[Perbincangan terbuka di laman rangkaian sosial membuka ruang
untuk beberapa rakan berdialog secara sihat mengenai soal agama, politik dan
isu semasa.]
“Apakah ‘ombak hitam’
akan jelas kelihatan apabila saudara-mara dan para sahabat kita yang beragama
Islam rukuk, iktidal dan sujud berjemaah di hadapan-Nya pada tengah hari ini?”
Demikian saya paparkan
pada ruangan status Facebook pada
pagi Jumaat, 10 Mei 2013. Tentulah saya ingin tahu sama ada “semangat” yang
dilahirkan menerusi “Black 505” mulai 6 Mei 2013 – dan semakin nyata menerusi
perhimpunan masyarakat pelbagai kaum/agama di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei
2013 – turut menular ke masjid-masjid.
Tambahan pula,
sekumpulan orang sudah merancang untuk berarak ke Pejabat SPR Putrajaya dengan
berpakaian serba hitam selepas solat Jumaat. Sejak awal pagi Isnin (6 Mei 2013)
pula, ramai pengguna Facebook –
termasuk saya – meletakkan foto profil warna hitam sebagai tanda bantahan
senyap (silent protest).
Berbalik kepada paparan
status tadi, ia mendapat reaksi mudah menerusi “Like” daripada lebih 30 rakan serta komen bertulis daripada lima
rakan. Akhirnya saya memberitahu rakan-rakan terbabit bahawa saya mahu menulis
makalah berbentuk dialog (perbualan) berdasarkan komen-komen yang diberikan
oleh mereka.
Pemaparan semula dialog
yang berlaku bukanlah bertujuan mengaibkan atau menyalahkan sesiapa tetapi
berniat mewujudkan “dialog” yang sihat berkaitan isu-isu yang mungkin dianggap
sensitif. Berikut dialog kami dengan sedikit suntingan dari segi bahasa tanpa
mengubah maksud asal. Nama samaran “RN” digunakan atas permintaan individu
terbabit.
Uthaya:
Apakah “ombak hitam” akan jelas kelihatan apabila saudara-mara dan para sahabat
kita yang beragama Islam rukuk, iktidal dan sujud berjemaah di hadapan-Nya pada
tengah hari ini?
RN: Brickfeild [sic]banyak ombak hitam,
bos!
Uthaya: Sila jelaskan maksud kenyataan anda;
selain membetulkan ejaan nama tempat berkenaan.
RN: Saya terguris apabila anda mengaitkan
situasi politik terkini dalam negara, sehingga “menceroboh” ke dalam amalan
agama saya. Lantaran itu, secara spontan saya bertindak balas, menyuruh anda
melihat “ombak hitam” yang boleh dilihat di tempat yang saya sebutkan di atas.
Dengan itu, marilah kita sama-sama terguris.
Uthaya: Ya, saya terguris apabila anda salah
eja “Brickfields”.
RN: Minta maaf atas kesalahan tersebut
(salah eja).
Uthaya: Maksud saudara, ramai umat Islam di
Brickfields dijangka bersolat jemaah sambil memakai baju hitam pada hari ini?
Haris Hauzah: Politik dan agama sentiasa bersama;
seiring.
RN: Maksud saya, di situlah (Brickfields)
ada ramai kaum India. Tidak ada masalah mereka berada di
mana sekali pun. Warga negara Malaysia boleh dengan bebas pergi ke mana-mana
dan berkumpul di mana-mana. Saya juga menikmati Brickfeilds [sic] sebagai
“Little India”. Menghormati apa agama mereka. Jadi, tak perlu menyindir agama
saya.
Uthaya: Menyindir?
Husna Nabila: Tiada tiada ada apa-apa yang
disindirkan oleh Uthaya. Sebaik sahaja membaca status di atas, segera saya
faham ia berkaitan dengan protes terhadap Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu kempen Black505. Dalam erti kata lain, status
ini bermaksud, “Cuba bayangkan jika semua ahli jemaah di masjid memakai baju
bewarna hitam tanda protes.”
RN: Niat ke masjid mesti diperbetulkan;
iaitu hanya beribadat kerana Allah!
Tiada niat yang lain. Saya dan kita boleh memaafkan Uthaya kerana mungkin ada
beberapa aspek dalam agama kita (Islam) yang beliau kurang arif.
Haris: Kasihanlah jikalau masjid itu
ibadahnya solat sahaja. Penentangan terhadap penindasan dan kezaliman pun tidak boleh dimasjidkan. Saya
sudah kata: agama, politik, sosial dan segalanya seiring, bersama.
Husna: Saya berpolitik kerana Allah. Kalau
bukan kerana Allah, saya sudah biarkan kehancuran di sekeliling saya. Kalau
bukan kerana Allah, saya tidak kisah pun Najib menjadi pemimpin saya. Tetapi
kerana Allah, saya ambil berat. Kita beribadat bukan ketika solat sahaja. Kita
beribadat ketika menjalankan kehidupan seharian kerana Allah, makan kerana
Allah, berpakaian kerana Allah, belajar kerana Allah dan berjuang kerana Allah.
Maafkan saya jika saya juga kurang arif ilmu agama. Islam adalah “cara hidup”.
Dan bagi saya, di masjid adalah lokasi kesatuan yang paling hebat boleh
dinampakkan. Saya sokong rancangan memakai pakaian warna hitam ke masjid.
RN: Saya dari awal tidak memegang anutan
kepartian sama ada PR, Barisan Nasional, PAS, PKR, MIC, DAP, Berjasa, PPP, MCA, Bebas dan sebagainya. Walau
bagaimanapun, saya menghormati individu Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Najib Razak, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Rafizi
Ramli, Nur Izzah, Muhyidin Yassin (sekadar menyebut beberapa nama)
hatta golongan penulis seperti Uthaya. Saya tidak kisah apa pun pandangan orang
terhadap parti lawan masing-masing. Cuma, apabila Uthaya menyentuh agama
saya. … Harap maklum bahawa saya tidak
pernah mengatakan masjid hanya untuk bersolat. Saya juga sokong pelbagai warna
pakaian ke masjid.
Husna: Pada masa akan datang, kalau rasa
ragu-ragu dan tidak senang terhadap paparan di ruangan status Uthaya, mungkin
RN patut bersabar dan bertenang. Fikirkan konteks ayat dan jangan terus marah. Nabi Muhammad SAW berpesan, “Jangan marah, jangan marah
dan jangan marah.” Kita sebagai orang Islam mestilah berusaha mempamerkan
keindahan Islam itu sendiri. Kalau tersilap, sesungguhnya Allah itu Al-Ghaffar,
Maha Pemaaf.
RN: Saya tidak marah. Harap Husna jangan
marah marah juga.
Husna: Dalil berhubung warna pakaian
Rasulullah, Aisyah r.a. menceritakan, “Rasulullah SAW keluar pada suatu pagi
dengan memakai kain yang diperbuat dari bulu hitam.” (Riwayat Imam Muslim,
at-Tirmizi dan Abu Daud)
RN: Saya maafkan Husna. Harap Husna juga
memaafkan saya.
Husna: ‘Aun bin Abi Juhaifa’ meriwayatkan
daripada bapanya yang menceritakan, “Aku melihat Rasulullah SAW memakai kain/pakaian
berwarna merah dan aku lihat seolah-olah (putih) bercahaya dua betis baginda.”
Berkata Sufyan (yang merupakan antara perawi Hadis ini), “Kami berpandangan
kain yang dimaksudkan itu ialah Hibarah.” (Riwayat at-Tirmizi, Imam Ahmad dan
Imam at-Thabrani)
RN: Bukan warna hitam sahaja. Putih,
hijau, merah pun ada.
Husna: Warna putih. Daripada Samurah bin
Jundab r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Pakailah pakaian berwarna putih
kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya
jenazah-jenazah kamu.” (Sunan at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Musnad Imam
Ahmad)
Haris: RN setuju bahawa masjid bukan hanya
untuk bersolat. Dalam pada itu, niat ke masjid jangan kita hadkan hanya pada
solat sahaja, kerana duduk diam-diam di dalam masjid saja sudah dikira sebagai
suatu ibadat. Saya seorang “no partisan”
yang menentang segala bentuk pemerasan dan ketidakadilan. Saya kira status asal
yang dipaparkan oleh Uthaya ini adil (“fair”)
serta tidak menyentuh agama (Islam) secara jahat dan bodoh.
RN: Kan saya dah kata, Husna, ada warna
lain juga! Jangan dangkal sangat sampai macam tu!
Husna: Saya tidak marah. Kita sedang
berbincang, betul tak? Perbincangan yang sihat. … Kiranya pelbagai warna boleh
dipakai. Apa salahnya jika kita terus dengan protes kita dan memakai pakaian
warna hitam, termasuk ke masjid?
RN: Mengapa apabila lawan berdialog dan
kita berlainan pendapat, kita mengatakan dia “jahat dan bodoh”? Boleh jadi saya
bodoh, tapi harap Allah ampunkan saya. … Haris, tindakan meminta umat Islam
diam-diam duduk di masjid, hanya beribadat sahaja, seolah-olah untuk
merendahkan martabat Islam.
Uthaya: Mujurlah ramai juga rakan-rakan yang
memahami makna tersurat (tak perlu ke tahap tersirat!) pada paparan status ini.
Itu sudah memadai kerana mustahil kita boleh membimbing semua orang. Muhasabah.
RN: Husna, maafkan saya kalau saya bersalah.
Assalamualaikum, namun jika nak berdialog, saya boleh
beri masa.
Husna: Baiklah. Maafkan saya juga.
RN: Saya tidak ada apa-apa masalah dengan
Uthaya. Cuma sesekali sahaja “menyangkal” tulisan/pandangan beliau.
Uthaya: Mujurlah dialog berakhir secara baik.
Semoga silaturahim terjalin lebih erat. Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan
dialog bagi membantu percambahan minda.
Haris: Subhanallah. Terlalu banyak kesalahfahaman
yang diambil dan dipetik oleh RN daripada kata-kata saya. Lebih baik saya
mengundurkan diri sebelum berlaku lebih banyak salah tafsir terhadap ayat-ayat
saya.
RN: Saya minta maaf kepada Haris juga.
Setelah membaca semula, saya akui ada kesalahfahaman membaca teks dan
kata-katanya. Maafkan saya!
Uthaya: Ada juga golongan “penulis hebat” dan
“graduan hebat” yang mengirim mesej peribadi menerusi Facebook sejak tadi dan mengatakan saya menghina solat orang Islam!
Kalau status asal saya dibaca dengan teliti (dan dengan jiwa yang tenang),
pasti nampak bahawa saya maksudkan kemungkinan sejumlah umat Islam memakai baju
warna hitam sebagai tanda protes terhadap apa yang dikatakan sebagai penipuan
dalam PRU-13 (Black505). Tiada kaitan
dengan “orang berkulit hitam” atau menghina cara bersolat. Saya menentang
rasisme dan perkauman. Hinalah kalau saya sendiri membuat kenyataan seumpama
itu. Semoga segala kekusutan sudah terlerai.
Mohd Sa’atarinur: Janganlah ada sesiapa yang
cuba memutar-belitkan (“spin”) makna
paparan status Facebook oleh Uthaya.
Sekali baca pun sudah jelas bahawa apa yang Uthaya maksudkan adalah, adakah
jemaah akan memakai baju hitam semasa solat Jumaat nanti.
Muhammad Ridwanto: Sunat pakai pakaian putih.
Hitam mungkin untuk berkabung. Hari Jumaat adalah hari kebesaran umat Islam dan
disunatkan memakai pakaian putih. Kalau pakai pakaian hitam, tak dapat pahala
sunat yang Nabi Muhammad SAW anjurkan di hari Jumaat tapi dapat pahala kerana
pakai kerana Allah. Pakaian putih dipakai untuk solat Jumaat.
Haris: Mujurlah RN akhirnya mengerti.
Alhamdulillah.
Sa’atarinur: Hari Jumaat digalakkan memakai warna
hijau, tapi tidak pernah diharamkan untuk pakai apa-apa warna, hatta warna
pelangi sekalipun.
Uthaya: Kita akhiri dialog ini yang sangat
sarat dengan ilmu pelbagai bidang. Saya minta izin untuk menyunting dan
menyiarkan paparan ini dalam bentuk makalah demi manfaat dan kebaikan khalayak
yang lebih besar.
[Makalah
ini ditulis pada 10 Mei 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 11 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]