9 Oct 2012

Merdeka Tanpa Suara?

[Apa-apa yang berlaku baru-baru ini membuktikan bahawa generasi muda tidak akan membiarkan “suara” mereka terus disenyapkan.]
 
Mula-mula mereka tidak mempedulikan anda. Kemudian mereka mengetawakan anda. Kemudian mereka menentang anda. Kemudian anda menang.
 
Demikian kata-kata Mahatma Gandhi yang saya terjemahkan ke Bahasa Malaysia dan muatkan dalam novel Panchayat: Edisi Khas yang baru terbit.
 
Secara kebetulan, ucapan itu nampaknya amat sesuai dengan keadaan semasa menjelang dan semasa sambutan ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara – sambil turut mengambil kira secara penuh sedar bahawa “Malaysia” sebenarnya hanya terbentuk secara rasmi pada 16 September 1963.
 
Pada masa sama, sesungguhnya ada perbezaan yang amat ketara antara “ulang tahun kemerdekaan ke-55” (55 kali dijajah dan 55 kali merdeka) dan “ulang tahun ke-55 kemerdekaan” (telah merdeka 55 tahun lalu).
 
Saya menyatakan hakikat ini pada ruangan status di Facebook pada 30 Ogos 2012 dan mendapat reaksi yang pelbagai daripada rakan-rakan. Bagi saya, kita perlu “membetulkan yang sudah terbiasa” dan “membiasakan yang sudah betul”.
 
Sekadar contoh untuk membantu pemahaman lanjut, “ulang tahun ke-70 Perang Dunia Kedua” (the 70th anniversary of the World War Two) berbeza makna dengan “ulang tahun kedua Perang Dunia Ke-70” (the 2nd anniversary of the ... err ... 70th World War).
 
Beberapa rakan bersetuju selepas saya memberikan penerangan. Aktivis masyarakat, Pang Khee Teik, misalnya, memberi komen, “I can’t get over how brilliant this is!” pada 31 Ogos 2012.
 
Puisi jadi senjata
 
Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia (31 Ogos 2012) melaporkan bahawa polis bakal menyiasat Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said (Pak Samad) yang tampil memenuhi undangan membaca sajak sempena perhimpunan Janji Demokrasi di sekitar Dataran Merdeka pada malam menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan.
 
Kebetulan, pada 31 Ogos 2012 juga saya menulis di blog mengenai Pak Samad di bawah tajuk “Penulis Malaysia” menjelang sambutan Hari Malaysia. Saya menyatakan bahawa saya amat kagum atas kelantangan beliau “bersuara” – secara langsung dan juga menerusi penulisannya.
 
Walaupun belakangan ini beliau dilihat sebagai individu yang bersuara lantang menentang pemerintah, apa yang sebenarnya dilakukannya sejak dahulu adalah bersuara menentang sebarang bentuk penindasan, ketidak adilan dan kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak.
 
Sesungguhnya, Pak Samad tidak tunduk pada tekanan dan arahan mana-mana pihak berkepentingan; sekali gus membuktikan bahawa di tengah-tengah begitu ramai “penulis” dan “organisasi penulis” yang mudah dijadikan boneka, masih ada sasterawan yang berani mengekalkan jati diri dan maruah bangsa.
 
Ramai yang terkejut apabila mendapat tahu bahawa Pak Samad akan disiasat lanjut berikutan penampilan beliau membaca sajak. Pelbagai pandangan diutarakan secara terbuka di ruang siber.
 
“Hanya di Malaysia, perogol terlepas hukuman tapi puisi dianggap jenayah,” Fazallah Pit yang sebelum ini pernah terlibat dalam antologi Puisi Jadi Senjata meluahkan rasa terkejut di Facebook.
 
Bagi saya, rasa terkejut itu pasti turut dikongsi mana-mana manusia yang berakal. Pada masa sama, saya juga akur bahawa akan tetap ada organisasi pengarang tertentu yang berpendirian bahawa organisasi itu sangat-sangat menyokong apa-apa sahaja tindakan pemerintah dalam hal ini kerana “pemerintah sentiasa betul”.
 
Puisi Bukan Jenayah
 
Dalam kalangan anak-anak muda pula, mereka tidak berdiam diri. Sebagai permulaan, mereka mewujudkan laman “Puisi Bukan Jenayah, Anak Muda Bersama Pak Samad” di Facebook sebagai tanda mereka tidak mudah digertak, ditindas, dihalang dan dinafikan hak membaca puisi.
 
Secara peribadi, saya amat kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh generasi muda ini. Kita tahu bahawa lama sebelum negara merdeka – walaupun ada tokoh sejarah tertentu mengatakan negara ini tidak pernah dijajah – golongan penulis, guru dan wartawan yang tampil memperjuangkan kemerdekaan negara.
 
Merekalah yang lantang bersuara menentang segala bentuk penindasan dan kezaliman oleh “penjajah” yang tidak berperikemanusiaan. Mereka menggunakan mata pena (penulisan) untuk berjuang. Mereka yang bersuara mewakili suara rakyat dan masyarakat.
 
Namun, mengikut buku Sejarah di sekolah pada masa kini, fakta sudah boleh diubah suai mengikut kepentingan politik pihak tertentu. Sebab itulah saya berasa amat gembira kerana generasi muda kembali menyedari “kuasa” mata pena (penulisan) serta tampil mempertahankan penulis (Pak Samad) yang cuba dizalimi pihak tertentu berikutan kelantangannya bersuara demi rakyat.
 
Pada 1 September 2012, saya turut menghadiri Pameran Kartun Zunar di Galeri Shah Alam. Kartunis ini “berjuang” menggunakan kartun dan komik yang sangat sinis dan memang kena pada batang hidup pihak yang berkenaan.
 
Zunar juga penuh kontroversi sejak 1998 kerana lantang “bersuara” menerusi kartun-kartun yang tidak lagi berselindung dalam mengkritik “pemerintah yang zalim”.
 
Sesiapa yang berpeluang membaca kartun-kartun Zunar pasti memahami mesej dan kritikan yang disampaikannya. Malah, amat baik jika berpeluang melawat pameran yang berlangsung sehingga 9 September memandangkan kartun-kartun itu disusun mengikut beberapa topik yang amat menarik. Pergilah untuk ketawa melihat “kebodohan” pihak tertentu yang digambarkan menerusi kartun-kartun ini.
 
Bersuara menerusi kartun
 
Saya memberitahu Zunar – secara berjenaka – bahawa selepas keluar berita Pak Samad mungkin disiasat lanjut kerana “bersuara menerusi puisi” mungkin beliau pula akan segera turut disiasat lanjut kerana “bersuara menerusi kartun”.
 
Dalam pada itu, khabarnya semasa acara besar-besaran di Stadium Nasional Bukit Jalil melibatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 31 Ogos 2012, komik berjudul “Janji Ditepati: Daripada PM Untuk Rakyat” diedarkan secara terbuka oleh pihak tertentu.
 
Kandungan komik itu secara terang-terangan memuji usaha parti politik tertentu dan menyindir pembangkang. Namun, tentulah buku komik 20 halaman yang “tidak bernama” itu setaraf hampas – dari semua segi.
 
Pak Samad yang “bersuara menerusi puisi” – dan Zunar yang “bersuara menerusi kartun” – tidak akan lari ke mana-mana kerana mereka bersuara mewakili rakyat. Mungkin siasatan lanjut perlu ditumpukan lebih dahulu pada “Janji Ditepati: Daripada PM Untuk Rakyat” kerana komik yang tidak mematuhi peraturan penerbitan itu mungkin bertujuan menggulingkan kerajaan.
 
Bagi Pak Samad dan Zunar – serta Rakyat yang semakin berani bersuara menentang sebarang bentuk penindasan dan kezaliman – kata-kata Gandhi yang dipaparkan tadi memang amat sesuai. Tahniah kerana anda sudah menang!
 
[Uthaya Sankar SB percaya bahawa sasterawan dan seniman yang menjadi “boneka” lebih baik “menggantung pena” daripada terus melacurkan anugerah Tuhan. Makalah ini ditulis pada 1 September 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 3 September 2012. © Uthaya Sankar SB 2012.]