Friday, 1 August 2014

Dari Hindraf ke Hindraf

Biar saya mulakan dengan menjelaskan sedikit kekeliruan yang mungkin masih wujud berkaitan Hindraf. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pimpinan P Waythamoorthy yang diluluskan pendaftarannya pada 8 Mac 2013 adalah Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf).
 
Sementara itu, Hindu Rights Action Force atau Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) pula suatu gerakan yang mula diperkenalkan pada tahun 2006. Gerakan itu menganjurkan demonstrasi besar-besaran yang memeranjatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 25 November 2007.
 
Susulan daripada itu, lima pemimpin gerakan Hindraf ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) manakala Waythamoorthy berjaya melarikan diri ke India dan kemudian ke United Kingdom.
 
Tsunami politik melanda negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 8 Mac 2008 dan BN menyedari “kuasa” kaum India. Susulan daripada itu, pada 15 Oktober 2008, Hindraf diwartakan sebagai sebuah pertubuhan haram, satu tindakan yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang (Utusan Malaysia, 16 Oktober 2008).
 
Walaupun lima pemimpin Hindraf dibebaskan daripada tahanan ISA pada Mei 2009, Menteri Dalam Negeri (waktu itu), Hishammuddin Hussein dilaporkan oleh Utusan Malaysia (12 Mei 2009) sebagai berkata, permohonan pertubuhan itu bagi mengkaji semula status pengharamannya telah ditolak oleh kerajaan dan Hindraf kekal sebagai pertubuhan haram.
 
Dalam laporan yang sama, Ketua Polis Negara (waktu itu), Musa Hassan menyatakan bahawa tindakan akan diambil mengikut undang-undang negara terhadap Waythamoorthy apabila dia pulang ke tanah air.
 
Dipendekkan cerita, semua orang tahu bahawa Waythamoorthy sudah pulang ke Malaysia dan tiada tindakan diambil terhadapnya. Sebaliknya, dalam perkembangan terbaru (Mei 2013), seolah-olah dipeluk dan dicium manja, Presiden BN, Najib Razak melantik bekas pelarian itu sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
 
Terdahulu, dalam situasi yang disifatkan sebagai “terdesak dan nazak”, adalah dipercayai bahawa Najib telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, yang kemudian mengarahkan pula Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) supaya menghantar surat kepada Waythamoorthy pada 26 Januari 2013 untuk memaklumkan bahawa pengharaman Hindraf di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 sudah ditarik balik.
 
Di sebalik segala perkembangan ini, perpecahan yang amat nyata sudah berlaku dalam kalangan enam pemimpin yang menggerakkan Hindraf pada 2006. Namun, tumpuan terkini adalah terhadap Waythamoorthy dan abangnya, P Uthayakumar. Ingat: Surat ROS dialamatkan kepada Waythamoorthy, bukan Uthayakumar.
 
Masing-masing mengatakan bahawa dialah pemimpin Hindraf dan berhak menentukan hala tuju gerakan itu. Untuk makluman, selepas dibebaskan daripada tahanan ISA, Uthayakumar menubuhkan Human Rights Party (HRP), sebuah parti politik yang belum diluluskan pendaftaran. Malah, dalam PRU-13, Uthayakumar terpaksa bertanding sebagai calon bebas.
 
Perebutan kuasa antara abang dan adik
 
Sejak 2006, Hindraf terkenal kerana kelantangan mengkritik dan menyelar BN, Umno dan MIC. Maka, apabila Hindraf pimpinan Waythamoorthy tiba-tiba mendatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan BN pada 18 April 2013, orang ramai mempunyai alasan untuk ketawa dan berasa hairan.
 
“Waythamoorthy sudah menguburkan hak dan maruah kaum India. Dia terlibat sama memulakan demonstrasi menuntut hak (pada 2007) tetapi kini dia menjadi umpama bangsawan. Waythamoorthy seorang yang tidak ada harga diri mahu pun maruah.” Demikian seorang mahasiswi IPTS dari Shah Alam, Nanthini Anusha meluahkan kekecewaannya kepada saya.
 
Uthayakumar sendiri menghantar SMS kepada wakil media pada 18 April lalu dan menyifatkan apa yang dilakukan oleh adiknya sebagai “merampas” Hindraf. Bagi Waythamoorthy pula, dia melihat perjanjian dan kerjasama BN-Hindraf sebagai “permulaan perjalanan baru” untuk meningkatan ekonomi kaum India.
 
Dalam pada itu, Uthayakumar yang sedang giat menggerakkan kempen “hantar wakil Hindraf pertama ke Parlimen” pasti terasa marah dan kecewa apabila nama “Hindraf” sudah dirampas dan didaftarkan sebagai sebuah NGO oleh adiknya.
 
Maka, Uthayakumar mengumumkan kepada media bahawa majlis tertinggi gerakan itu sudah melucutkan Waythamoorthy daripada Hindraf pada 25 April 2013.
 
Menerusi laporan yang disiarkan di The Malaysian Insider (27 April 2013), si adik pula mengatakan si abang tidak ada apa-apa kuasa dalam Hindraf; apatah lagi untuk melucutkan jawatan/keahlian si adik.
 
“Uthayakumar hanya ada kuasa dalam HRP. Selepas dibebaskan daripada ISA pada 2009, dia menubuhkan HRP yang belum diluluskan pendaftaran. Selama dua tahun dia memimpin HRP, cawangan dibuka di tujuh negeri. Akhirnya apabila HRP sudah kehilangan sokongan, dia tiba-tiba datang mengaku dirinya pemimpin de facto bagi Hindraf. Dakwaan itu tidak benar sama sekali,” kata Waythamoorthy kepada wartawan di Taiping, Perak.
 
Sekiranya dirujuk pada bukti berupa satu klip video wawancara Uthayakumar dengan sebuah media alternatif pada 6 Disember 2007, dia secara terang-terangan menyebut Waythamoorthy sebagai pengerusi Hindraf.
 
Bagaimanapun, dalam wawancara dengan media alternatif yang sama pada 20 April 2013, Uthayakumar mengaku bahawa dialah pemimpin sebenar (de facto) Hindraf.
 
Walau apa pun kata si abang, hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa Hindraf sudah didaftar sebagai sebuah NGO dan si adik adalah pemimpin pertubuhan berkenaan. Si adik jugalah yang berjaya “memujuk” Najib sehingga segala sengketa lama dan ludah-meludah BN-Hindraf dilupai, lalu suatu MOU ditandatangani.
 
“Bagi saya, perhimpunan Hindraf pada November 2007 merupakan satu-satunya gerakan yang berjaya menyatu-padukan masyarakat India daripada pelbagai keturunan; serta membuka mata kerajaan terhadap realiti kekuatan politik yang dimiliki oleh kaum India.
 
“Pada pendapat saya, Hindraf sepatutnya kekal sebagai satu kumpulan pendesak (pressure group) dan bukannya bergabung dengan mana-mana parti politik,” kata R Balamurali (Vehl Murali), seorang peguam dari Sungai Buloh, Selangor.
 
Hindraf bakal “kuburkan” MIC?
 
Apa-apa pun, sebagai “balasan” atas kesetiaan Hindraf kepada BN, maka Waythamoorthy dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Uthayakumar pula hilang wang deposit di Perlimen Kota Raja dan DUN Seri Andalas dalam PRU-13. Musnahlah impian si abang dalam “peluang terakhir menghantar calon Hindraf ke Parlimen”.
 
“Saya telah berjuang bagi hak kemanusiaan dan kaum India miskin sejak hampir 24 tahun dahulu. Waythamoorthy pula hanya menyertai Hindraf pada 2007, malah kemudian melarikan diri ke London,” Uthayakumar meluahkan perasaan di The Malaysian Insider (16 Mei 2013).
 
Menurut Uthayakumar, adiknya sekadar menguruskan Hindraf semasa dia berada dalam tahanan ISA. “Sebelum 2007, Waythamoorthy hanya pengerusi Vivekenanda Youth Movement yang sekadar menyanyi dan bermain alat muzik pada hujung minggu, hari keluarga dan pertemuan sosial,” katanya.
 
Ternyata bukan hanya Uthayakumar yang tidak berpuas hati dengan perkembangan politik sejak hampir seminggu lalu. Hakikat yang mungkin boleh disembunyikan tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa MIC tidak boleh lagi berkokok dan mendabik dada mengatakan ia satu-satunya “suara” kaum India dalam kerajaan.
 
Secara teknikal, kedudukan Waythamoorthy dalam Kabinet Najib adalah lebih istimewa dan terjamin berbanding keempat-empat pemimpin MIC yang “terselamat daripada dipancung” oleh pengundi dalam PRU-13. Presiden MIC, G Palanivel sendiri pasti tidak boleh meninggikan suara di hadapan Waythamoorthy yang boleh disifatkan sebagai ayam tambatan dan anak manja kepada Najib.
 
Timbalan Presiden MIC, S Subramaniam bertindak bijak apabila mengeluarkan kenyataan bahawa “MIC menghormati keputusan Perdana Menteri melantik Waythamoorthy sebagai timbalan menteri” dan menyeru para ahli MIC menerima keputusan Najib melantik peguam berusia 47 tahun itu (Bernama, 17 Mei 2013).
 
Selain daripada Uthayakumar, Ketua Pemuda MIC, T Mohan juga lantang bersuara menyelar pelantikan Waythamoorthy. Apa tidaknya! Sekian lama mereka dalam MIC dan IPF menjadi juak-juak, pak turut dan tukang kipas, tetapi akhirnya seorang individu yang pernah menghina BN, Umno dan MIC pula senang-senang mendapat jawatan dalam Kabinet Najib. [Baca juga pandangan MIC pada 20 Mei 2013 – “Waythamoorthy tidak ikhlas perjuangkan komuniti India”]
 
Dalam hal ini, penasihat Hindraf, N Ganesan memberikan amaran kepada Mohan dan Uthayakumar supaya “tutup mulut” dan tidak usah bising dalam soal pelantikan tersebut. Katanya, semakin mereka bising, maka akan semakin terbongkar segala kelemahan, ketidakcekapan dan kebodohan mereka.
 
Bagi Waythamoorthy pula, tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukannya. Kedudukannya sudah amat kukuh di sisi Najib dan Umno. Selepas Thanenthiran (Parti Makkal Sakti Malaysia), dialah kini “wira Hindraf” yang bakal diagung-agungkan oleh Umno sebagai pejuang hak kaum India dan dimasukkan dalam buku sejarah bagi bacaan pelajar.
 
Berkenaan “salakan” Uthayakumar dan Mohan, Waythamoorthy ternyata tidak ambil pusing. “Let them talk. I’m a performer,” katanya kepada wartawan akhbar New Straits Times (18 Mei 2013).
 
Mampukah Hindraf “menendang keluar” MIC dan menggantikan tempatnya dalam BN sebelum PRU-14? Sama-sama kita nantikan “pertunjukan” selanjutnya daripada seorang “performer” yang hebat. Tuah ayam nampak di kaki, tuah Waythamoorthy siapa yang tahu!
 
Nota: Waythamoorthy melepaskan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Februari 2014. Uthayakumar keluar penjara pada Oktober 2014. Baca juga - Koleksi Makalah Berkaitan Hindraf.
 
[Uthaya Sankar SB berharap mendapat peluang mewawancara keenam-enam pemimpin Hindraf untuk mendengar kisah mereka. Makalah ini ditulis pada 19 Mei 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 20 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]