12 Apr 2013

Budaya “pendatang” – Bahagian 4

[Semangat baru yang muncul dalam diri masyarakat India berikutan Perhimpunan Hindraf pada November 2007 dikatakan sudah hilang dan berderai umpama ombak. Apakah semangat perjuangan demi maruah di tanah air akan muncul kembali?]
 
[BACA BAHAGIAN PERTAMA] – Walaupun Kongres India Malaya (MIC) lahir pada Ogos 1945 sebagai parti yang bertujuan menjaga kepentingan kaum India di Tanah Melayu (kini Malaysia), MIC pada realiti lebih berciri parti bagi keturunan Tamil – Bahasa Tamil, budaya Tamil, tarian Tamil, sastera Tamil, jati diri Tamil dan segala macam “Tamil”.
 
Bahasa, budaya, tarian dan sastera keturunan lain dalam kaum India bagaikan tidak wujud. Kalau diteliti, keadaan itu belum berubah hingga hari ini. Kalau ditanya, politikus dengan mudah akan mengatakan bahawa pernah ada orang Punjabi menjadi presiden parti. Atau bahawa “Tamil” mewakili juga “Telugu, Malayali, Punjabi dan sebagainya”.
 
Ramai yang mengandaikan bahawa semua kaum India di negara ini adalah keturunan Tamil; semata-mata kerana hampir 80 peratus kaum India di sini berketurunan Tamil. Kekeliruan ini – anehnya – lebih banyak wujud dalam kalangan kaum India sendiri.
 
Politikus dalam Barisan Nasional (BN) juga tidak berusaha bersungguh-sungguh memberi penjelasan. Malah, tidak mustahil bahawa mereka sendiri masih jahil terhadap perkara ini. Malah, ada politikus yang tidak tahu membezakan antara Deepavali, Thaipusam dan Wesak.
 
Ramai pemimpin dalam masyarakat India juga masih meneruskan tradisi menganggap kaum India sebagai “kaum pendatang” atau imigran dengan erti kata bahawa tumpuan serta taat setia masih pada Benua Kecil India – khususnya Tamil Nadu.
 
Dalam segala ceramah, sering ditimbulkan kehebatan keturunan Tamil di India pada masa lalu; dan hal ini ada juga saya sentuh secara sinis dalam cerpen “Kain Cita Bersulam Cinta” (Kathakali, 2009).
 
Dalam cerpen itu, ketua pemuda Pertubuhan Politik India (PPI) berucap mengenai “kehebatan Raja Cheran, Raja Chola dan Raja Pandian” dan Bahasa Tamil yang “lahir sebelum batu-batan di permukaan bumi bertukar menjadi pasir”.
 
Lalu seorang pemuda bangkit bertanya mengapa tidak disentuh langsung mengenai kaum India di negara ini. Sesungguhnya, jarang sekali disentuh mengenai kehebatan kaum India di Malaysia; kecuali dalam usaha “mendewa-dewakan” politikus tertentu. Kesilapan yang membuktikan kejahilan ini dilakukan oleh pemimpin pelbagai peringkat. Perhatikan betul-betul dan anda sendiri akan menyedarinya.
 
Apabila politikus kaum India berucap, perhatikan tokoh mana yang diangkat: tokoh kaum India dari Malaysia atau dari India? Gambaran yang diberikan pemimpin politik adalah seolah-olah kaum India di Malaysia masih rakyat negara India (khasnya dari Tamil Nadu) yang sekadar “menumpang” di negara ini.
 
Kontroversi novel Komsas jadi pengajaran
 
Dengan segala macam perkembangan negatif sejak dahulu, tidak hairanlah generasi muda kaum India masih menganggap Malaysia sebagai “negara mereka” (their country) dan bukannya “negara kita” (our country).
 
Apatah lagi dengan pelbagai usaha terancang dan licik yang dilakukan puak tertentu bagi memastikan kaum India di negara ini terus melihat diri sendiri sebagai “pendatang”dan “p***” yang cuba merampas hak dan peluang milik orang lain.
 
Kenyataan pada perenggan di atas mungkin kedengaran agak keterlaluan akan tetapi, percayalah, memang itu yang telah, sedang dan akan terus dilakukan puak etnosentrik, ultra kiasu dan fanatik tertentu yang menganggap mereka umpama “putera kayangan” manakala kaum India pula “sampah jalanan”.
 
Dalam pada itu, mungkin sahaja kewujudan begitu banyak pertubuhan – badan berciri politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – yang masing-masing mahu berjuang bagi kaum India (baca: keturunan Tamil) menjadikan keadaan semakin bercelaru.
 
Tsunami politik yang berlaku berikutan kebangkitan minoriti kaum India yang tertindas pada November 2007 bagaimanapun berubah menjadi “ombak yang pecah” apabila ketua dan peserta Hindraf mula berpecah dan membentuk beberapa entiti berasingan seperti yang dapat dilihat sendiri pada hari ini. [MAKLUMAT HINDRAF]
 
Kelompok pemimpin pertubuhan – badan politik mahupun NGO – belum mencapai kata sepakat dalam usaha menyelesaikan masalah yang melanda kaum India. Lebih banyak perbalahan demi kepentingan peribadi berbanding perjuangan bagi masyarakat yang sepatutnya diwakili. Hal ini berlaku pada peringkat persekutuan mahu pun negeri.
 
Lihat sahaja apa yang berlaku dalam isu kontroversi novel Interlok: Edisi Murid sepanjang tahun 2011. Kalau kita meneliti segala laporan di pelbagai media sejak Januari 2011 secara kritikal, kita boleh menilai sendiri benar atau tidak pandangan yang saya kemukakan ini.
 
Tambahan pula, di negara bertuah ini, kaum India hanya diharapkan berada pada tahap sederhana; tidak terlalu menonjol dalam apa-apa bidang yang diceburi. Perkara ini boleh dilihat secara terang-terangan dalam segenap bidang: politik, ekonomi, sosial, filem, nyanyian, penulisan, penerbitan dan apa sahaja.
 
Perumpamaannya adalah bahawa jika si ayah menjadi pekerja ladang, biarlah si anak juga menjadi pekerja ladang yang hanya sedikit lebih baik daripada si bapa. Mentaliti inilah yang ditanam dalam jiwa kaum India sejak zaman penjajah. Anehnya, pemikiran sama masih disogokkan sehingga kini melalui pelbagai cara.
 
Generasi muda sudah berani bersuara
 
Akhirnya, tidak hairanlah sekelompok kaum India di Malaysia terus merasakan diri mereka terpinggir dan ada yang memilih untuk sekadar “menonton” perkembangan politik dan filem/drama dari India. Sekurang-kurangnya filem/drama (dan politik?) dari India memberi hiburan dan kepuasan jiwa berbanding realiti di tanah tumpahnya darah mereka.
 
Namun, tentu sahaja keadaan “terpinggir”, “tertindas” dan “minda tertutup” seperti ini diharapkan tidak akan berterusan. Generasi muda kaum India sudah berani bersuara dan tahu hak mereka. Mereka tidak mudah diperkotak-katik. Semuanya berkat semangat daripada Perhimpunan Hindraf pada 2007 dan siri Perhimpunan Bersih di pelbagai lokasi sejak 2011.
 
Media sosial – khususnya Facebook dan Twitter – semakin menjadi medan untuk generasi pelbagai kaum mendapatkan serta berkongsi maklumat tepat dan sebenar. Malah, seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia (28 Februari 2013), Presiden BN, Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bakal menjadi pilihan raya media sosial pertama di Malaysia.
 
“Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran” seperti dinyatakan Mahatma Gandhi. Mendiang juga mengingatkan: “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.”
 
Generasi muda yang saya perhatikan bukan lagi “pak turut” tetapi adalah “pemimpin” yang bakal menentukan masa depan agama, bangsa dan negara. Mereka tidak boleh “dipecah dan perintah” mengikut batas kaum, agama, etnik dan keturunan.
 
Apabila timbul isu yang menyentuh sensitiviti kaum India dalam novel Interlok: Edisi Murid, pelbagai pihak berani bangkit demi maruah kaum India. Malangnya, isu itu turut dijadikan bahan politik demi kepentingan pihak tertentu.
 
Sekadar contoh, MIC yang pada mulanya konon berjuang bagi masyarakat India, akhirnya diam, akur dan bersetuju supaya buku dicetak semula dengan hanya 19 daripada 106 pindaan yang dijanjikan kepada masyarakat dan diumumkan di Dewan Rakyat. Saya tidak berani meneka atau menduga apa yang sebenarnya telah berlaku!
 
Sebuah lagi kumpulan, National Interlok Action Team (NIAT) sejak mula mendesak supaya Interlok: Edisi Murid dan Interlok (edisi asal) karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain diharamkan kerana kononnya bertentangan dengan ajaran agama Islam dan al-Quran.
 
Akan tetapi, apabila novel edisi murid itu ditarik balik daripada dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas), NIAT ternyata berpuas hati dan tampil meraikan kejayaan. Sedangkan niat dan perjuangan sebenar mereka belum selesai. Namun, demikianlah realiti kehidupan. Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan NIAT membatalkan niat asal.
 
Dalam pada menghadapi pelbagai dugaan, cabaran dan rintangan yang datang dan pergi, label “pendatang” terus menjadi igauan generasi muda kaum India. Mungkin satu gerakan besar-besaran dan drastik perlu bagi memastikan tidak ada sesiapa yang berani menghina kaum India di Malaysia dengan gelaran itu. Mungkin PRU-13 boleh menjadi titik tolak ke arah mencapai impian murni itu.
 
[Makalah ini dikemas kini pada 2 Mac 2013 berdasarkan bahan lama dan disiarkan di Roketkini pada 31 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Baca juga makalah bertajuk “Siapa Pendatang?” dan "Kesabaran Kami Ada Had" berkaitan topik yang sama. Baca juga "Sajak untuk pendatang". Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]