4 Mar 2013

Vishwaroopam dan Interlok

Pada penelitian saya, ada tiga pihak yang “berhak” (jika mahu) mendesak supaya filem Vishwaroopam (2013) diharamkan/dimurnikan di Malaysia.
 
Apabila saya menyatakan demikian pada ruangan status Facebook pada 5 Februari 2013, ramai yang bertanya apakah cakera video digital (DVD) filem berkenaan yang ditulis, diarah dan diterbitkan oleh pelakon terkenal Kamal Haasan sudah berada alam pasaran.
 
Sebenarnya, jangan lupa bahawa filem itu ada ditayangkan di Malaysia pada 24 Januari 2013; sehari sebelum saya ke Taiwan selama seminggu atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd. Isu serta maklumat lengkap berkaitan penayangan filem tersebut bolehlah dirujuk di media konvensional dan alternatif.
 
Dalam perkembangan terbaru, filem Vishwaroopam khabarnya akan ditayangkan semula di pawagam tempatan (dengan sedikit lagi suntingan) dalam masa terdekat; dengan izin Tuhan. Saya akan pergi menontonnya semula untuk menghayati filem bermutu ini secara lebih mendalam bersama-sama rakan pelbagai kaum dan agama.
 
Sementara itu, sejak pulang dari Taiwan pada 31 Januari 2013, saya sering bermimpi tentang Vishwaroopam dan beberapa pihak yang pada 2011 pernah tampil memberikan komentar berhubung novel Interlok: Edisi Murid iaitu teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).
 
“Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum penting, sekali gus mendaulatkan perpaduan kaum yang bersesuaian sebagai pemangkin perpaduan di kalangan penonton.”
 
Demikian presiden sebuah persatuan penulis peringkat nasional yang juga pensyarah di sebuah universiti tempatan berkata semasa sidang media dalam mimpi saya. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Dalam mimpi yang sama, seorang ibu dari Kepong menghubungi saya melalui telefon dan mengatakan beliau baru menonton DVD filem Vishwaroopam yang dibawa pulang oleh anaknya yang belajar di Tingkatan Lima. Katanya, kandungan filem itu memang menghina kaum India dan agama Hindu, serta tidak sesuai ditayangkan di Malaysia.
 
Beberapa hari kemudian (masih dalam mimpi, tentunya), si ibu berkenaan menghadiri “Wacana Vishwaroopam: Jujur atau Perkauman” anjuran sebuah akhbar tempatan lalu bertukar menjadi penyair dan pengkaji sastera Melayu yang menyokong filem Vishwaroopam ditayangkan kepada umum tanpa walau satu suntingan. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Saya bermimpi malam tadi. Seorang penulis veteran dan bekas pensyarah universiti menjadi panel “Dialog Filem Vishwaroopam” anjuran sebuah persatuan penulis di Kuala Lumpur. Beliau berkata, “Dulu filem Dasavatharam (2008) tulisan dan lakonan Kamal Haasan mendapat sambutan hangat seluruh dunia dan mencapai pungutan US$45.5 juta. Kini, kumpulan tertentu fikir ‘Kamal hebat, kita pancunglah’. Ini punca isu penentangan terhadap Vishwaroopam.” [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Saya bermimpi bahawa beberapa persatuan penulis serta badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum, meminta Kerajaan Malaysia meneruskan tayangan filem Vishwaroopam. Mereka juga dengan tegas menolak sebarang campur tangan politik yang berpentingan peribadi dan bersifat politik perkauman. Mereka (dalam mimpi saya) menolak tuntutan supaya filem itu disunting jika alasannya adalah kerana wujudnya unsur penghinaan terhadap kaum/agama tertentu. Bagi mereka, tiada unsur penghinaan sama sekali dalam filem itu. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Saya bermimpi malam tadi. Ketua umum sebuah parti politik memberitahu wartawan di Petaling Jaya: “Saya dah tonton filem Kamal Haasan ini sudah lama, saya tidak nampak apa-apa yang rasis pun. Saya rasa kita perlu adakan perbincangan untuk selesaikan perkara ini.” [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Ternyata pengalaman sebenar dalam isu berkaitan novel Interlok: Edisi Murid pada 2011 kembali bermain dalam mimpi saya. Saya ada menghuraikan mengenai realiti dunia mimpi dalam salah satu bab novel Panchayat: Edisi Khas (2012).
 
Dalam mimpi saya malam tadi, seramai 60 orang hadir dalam perhimpunan besar-besaran di perkarangan pejabat sebuah persatuan penulis bagi membantah tindakan mempolitikkan filem Vishwaroopam.
 
Mereka yang terdiri daripada tidak kurang 30 NGO dan persatuan penulis dari seluruh negara sama-sama bersepakat memperakui Vishwaroopam sebagai sebuah karya yang mempunyai intergriti. Sehubungan itu, mereka meluluskan lapan resolusi bersama. Antaranya menolak sebarang tuduhan bahawa Vishwaroopam adalah sebuah filem yang menghina masyarakat India beragama Islam.
 
Mereka juga menolak sebarang cadangan untuk menarik balik tayangan Vishwaroopam di pawagam tempatan serta membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda/menyunting mana-mana bahagian dalam filem tersebut. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Dalam mimpi saya, presiden sebuah parti politik juga mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi filem berkenaan. Katanya, ia seharusnya dinilai dan diadili dari kaca mata produk seni filem yang bertujuan menggambarkan konteks sosial sejarah. “Kekeliruan fakta atau maklumat dalam filem ini, sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu, perlu dibahas secara ilmiah dan dengan keterbukaan intelektual yang tinggi tanpa menjejaskan niat asal filem ini dibikin,” katanya. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Dalam mimpi saya, seorang wartawan menghubungi presiden sebuah persatuan penulis untuk mendapatkan reaksi. “Dalam filem tersebut ia menggambarkan bahawa sebahagian masyarakat terbabit sahaja yang terdiri daripada pengganas. Tidak semestinya filem perlukan ketepatan seratus peratus. Ini fiksyen yang menggunakan anakronisme. Mencari ketepatan 100 peratus di dalam filem dan sastera adalah kerja bodoh,” ujar individu terbabit. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Saya juga didatangi mimpi yang sangat realistik di mana empat Sasterawan Negara mengeluarkan kenyataan bersama. Saya membaca petikannya (dalam mimpi, tentunya) seperti berikut:
 
“Kami, Sasterawan Negara Malaysia, ingin menegaskan bahawa sebuah teks sastera dan filem bukanlah sebuah teks politik, dan bukan juga teks sejarah atau geografi. Sebuah karya sastera dan filem ialah sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya dalam konteks zaman dan sejarahnya. Yang dilukis didekatkan sehampir mungkin kepada kenyataan di dalam dan di luar diri manusia, kerana karya sastera dan filem tidak tercipta daripada kekosongan atau vakum.
 
“Peristiwa di luar – peperangan dan kedamaian, kesusahan dan kesenangan, kerusuhan dan ketenangan – dilukis oleh kata-kata dan visual. Kami berpendapat bahawa sastera dan filem ada ruangnya sendiri dengan keseniannya yang khusus pula. Kita harus membaca sastera sebagai sastera, menonton filem sebagai filem, dan bukan buku sejarah atau politik. Membaca sastera dan menonton filem ialah suatu proses berfikir, merasa dan menghayati bahasa, peristiwa dan gagasan.” [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Saya bermimpi malam tadi. Seorang calon Sasterawan Negara memberitahu saya: “Anggapkan Kamal Haasan salah. Biarkan pelakon dan pengarah itu yang bertanggungjawab kepada kesilapan yang dia buat.  Hukumannya adalah bahawa Kamal Haasan tak pandai.” [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
 
Tentu sahaja kesemua individu yang saya sebut di atas tidak semestinya pernah membuat sebarang kenyataan mengenai filem Vishwaroopam. Sebaliknya, kenyataan-kenyataan yang pernah mereka buat dengan penuh prihatin dalam isu novel Interlok: Edisi Murid kembali muncul dalam mimpi saya. Mungkin kerana ada sedikit (kalau tidak banyak) persamaan dalam kedua-dua isu terbabit.
 
Untuk rekod, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menulis komentar berikut pada 26 Januari 2013: “Vishwaroopam didakwa hina komuniti Islam di Madras; Race 2 pula dedah jenayah niagawan yang paling atas. Satu tidak sempat kutonton; yang ditonton sangatlah gerun. Terhimbas wajah masyarakat – nafsu gelojoh paling dahsyat!” [RUJUK SUMBER BERITA DI SINI]
 
Pada awal tadi, saya menyebut bahawa ada tiga pihak – pada pandangan saya – yang berhak mendesak filem Vishwaroopam tidak ditayangkan di Malaysia. Ini adalah pandangan peribadi saya dan tiga pihak berkenaan adalah seperti berikut:
 
Pertama, penganut agama Hindu – memandangkan ada bahagian tertentu (dialog) yang menyindir cara orang Hindu “menghukum dewa bertangan empat”.
 
Kedua, puak-puak yang secara langsung atau tidak langsung menyokong pengganas dan keganasan – memandangkan filem ini menyelar serta mengutuk pengganas antarabangsa tanpa mengira kaum/agama.
 
Ketiga, puak-puak etnosentrik tertentu – memandangkan mereka tidak memerlukan apa-apa alasan munasabah untuk berbuat apa sahaja bantahan di negara bertuah ini.
 
Dalam pada itu, memandangkan saya asyik termimpi akan novel Interlok: Edisi Murid sejak timbul isu filem Vishwaroopam, maka wajar juga saya menegaskan pendirian saya bahawa filem ini masih boleh ditayangkan; dengan label “18PL” misalnya.
 
Walau bagaimanapun, saya sendiri pasti tampil menyatakan bantahan rasmi sekiranya (ulang: sekiranya) ada cadangan daripada mana-mana pihak yang mahu memasukkan versi asal filem bertaraf antarabangsa ini sebagai “teks wajib tonton” bagi Komsas dengan alasan bahawa pelajar kita sudah cukup matang untuk mencerna isu-isu sensitif seperti disajikan dalam Vishwaroopam. -- Baca kenyataan berkaitan Ridhuan Tee DI SINI.
 
[Makalah berupa faksyen satira (satirical faction) ini ditulis pada 5 Februari 2013 dan disiarkan di Projek Dialog pada 6 Februari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]