamin halal serta sesuai bagi penganut agama Islam.
 
Rombongan kami ke Taiwan pada 25-31 Januari 2013 terdiri daripada Encik Koh dan isterinya, dua kartunis iaitu Clay Lim Shi Min dan Totoro Chang Boon Kiat, serta pengurus Kedai Buku Sinar Bestari, Izzat Izhar Muhammad Nasir. Saya dan Izzat – yang juga bekas pelajar saya di kolej dahulu – tidak menghadapi masalah menikmati makanan halal yang dimasak mengikut gaya Taiwan.
 
Malah, di kebanyakan kedai yang kami kunjungi, pemilik memaklumkan bahawa memang ramai penganut agama Islam yang datang ke Taiwan. Maka, peniaga sedar akan konsep “halal” dan menyediakan makanan yang sesuai bagi pengunjung pelbagai agama – khususnya bagi orang Islam, Hindu dan Buddha.
 
Buku Traveling in Taiwan for Muslims terbitan Biro Pelancongan Taiwan menyenaraikan nama, alamat dan nombor telefon sekurang-kurangnya 20 restoran makanan halal. Bagi penggemar makanan nabati (vegetarian) pula, beberapa restoran yang sesuai juga dicadangkan dalam buku kecil itu.
 
Sesungguhnya konsep “makanan halal” dalam konteks Islam tidak hanya merujuk kepada makanan yang bebas daripada daging/minyak babi. Istilah “halal” itu sendiri berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna “dibenarkan atau dibolehkan oleh Hukum Syarak” seperti yang saya nyatakan dalam makalah bertajuk “Mencari Halal di Kampung Kacang Putih” (Free Malaysia Today, 24 Disember 2012).
 
Portal rasmi Halal Malaysia menjelaskan bahawa “Hukum Syarak bermakna undang-undang Islam dalam Mazhab Syafi’e atau undang-undang dalam mana-mana suatu Mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana negeri untuk dikuatkuasakan dalam negeri itu”.
 
Mungkin timbul pertanyaan mengenai konsep “halal” apabila berkunjung ke luar negara; khususnya ke negara-negara seperti China, Jepun dan Taiwan. Sebenarnya, takrif “halal” ada dijelaskan secara terperinci dalam Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975. Pada Julai 2009, Kabinet memutuskan bahawa urusan “Halal” bagi produk dalam dan luar negara diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
 
Pergilah melancong tanpa prejudis
 
Apa yang lebih penting, apabila pergi ke Taiwan atas urusan perniagaan, pekerjaan, melancong, belajar atau sebagainya, kita jangan bersikap prejudis dan membuat keputusan berdasarkan andaian bahawa sukar untuk mendapatkan makanan halal di sana.
 
Menurut presiden Pertubuhan Cina Muslim, Ali Kamaluddin Chang dalam buku Traveling in Taiwan for Muslims, pelancong beragama Islam tidak perlu bimbang. Hal ini kerana segala kemudahan dan makanan mengikut Hukum Syarak boleh didapati dengan mudah di kebanyakan tempat di republik berkenaan..
 
Terdapat enam masjid utama di lima bandar sekitar Taiwan; iaitu dua di Taipei serta masing-masing sebuah di Zhongli, Taichung, Tainan dan Kaohsiung. Alamat dan nombor telefon boleh dirujuk dalam buku berkenaan sebagai persediaan awal sebelum ke Taiwan. Pasti sahaja umat Islam yang ditemui di masjid-masjid berkenaan boleh membantu jika kita mahukan panduan dan jaminan makanan halal.
 
Pertubuhan Cina Muslim pula merupakan sebuah organisasi besar yang beribu pejabat di Taipei. Pertubuhan itu antara lain bertanggungjawab membangunkan industri/pasaran makanan dan perniagaan halal. Pertubuhan itu juga sentiasa bersedia membantu umat Islam yang menghadapi apa-apa masalah sepanjang berada di Taiwan.
 
Suatu fakta yang mungkin langsung tidak diketahui orang ramai di Malaysia adalah bahawa terdapat lebih daripada 170 ribu penganut agama Islam di Taiwan. Pakar agama Islam dari negara luar juga sering diundang oleh Biro Pelancongan di bawah Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi untuk meneliti serta memastikan segala kemudahan dan makanan yang disajikan kepada pengunjung beragama Islam memenuhi kriteria “halal” yang ditetapkan.
 
Tentulah Taiwan kaya dengan pelbagai budaya, seni, muzik dan tempat-tempat pelancongan yang sesuai dan wajar dikunjungi pelancong pelbagai kaum dan agama. Mungkin aspek makanan dan minuman sahaja yang menjadi sedikit kebimbangan dalam kalangan pelancong dari Malaysia; khususnya penganut agama Islam, Buddha dan Hindu.
 
Berdasarkan pengalaman berada di Taiwan selama seminggu, suka saya nyatakan bahawa kita tidak perlu bimbang memikirkan soal makanan halal. Malah, terdapat juga beberapa hotel yang menerima sijil halal dan boleh dijadikan tempat penginapan jika anda terlalu bimbang akan tahap “halal” hotel-hotel dan rumah tumpangan lain.
 
Langkah pertama sebelum melancong ke Taiwan adalah dengan mengunjungi Biro Pelancongan Taiwan di Wisma Goldhill, Kuala Lumpur. Saya percaya bahawa Jia Haur dan para pegawai lain di sana akan berasa amat gembira untuk membantu ke arah memastikan kunjungan anda ke Taiwan memenuhi piawaian halal seperti diharapkan.
 
[Penulis merakamkan terima kasih kepada One Nusantara Sdn Bhd yang menaja kunjungannya ke Taiwan. Makalah ini ditulis pada 10 Februari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 11 Februari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!