5 Apr 2013

Budaya “Pendatang” – Bahagian 3

[Semangat serta kesedaran politik kebangsaan di Tanah Melayu muncul lebih dahulu dalam kalangan kaum India sebelum kelahiran UMNO dan MCA, khususnya selepas penubuhan Malayan Union.]
 
[BACA BAHAGIAN PERTAMA] – Sebagai golongan kurang berpendidikan, kebanyakan buruh kasar dari India pada zaman pemerintahan British tidak mengharapkan upah yang tinggi. Mereka bekerja keras walaupun dibayar upah yang sangat rendah.
 
Bagi mereka, kehidupan di Tanah Melayu adalah “mewah” berbanding di negara asal. Maka, mereka sangguh menerima apa sahaja dugaan kecuali dihantar pulang ke India. Segala fakta berhubung perkara ini boleh juga dirujuk dalam buku The Malaysian Indian Dilemma (2010) oleh Janakey Raman Manickam.
 
Malah, fakta-fakta sejarah ini juga sering saya kongsi bersama-sama pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sepanjang saya menjadi pensyarah pada 1999-2007. Saya tidak mahu mereka “terpengaruh” dengan apa-apa “fakta tidak benar” yang disumbat ke dalam fikiran mereka semasa di sekolah menengah.
 
Fakta menunjukkan bahawa hampir lapan puluh peratus daripada jumlah pekerja India yang dibawa sebagai buruh di ladang adalah keturunan Tamil dari Tamil Nadu. Kumpulan kedua terbesar adalah keturunan Telugu dari Andra Pradesh; diikuti keturunan Punjabi dari Punjab.
 
Tenaga kerja dari bahagian selatan India dikumpul di pelabuhan Nagapattanam, Tamil Nadu sebelum dibawa ke Pulau Pinang sebagai buruh dan pekerja ladang. Pembacaan novel Interlok (edisi asal, bukan edisi murid) karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain boleh membantu kita memahami gambaran sebenar di Pulau Pinang pada waktu itu.
 
Golongan buruh yang dibawa dari Nagapattanam semua sering digelar “orang Tamil” tanpa mengira sama ada mereka keturunan Tamil, Telugu atau Malayali.
 
Orang Punjabi pula dikumpul di Teluk Benggal (Bangladesh) sebelum dibawa ke Pulau Pinang. Maka, mereka digelar “orang Benggali”. Kebanyakan lelaki keturunan Punjabi yang dibawa masuk oleh pihak British sejak tahun 1870-an diserap ke dalam angkatan tentera atau sipahi.
 
Penduduk keturunan Punjabi juga menguasai sistem pengangkutan kereta lembu yang sangat popular dan penting pada waktu itu. Maka interaksi antara keturunan Punjabi dan keturunan Tamil agak terbatas. Bahasa yang berbeza juga menambah jurang interaksi.
 
Pengusaha ladang Eropah turut membawa pekerja dari Ceylon (Sri Lanka) dan keturunan Malayali dari Kerala untuk bekerja di ladang-ladang di Tanah Melayu. Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang dibawa adalah golongan yang dianggap lebih terpelajar berbanding keturunan Tamil dan Telugu. Mereka memiliki penguasaan Bahasa Inggeris serta bekerja sebagai kakitangan stesen kereta api, kerani di ladang atau pembantu hospital.
 
Dilema orang Malayali dan Ceylon
 
Pekerja keturunan Malayali juga diberi tugas sebagai mandoor (“kangani” atau penyelia) di ladang tebu dan ladang getah. Namun, masih wujud jurang interaksi antara kakitangan keturunan Malayali dengan buruh keturunan Tamil dan Telugu pada zaman itu.
 
Mandoor dan kerani khabarnya menerima arahan daripada majikan Eropah supaya bersikap tegas terhadap buruh ladang. Sebaliknya buruh ladang pula mengharapkan simpati dan kerjasama daripada kakitangan dan kerani keturunan Malayali dan Ceylon.
 
Semua ini meletakkan kelompok keturunan Malayali dan Ceylon dalam dilema. Tidak kurang juga antara mereka yang memang sombong kerana menganggap kedudukan sosial dan ekonomi mereka lebih tinggi berbanding para pekerja di ladang.
 
Perkara-perkara ini boleh diketahui sekiranya kita rajin meluangkan masa dan berbual-bual bersama “orang lama” yang menyimpan pelbagai kisah masa silam. Demikian juga saya mengumpul kisah-kisah ini yang mungkin tidak tercatat dalam buku-buku teks sekolah.
 
Kejatuhan ekonomi dunia pada awal tahun 1930-an menyebabkan ramai kaum India pulang ke negara asal. Perlu diingat bahawa Tanah Melayu masih dijajah Inggeris pada waktu itu.
 
Namun, ramai juga imigran kaum India yang terus memilih untuk tinggal di Tanah Melayu kerana mereka sudah menganggap negara ini sebagai tanah air; walaupun belum mendapat taraf kerakyatan.
 
Kelompok inilah yang saya tampilkan dalam cerpen “Nayagi” dan beberapa karya lain; iaitu kaum India yang sedar bahawa negara ini adalah tanah tumpah darah. Cerpen-cerpen berkenaan boleh dibaca dalam buku Kisah dari Siru Kambam yang terbit pada 8 Mac 2013 – sempena lima tahun selepas tarikh Pilihan Raya Umum Ke-12 yang mengubah senario politik dan masa depan negara tercinta.
 
Berbalik pada kisah silam, penjajahan Jepun (1942-1945) juga memberi kesan yang hebat terhadap identiti kaum India di negara ini. Sekelompok masyarakat menyertai Indian National Army (INA) pimpinan Subhas Chandra Bose untuk memperjuangkan kemerdekaan Benua Kecil India yang masih dianggap oleh mereka sebagai ibu pertiwi.
 
Kelompok ini hilang arah apabila pemimpin mereka dilaporkan terkorban dalam nahas udara pada Ogos 1945. Bagaimanapun, apa yang lebih penting, majoriti kaum India dan Cina di Tanah Melayu selepas zaman penjajahan Jepun sudah benar-benar bertapak (settled) di Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tanah air dan tanah tumpah darah.
 
Malayan Union, jus soli dan UMNO
 
Kaum Cina dan India mahu menjadi warganegara serta diberi hak politik yang sama dengan kaum Melayu. Penelitian terhadap sejarah sebenar negara akan membuktikan hakikat ini. Pada masa sama, perlulah dibezakan antara “hak politik” dan “hak istimewa” agar tidak dipolitikkan pihak tertentu selepas membaca makalah ini.
 
Suasana di mana kaum Cina dan India mahu kekal di Tanah Melayu turut disedari oleh pihak Britain yang mencadangkan penubuhan Malayan Union tanpa berunding dengan kaum Melayu.
 
Malayan Union (1946) disambut baik oleh kaum Cina dan India kerana mereka ditawarkan hak kerakyatan secara jus soli. Perlu ditegaskan bahawa kaum India dan Cina sudah datang, berdagang, menetap dan menjadi penduduk di Tanah Melayu sejak berkurun-kurun lamanya sebelum golongan buruh dibawa oleh pihak British.
 
Berikutan penentangan kaum Melayu terhadap Malayan Union, maka lahirlah United Malays National Organisation (UMNO) yang kemudian berjaya memaksa penjajah mengganti Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
 
Kelahiran UMNO pernah dilihat sebagai kejayaan besar bagi kaum Melayu di negara ini. Dalam pada itu, untuk rekod, UMNO yang diasaskan pada Mei 1946 sebenarnya sudah diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah pada 1988.
 
Kemudian, UMNO Baru ditubuhkan oleh Tun Mahathir Muhammad pada tahun yang sama. Beliau yang merupakan “ahli berdaftar pertama” UMNO Baru bertindak keluar parti pada 19 Mei 2008 tetapi masuk semula pada 4 April 2009. Apa yang penting, usia UMNO Baru bukan lebih 66 tahun seperti dianggap pihak tertentu. Mungkin kerana orang UMNO mudah lupa – meminjam ungkapan Mahathir.
 
Kongres India Malaya (MIC) yang lahir pada Ogos 1945 pula bertujuan menjaga kepentingan kaum India di Tanah Melayu. Bagaimanapun, pada peringkat awal, MIC kurang mendapat sambutan dan sokongan daripada kumpulan pekerja ladang dan buruh. Hal ini kerana pemimpin parti terdiri daripada golongan peniaga dan profesional. Maka, dikatakan wujud jurang antara pemimpin dan ahli.
 
MIC juga tidak mendapat sokongan dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur 1952 walaupun bekerjasama dengan Independence of Malaya Party (IMP) pimpinan Dato’ Onn Jaafar. IMP ditubuhkan selepas Onn keluar dari UMNO yang diasaskannya.
 
Sokongan hanya mula diterima selepas MIC menyertai Perikatan bersama-sama UMNO dan MCA pada tahun 1954 bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1955; iaitu PRU-1. Perkahwinan tiga parti ini berlaku semata-mata sebagai memenuhi syarat yang ditetapkan oleh British. – Bersambung minggu depan [BACA DI SINI]
 
[Makalah ini dikemas kini pada 2 Mac 2013 berdasarkan bahan lama dan disiarkan di Roketkini pada 24 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]