Bahagian Satu bertajuk “Kakabhushundi, Gagak di Atas Manuskrip” berjaya membina sebuah fiksyen spekulatif yang menarik kerana ia bermula dengan persoalan kecil tetapi ganjil: Bagaimana seekor gagak boleh berada di dalam bilik yang berkunci dari dalam?
Cangkuk naratif ini berkesan kerana misteri itu tidak terus
diterangkan. Sebaliknya, pembaca dipaksa menerima kejanggalan tersebut bersama watak
Raghavan Chatterjee. Ayat pembukaan, “Gagak itu sudah berada di dalam bilik
sebelum Raghavan Chatterjee membuka pintu” segera mencetuskan persoalan ontologi: Burung itu datang dari
mana, dan sebenarnya berada dalam alam yang mana?
Kekuatan
narrative hook terletak pada peralihan daripada realisme kepada yang
aneh secara perlahan. Raghavan bukan tokoh fantasi pada awalnya. Dia seorang
penulis berumur hampir lima puluh tahun, mempunyai kesan dakwat pada jari,
menyimpan pen Parker lama, dan sedang mengalami kebuntuan kreatif.
Butiran
domestik dan peribadi ini menjadikan kemunculan seekor gagak yang boleh bercakap
lebih mengganggu. Pembaca terlebih dahulu ditempatkan dalam dunia yang dikenali
sebelum dunia itu mula retak.
Apa
yang menarik, Kakabhushundi tidak diperkenalkan sebagai makhluk ghaib secara
mudah. Raghavan sendiri menghubungkannya dengan beberapa tradisi India:
Kakabhushundi dalam epik Ramayana, Bhusunda dalam Yoga Vasistha,
dan Kagapujandar dalam tradisi Siddhar.
Kekaburan
identiti ini merupakan salah satu unsur paling unik dalam cerita. Apabila gagak
berkata, “Jangan cuba menyumbat tiga ribu tahun ke dalam satu nama” wataknya
tidak lagi sekadar “gagak ajaib”. Ia menjadi lambang pengetahuan yang merentasi
nama, teks, zaman, dan tradisi.
Di
sinilah cerita klasik India diberi nafas baharu. Watak Kakabhushundi tidak
dipindahkan begitu sahaja daripada dunia epik ke alam Malaysia moden.
Sebaliknya, fungsi lamanya sebagai “saksi masa, pencerita, dan pemerhati
kitaran kewujudan” diolah menjadi metafora tentang ingatan budaya.
Ladang
getah, sekolah Tamil, kuil, penghijrahan, perkahwinan campur, dan bahasa ibunda
yang semakin hilang menjadi persoalan kontemporari. Fiksyen ini dengan demikian
menghubungkan kosmologi India purba dengan keresahan masyarakat Malaysia moden,
khususnya kaum India.
Plot
twist
pertama muncul apabila ayat yang telah dipadam atau dibuang oleh Raghavan
muncul semula pada skrin komputer riba: “Aku sudah melihat cerita ini berlaku.”
Kemudian konsep alam selari diperkenalkan. Ini memperluas skop cerita daripada
konflik seorang penulis dengan manuskrip kepada persoalan multiverse, pilihan hidup, dan
kemungkinan identiti.
Namun
begitu, twist yang lebih penting sebenarnya bersifat tematik: Ternyata masalah
Raghavan bukan kekurangan cerita, sebalikya kegagalan mengenal pasti cerita
yang benar-benar perlu diselamatkan (ditulis).
Kemunculan
fail dengan nama “Ramayana_2091” menjadi cliffhanger yang sangat
efektif. Ia mengubah persoalan “siapakah Kakabhushundi?” kepada persoalan yang
lebih besar: Apakah yang akan berlaku pada ingatan budaya manusia pada tahun
2091?
Ayat
pembuka fail itu tentang seorang kanak-kanak yang mencari perkataan yang pernah
digunakan oleh neneknya memberi narrative promise yang kuat.
Pembaca kini mempunyai alasan untuk meneruskan bacaan kerana masa depan cerita
telah dibuka, namun kandungannya masih dirahsiakan.
Cliffhanger terakhir—bulu hitam dengan aksara
Tamil—lebih kuat kerana ia menggabungkan unsur fizikal, budaya, dan metafizik. Pesanan “Jangan tulis
apa yang engkau mahu kekalkan. Tulislah apa yang sudah mula hilang” berfungsi
sebagai kunci kepada keseluruhan projek naratif.
Ia
bukan sekadar arahan kepada Raghavan, malah manifesto tentang fungsi sastera: Penulis
bukan hanya menyimpan masa lalu; penulis mengenal pasti kehilangan sebelum
sesuatu itu lenyap sepenuhnya.
Keunikan
bahagian pertama cerita ini dengan tajuk “Kakabhushundi, Gagak di Atas
Manuskrip” terletak pada keberaniannya mempertemukan mitologi India,
sejarah komuniti India di Malaysia, persoalan bahasa, identiti diaspora, dan
fiksyen spekulatif tanpa menjadikan unsur budaya sekadar hiasan.
Apa
yang lebih penting ialah kisah ini berpotensi dibaca oleh masyarakat pelbagai
kaum dan agama di Malaysia kerana persoalan terasnya bersifat sejagat: Apakah
yang berlaku apabila bahasa, ingatan, dan cerita keluarga hilang? Siapakah yang
berhak menentukan bahawa sesebuah kisah itu “penting”?

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!