4 Feb 2011

Kuil, Babi dan Kepala Lembu

Terus-terang, saya pada mulanya kurang berminat mengikuti perkembangan isu berkaitan cadangan pemindahan kuil Sri Maha Mariamman dari Seksyen 19 ke tapak seluas 0.2 hektar di Seksyen 23, Shah Alam.
.

Saya tidak berminat walaupun rumah saya terletak di Seksyen 25 dan selalu juga saya melalui kawasan Seksyen 19 dan Seksyen 23.

.

Saya ada terbaca pada 18 Ogos 2009 bahawa Badan Perhubungan Umno Selangor dan Badan Bertindak Pembantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 mahu mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang pemindahan kuil berkenaan.

.

Entah mengapa saya tetap tidak hairan apabila mendengar berita di Bernama Radio24 mengenai tindakan 200 penduduk Islam dan beberapa NGO berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selepas Solat Jumaat pada 28 Ogos 2009.

.

Pada 27-29 Ogos 2009, saya berada di Taiping, Perak dan tidak berpeluang mendengar Bernama Radio24; serta tidak mempunyai akses internet untuk membaca berita-berita mutakhir di The Malaysian Insider.

.

Hanya pada 29 Ogos 2009, semasa dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, Selangor, saya mendengar berita radio mengenai rasa kesal yang dilahirkan oleh mentri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung insiden Perarakan Kepala Lembu.

.

Khabarnya, Umno Selangor menyifatkan keputusan kerajaan Selangor mahu mengadakan perbincangan dengan penduduk Islam Seksyen 23 yang membantah keras pembinaan kuil di kawasan mereka sebagai “sudah terlambat”.

.

MCA pula kesal dengan tindakan penduduk terbabit dan beberapa NGO yang berarak membawa kepala lembu.

.

Dalam pada itu, penduduk Seksyen 23 dilaporkan menyalahkan mentri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco kerajaan negeri, Dr A. Xavier Jayakumar sebagai pencetus yang mendorong demonstrasi mengarak kepala lembu untuk membantah pembinaan kuil.

.

Khabarnya, penunjuk perasaan terbabit tidak pernah merancang membawa kepala lembu ketika mengadakan perhimpunan itu.

.

Bagaimanapun, mujurlah pihak polis diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang sengaja mencetuskan pertelingkahan kaum; termasuk 200 penduduk Islam yang berarak membawa kepala lembu itu.

.

Dalam pada itu, saya amat tertarik membaca pandangan Abdullah Bukhari Abdul Rahim, pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Utusan Malaysia pada 31 Ogos 2009.

.

Beliau menyifatkan tindakan kumpulan yang mengarak serta memijak kepala lembu itu sebagai golongan yang jahil dan mempamerkan kebiadapan melampau.

.

“Kebiadapan mereka itu walaupun kelihatan seperti membela hak orang Islam di Malaysia, namun ia jelas ketara tambah memburukkan lagi imej Islam di mata golongan bukan Islam,” katanya dalam tulisan yang saya baca di akhbar dalam talian.

.

Selain memetik ayat al-An’am [6:10] dari al-Quran, pensyarah itu turut melontarkan pertanyaan ini:

.

“Bayangkan apakah reaksi umat Islam sekiranya tulisan Allah diarak, diinjak dan dibakar pula oleh para penganut Hindu yang tersinggung dengan tindakan jahil kumpulan terbabit.”

.

Saya turut tertarik dengan penjelasan beliau mengenai hak penganut agama-agama lain yang berstatus dhimmi (bernaung di Negara Islam) dan harbi (memusuhi Islam).

.

Semasa bersarapan bersama anak-anak di Seksyen 23, Shah Alam pada 2 September 2009 sempena Onam, saya sempat melihat “luahan perasaan” pihak tertentu pada sebuah tembok:

.

“Khalid Rodziah Penghianat Bangsa”


“Bantahan Kuil!”


“Jgan Main Gila. Jgn Api!!”

.

Saya menghadapi kesukaran untuk menjelaskan perkara itu kepada anak saya yang berumur tujuh tahun dan sudah pun pandai membaca.

.

Dan saya tetap lebih berminat terhadap pandangan pensyarah dari Jabatan TilawahAl-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

.

Dua hari kemudian, pada pagi 4 September 2009, saya memutuskan untuk pergi semula ke Seksyen 23, Shah Alam untuk meninjau secara lebih dekat mengenai situasi sebenar di sana.

.

Saya pergi dengan fikiran terbuka; dan sudah memutuskan untuk membuat catatan secara objektif mengenai apa yang saya lihat dan dengar.

.

Perkara pertama yang saya lihat sebaik tiba di Seksyen 23 adalah bahawa tembok yang bertulis kata-kata protes sudah dibersihkan; dicat semula.

.

Saya terus memandu sekitar Seksyen 23 dan melihat suasana yang tenang dan aman. Tiada sebarang tanda bahawa penduduk berlainan kaum/agama yang merupakan “penghuni sebenar” kawasan ini mengalami sebarang krisis yang mungkin mencetuskan Tragedi Berdarah 13 Mei 1969.

.

Apapun, tidak lama kemudian, saya terkejut dan sedikit terperanjat melihat tulisan bernada protes pada pagar zink yang dibina mengelilingi suatu kawasan. Tulisan-tulisan itu bagaimanapun sudah “dipadam” dengan cat warna lain; mungkin oleh pihak Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA).

.

Saya merakamkan foto menggunakan telefon bimbit untuk dimuatkan di Facebook supaya orang ramai yang tidak berpeluang untuk pergi ke Seksyen 23 boleh “melihat” sendiri apa yang saya sempat perhatikan. (Foto-foto berkenaan boleh dilihat DI SINI)

.

Lukisan yang jelas kelihatan adalah gambaran beberapa ekor babi. Saya tersenyum sendiri memikirkan apakah kaitan antara kuil dan babi.

.

Pada masa yang sama, saya terkenang bagaimana pada zaman kanak-kanak, saya dan rakan-rakan melukis babi. Juga bagaimana anak-anak saya belajar melukis binatang, termasuk babi. Lukisan seperti itulah yang saya lihat pada kepingan zink di Seksyen 23.

.

Persoalan tambahan yang bermain dalam imaginasi: Berapa lama agaknya “artis” terbabit berlatih sebelum tampil melukis rupa babi semasa menyertai protes? Adakah dia berlatih sejak kecil? Adakah dia belajar sendiri melukis babi atau menerima bimbingan daripada ibu bapa sejak kecil? Mungkinkah ada koleksi lukisan bermotif babi di rumahnya?

.

Perkataan dan frasa yang dapat saya lihat pada kepingan zink adalah seperti berikut:

.

“Kami Bantah Kuil”


“Mana Islamnya Take Beer”


“Roziah Babi”


“YB Bodoh”


“ADUN X Boleh Pakai”

.

Dari tempat saya berdiri, saya memandang keliling dan dapat melihat rumah penduduk pelbagai kaum/agama.

.

Tidak jauh dari situ, bertentangan dengan pintu masuk ke Dewan Serbaguna Seksyen 23, kelihatan dua sepanduk yang dicetak dan diikat pada pokok.

.

“Kami Penduduk Seksyen 23 Membantah Sekeras-kerasnya Pembinaan Kuil di Kawasan Kami” dan “Tolong Jangan Nafikan Hak Kami Sebagai Penduduk Seksyen 23 untuk Kedamaian dan Keharmonian. Tolong Pindahkan ke Seksyen 22.”

.

Bahu jalan raya turut menjadi mangsa tulisan kata-kata seperti “Roziah anak babi” dan “Kami bantah cadangan kuil”.

.

Selain daripada itu, paip besar di tepi jalan turut menjadi tempat golongan tertentu melahirkan perasaan.

.

Frasa “Jgan Main Gila”, “Jgn Main Api!!”, “Roiza Khalid Penghianat Bangsa”, “Khalid Rodziah Pengkianat Bangsa” dan “Kami Bantah Kuil Sekeras-kerasnya” menghiasi paip-paip besar di tepi jalan utama.

.

Di sisi yang lain pula, terdapat beberapa buah rumah mengibarkan Jalur Gemilang. Kelihatan juga objek-objek fizikal (kuil kecil, arca, gambar dan sebagainya) di halaman beberapa rumah yang membuktikan penganut pelbagai agama hidup berjiran di Seksyen 23. Sambil berjalan-jalan dan mengambil foto, saya sempat juga berbual-bual secara spontan dengan beberapa penduduk pelbagai kaum/agama yang saya temui.

.

Kemudian, saya sengaja pergi ke beberapa kedai makan untuk minum teh dan kopi. Di situ, sempat juga mendengar perbualan mengenai isu kuil dan perarakan kepala lembu.

.

Berikut antara luahan yang saya dengar daripada penduduk pelbagai kaum/agama selama hampir sejam berada di Seksyen 23:

.

1) Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya berbincang dengan penduduk Seksyen 23 sebelum membuat keputusan mengenai pemindahan kuil dari Seksyen 19.

.

2) Kalau ada cadangan membina tokong, adakah mana-mana pihak akan menyertai perarakan kepala babi?

.

3) Kenapa kuil di Seksyen 19 dipindahkan?

.

4) Tidak semua penduduk pelbagai kaum/agama di Seksyen 23 terlibat dalam protes.

.

5) Penduduk Seksyen 23 memang pelbagai kaum dan hidup aman.

.

6) Protes dan perbuatan mengarak kepala lembu amat memalukan.

.

7) Penduduk kaum India (beragama Hindu) hanya berdiam diri kerana tidak mahu memburukkan keadaan.

.

8) Orang politik jangan masuk campur.

.

9) Jangan jadikan isu politik untuk kepentingan peribadi.

.

10) MBSA perlu bersihkan contengan di dinding dan paip besar dengan segera kerana menyakitkan mata.

.

11) Perlu kenakan tindakan terhadap orang yang menconteng kata-kata kesat dan menghina.

.

12) Eloklah anggota polis yang begitu ramai di Seksyen 25 (Taman Sri Muda) dipinjamkan sementara ke Seksyen 23.

.

Demikian antara perkara yang saya masih ingat; kerana saya tidak membuat catatan secara bertulis sewaktu mengelilingi Seksyen 23 pada 4 September 2009.

.

Beberapa hari kemudian, saya mendapat tahu bahawa isu pemindahan kuil Sri Maha Mariamman ditangguhkan. Tahniah kepada MB Selangor yang peka dan bijak membuat keputusan sebelum isu itu terus dijadikan modal oleh pihak tertentu untuk memecah-belahkan rakyat.

.

Khabarnya, pada hari Nuzul Quran, satu lagi lokasi baru yang terletak sekitar 100 meter dari tapak lama di Seksyen 23 sudah dikenal pasti untuk pembinaan kuil.

.

Bagi peserta Perarakan Kepala Lembu, khabarnya mereka bakal berkumpul beramai-ramai untuk membersihkan contengan dan lukisan babi! Benarkah?

..

(© Uthaya Sankar SB 2009. The Malaysian Insider, 12 September 2009)