[Penulis berkongsi
pengalaman melawat Beijing selama 10 hari menerusi travelog ini.]
Tujuan travelog ini dihasilkan amat nyata,
iaitu untuk memberi panduan kepada sesiapa sahaja yang bercadang melawat Beijing,
China. Namun, pada masa sama, buku ini ternyata turut menjadi bacaan santai
untuk mengikuti pengalaman yang terkandung di dalamnya.
One Nusantara Sdn Bhd memulakan usaha
menceburi bidang penerbitan buku-buku seperti ini menerusi Travelog Beijing (2012). Buku setebal lebih 300 halaman ini ditulis
berikutan lawatan tiga penulis yang ditaja oleh syarikat penerbitan itu melawat
Beijing selama 10 hari pada Julai 2011.
Buku ini dilancarkan pada 2 Mei 2012 di
pentas utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sempena Pesta
Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Seperti yang dijanjikan pada kulit belakang
buku ini, Travelog Beijing memberikan
maklumat lengkap mengenai destinasi pelancongan utama serta trivia berguna
kepada pembaca menerusi penggunaan Bahasa Malaysia yang mudah difahami.
Satu lagi aspek penting adalah maklumat
terperinci mengenai masjid-masjid dan restoran makanan halal di Beijing.
Maklumat ini dijangka sangat berguna kepada pelancong beragama Islam yang
mungkin sedikit risau memikirkan soal makanan halal sepanjang berada di sana.
Travelog ini disusun secara kronologi di
mana pembahagian bab adalah mengikut urutan 10 hari ketiga-tiga penulis berada di Beijing. Maklumat
mengenai persiapan yang perlu diberi perhatian sebelum ke Beijing turut
dinyatakan pada bahagian pengenalan.
Ratusan foto warna yang menghiasi travelog
ini menjadikan buku ini menarik dibuka pada mana-mana halaman dan menikmati
maklumat, trivia dan foto yang disajikan.
Walaupun saya terlibat sama – bersama-sama
Izan Ali dan Nurfa – dalam menghasilkan buku ini, saya hanya melihat buku ini
selepas ia siap dicetak. Saya hanya terlibat sehingga proses penyediaan
manuskrip akhir dan pemilihan foto-foto.
Tugas reka letak, semakan pruf dan
sebagainya diuruskan oleh kakitangan One Nusantara. Izan dan Nurfa juga sering
menghubungi Tan See Hua, pemandu pelancong kami di Beijing, untuk mengesahkan
maklumat dan fakta.
Maka, apa yang disajikan menerusi Travelog Beijing adalah pengalaman
peribadi, fakta dan panduan berguna bagi sesiapa sahaja; sama ada individu yang
bercadang melawat Beijing mengikut rombongan atau back-packing.
Malah, sesiapa yang belum bercadang – atau
tidak bercadang – melawat Beijing juga boleh membaca travelog ini demi menimba
ilmu, pengalaman dan catatan berguna yang terkandung di dalamnya.
Bagi sesiapa yang sudah pernah ke Beijing –
melancong, belajar atau atas urusan perniagaan – maka buku ini boleh membantu
mengimbau kenangan silam.
NOTA: Mahu membeli buku ini pada "harga runtuh"? Sila KLIK DI SINI.
NOTA: Mahu membeli buku ini pada "harga runtuh"? Sila KLIK DI SINI.
(Ulasan buku ini ditulis
pada 7 Mei 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 11 Mei 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)