Petikan awal cerpen “Makhluk Asing di Wang Kelian” memperlihatkan penggunaan cangkuk naratif yang berkesan kerana cerita tidak dimulakan dengan penerangan latar atau pengenalan watak secara konvensional, sebaliknya terus melemparkan pembaca ke dalam suatu kejadian ganjil di mana “satu susuk tubuh terhumban dari celah kabus yang berpusar”.
Dalam beberapa baris pertama, pembaca
berdepan hujan lebat, lereng bukit, kabus, makhluk asing, dan persoalan tentang
identiti serta asal-usulnya. Situasi ini segera membina jurang keingintahuan (curiosity
gap) di mana pembaca mengetahui sesuatu telah berlaku tetapi belum
mengetahui sebab dan akibatnya.
Dari sudut teknik penceritaan, pembukaan
sedemikian selari dengan pemikiran E. M. Forster dalam Aspects of the Novel (1927).
Forster membezakan antara crita (story) dan jalan cerita (plot),
sambil menekankan bahawa perkembangan cerita bergantung pada keinginan pembaca
untuk mengetahui “apa yang berlaku seterusnya”.
Petikan awal cerpen “Makhluk Asing di
Wang Kelian” memanfaatkan naluri tersebut dengan memperkenalkan watak Arka
dalam keadaan misteri, kemudian menyisipkan persoalan yang jauh lebih besar: Mengapakah
dia datang ke Bumi dan siapakah “Datuk” yang disebutnya? Pembaca didorong untuk
terus membaca bukan kerana sudah memahami konflik, tetapi kerana terlalu banyak
perkara belum terjawab.
Cangkuk kedua terhasil melalui defamiliarisasi iaitu konsep ostranenie
yang diperkenalkan olah Viktor Shklovsky dan kemudian
dihuraikan oleh David
Lodge. Ia merujuk kepada cara seni menjadikan sesuatu
yang biasa kelihatan asing supaya persepsi pembaca kembali tajam.
Dalam cerpen ini, Bumi yang sebenarnya
dikenali pembaca digambarkan melalui pandangan makhluk luar sebagai “dunia
baharu” yang menjanjikan kehidupan kepada mereka yang tersisih. Namun, persepsi
itu segera dipatahkan apabila Bumi diperlihatkan sebagai tempat manusia
memperdagangkan manusia, menyeksa mereka, dan menanam mereka hidup-hidup.
Ironinya, makhluk asing melihat
kemanusiaan dengan lebih asing daripada manusia sendiri. Di sinilah tajuk
cerpen mendapat daya tarikan kerana “makhluk asing” mungkin bukan sekadar
makhluk dari luar Bumi, tetapi juga cermin untuk memperlihatkan keasingan manusia
terhadap nilai kemanusiaan.
Teori dhvani oleh Anandavardhana daripada tradisi
estetika India pula membantu menjelaskan kekuatan lapisan tersirat dalam
pembukaan ini. Dhvani menekankan makna yang disarankan atau digaungkan
melampaui makna literal.
Ungkapan seperti “wilayah sempadan ... di
antara dua dunia”, “tanah yang dipijak berdenyut” dan “jeritan yang belum
sempat dilepaskan” tidak sekadar menerangkan tempat. Kesemuanya menyarankan
bahawa Wang Kelian menyimpan sejarah yang tidak selesai. Dengan demikian,
pembaca bukan hanya mahu mengetahui apa yang berlaku, tetapi juga apa
yang disembunyikan.
Tradisi rasa yang diperkenalkan
oleh Bharata Muni turut menerangkan kesan emosional pembukaan tersebut. Natyasastra menghubungkan unsur
naratif dan ekspresi emosi dengan pengalaman estetik pembaca atau penonton.
Petikan cerpen “Makhluk Asing di Wang
Kelian” mencampurkan bhayānaka (ketakutan), karuṇa (belas kasihan), adbhuta (kehairanan),
dan sedikit bībhatsa (jijik). Watak Arka menimbulkan rasa hairan;
kubur dan mayat menimbulkan ketakutan; mangsa yang diseksa mencetuskan belas
kasihan. Campuran emosi ini membuatkan pembaca mempunyai taruhan emosional terhadap
perkembangan cerita.
Cangkuk yang paling penting akhirnya
ialah keupayaan pengarang menggabungkan dua jalur naratif, iaitu Arka,
makhluk asing yang cuba memahami Bumi, dan Ravimaran, wartawan yang cuba
memahami rahsia Wang Kelian.
Kedua-dua watak ini sedang menuju
persoalan yang sama dari arah berbeza. Ravimaran mencari kebenaran melalui
kewartawanan, manakala Arka menemukan kebenaran melalui pengalaman deria dan
ingatan. Apabila watak seorang lelaki tua menyebut “kubur itu”, maka misteri
menjadi lebih konkrit dan bahaya menjadi lebih dekat.
Beberapa kemungkinan perkembangan cerita
pun terpancar dalam minda pembaca. Watak Arka mungkin mempunyai hubungan
keturunan dengan makhluk yang pernah tiba di Bumi; “Datuk” mungkin ialah
makhluk terdahulu yang hilang dalam sejarah manusia.
Watak Ravi pula mungkin menemukan bukti
bahawa kubur tersebut berkait dengan rangkaian pemerdagangan manusia yang
sengaja dilindungi pihak tertentu. Lebih menarik, kedua-dua jalan cerita itu
mungkin bertemu apabila Arka mendapati bayangan yang muncul setiap kali dia
menyentuh tanah sebenarnya merupakan memori kolektif mangsa.
Dengan demikian, cangkuk naratif cerpen “Makhluk
Asing di Wang Kelian” tidak bergantung pada satu persoalan sahaja. Ia membina
rantai persoalan iaitu siapa Arka, siapakah Datuk, apakah rahsia Wang Kelian,
siapakah yang bertanggungjawab terhadap kubur itu, dan mengapa seorang makhluk asing
begitu terkesan oleh penderitaan manusia?

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!