Perang
selama lapan belas hari sudah tamat selepas meragut puluhan ribuan nyawa. Pandava
pulang dari Kurukshetra dengan langkah perlahan menuju Indraprastha.
Bayangan
perang besar—Maha Bharata Yudha—masih
melekat di bawah kulit Yudhishtira, Bhima, Arjuna, Nakula, dan Sahadeva.
Melekat seperti getaran yang tidak pernah padam.
Seolah-olah
setiap inci tanah tempat mereka berdiri masih bergelut antara nyawa dan dosa.
Bumi di bawah tapak kaki bergetar dengan desiran kenangan—bau asap, bunyi
perisai berbenturan, dan rasa pahit darah di tanah—semuanya menjadi satu simpul
tak terurai dalam jiwa.
Selain
lima adik-beradik Pandava, pahlawan yang terselamat di pihak mereka ialah
Satyaki, Ashwathama, Kripa, Yuyutsu, Kritavarma, dan Krishna. Kesemua seratus
Kaurava—daripada Duryodhana yang paling tua kepada Dirgharoma yang paling
muda—gugur di medan perang yang mereka sendiri mulakan. Kemenangan tetap
berpihak kepada kebenaran.
Arjuna,
yang mata dan mindanya pernah melihat vishvarupa
Krishna sebelum perang bermula,
terhenyak ketika sampai di gerbang pintu kota Indraprastha.
Di
luar, di tanah lapang yang selama ini sunyi dan terbiar, terdapat puluhan reban
ayam tersusun rapi dengan bunyi ayam betina berketuk tidak berkesudahan. Lalat
berkerumun; tanah di sekeliling penuh jejak kaki ayam yang seakan berlumba
meleburkan dunia nyata dan mimpi.
Bau
jerami, dedak, dan bau lembap selepas hujan bersatu menjadi latar yang tidak
mampu dibuang daripada ingatan Arjuna. Para Pandava melihat hal yang sama; pasangan
kembar Nakula dan Sahadeva terpinga-pinga, Yudhishtira dan Bhima mengerut dahi. Seolah-olah muncul serpihan
teka-teki yang tidak pernah menemui jawapan.
Namun,
bukan pemandangan itu sahaja yang mengejutkan mereka. Di sebalik barisan reban
itu, ada barisan sayur-sayuran tumbuh subur—bayam bertunas pada baris-baris batas,
timun menjalar dengan buah kecil tersembunyi di bawah daun-daun hijau segar. Pelbagai
lagi sayur-sayur tempatan.
Pada
pandangan mata kasar, ia menjadi taman yang bagaikan menjulang menyentuh Indraloka
di puncak Meru, Namun, di dalamnya, suara hati bergelut antara hak milik dan
hak hidup; antara undang-undang lama dan rasa belas kasihan.
“Siapa
yang melakukan semua ini?”
Watak-watak
daripada epik Ramayana—Rama yang
perkasa, Sita yang bitara, dan Laksamana serta Hanuman yang memerhati dunia
dengan mata tajam—berdiri di situ. Wajah mereka tersirat tenang luar biasa.
Hanuman
yang besar tubuhnya masih mampu menunduk lembut untuk menyentuh tunas kecil di
kebun berkenaan. Sentuhan itu membuatkan bumi seolah bernafas, daun yang rebah
bangun kembali, dan aroma tanah lembap semakin tajam dalam rongga ingatan.
Yudhishtira
selaku ketua Pandava, bangkit daripada keterkejutan lalu membuka mulut—bukan
dengan amarah tetapi penuh kebingungan.
"Kenapa
tanah milik kami bukan sahaja diambil tanpa izin, malah diubah menjadi sesuatu
yang tidak kami kenal?"
Rama
tersenyum dan senyuman itu membawa makna yang rumit dimengertikan.
“Tanah
itu sunyi dan terbiar. Sebelum ini, tiada siapa menjaganya sepanjang perang di
Kurukshetra. Maka, kami hanya berusaha membawa kembali kehidupan di sini—ayam
untuk daging, telurnya untuk anak-anak kecil, tanaman untuk dimakan, sekali gus
menjadikan bumi Indraprastha bernafas subur sekali lagi seusai perang.”
Bunyi
ayam jantan berkokok dan ayam betina mengetuk mengisi ruang; bergema melewati
sempadan perasaan.
Pandava
yang baru selesai berjuang dalam perang yang membawa maut, kini berhadapan
dengan konflik yang lebih halus—tidak berdarah tetapi penuh kecelaruan.
Mereka
berunding, berbual dengan suara lembut, mencatat aturan masa tiga bulan supaya watak-watak
Ramayana meninggalkan tanah itu
secara terhormat. Tiada alasan untuk menceroboh tanah orang dan menjadikannya
milik sendiri mengikut peraturan dan keselesaan diri. … (bersambung)
[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen
yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB.
Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media
sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!