[Perunding media ini bertemu ADUN Seri Andalas untuk mendengar
kisah dari sudut pandangan beliau berhubung isu terbaru.]
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Rakyat (huruf besar disengajakan) di
negeri Selangor khususnya mengundi calon bukan sebagai wakil PKR, PAS atau DAP;
sebaliknya sebagai wakil Pakatan Rakyat (PR). Maka, ketiga-tiga parti politik
ini juga harus bekerja bagi Rakyat sebagai PR. Kesemua polisi harus
menggambarkan citra dan jati diri PR; bukan mewakili parti tertentu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri
Andalas, Dr Xavier Jayakumar Arulanandam berpendirian demikian sambil
menekankan bahawa semua pihak dalam PR perlu benar-benar sedar akan hakikat
bahawa Rakyat memilih PR secara kolektif tanpa berdasarkan parti.
Nama Xavier hangat diperkatakan sekarang
menjelang saat genting pemilihan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor. Sudah
ada kempen besar-besaran dari dalam dan luar PKR yang mendesak supaya Ketua
Cabang Kota Raja dan Ahli Biro Politik PKR itu tidak dilantik bagi penggal
kedua memegang portfolio Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan
Prihatin (Free Malaysia Today, 15 Mei 2013).
Rekod keputusan PRU-13 menunjukkan bahawa
Xavier mendapat 31,491 undi berbanding calon MIC/BN, Mohan Thangarasu (15,858 undi) untuk mengekalkan kerusi DUN Seri
Andalas. Majoriti 15,633 undi menunjukkan peningkatan yang amat ketara.
Lalu,
mengapa ada pihak yang menentang kemungkinan beliau dilantik memegang jawatan
Exco? Maklumat yang tersebar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel
daripada kumpulan yang tidak dikenali tidak boleh diterima seratus peratus;
khususnya kerana tidak disertakan maklumat pengirim.
Laporan
di media juga amat kurang mengenai Xavier. Maka, saya memutuskan untuk
bersemuka dengan beliau bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini.
Terdahulu, sejak tarikh penamaan calon (20 April 2013), saya memang sudah mula
mengumpul maklum balas dan pandangan sejumlah pengundi di DUN Seri Andalas
mengenai politikus ini yang lahir di ladang Tanjung Rambutan serta membesar di
Langkawi, Johor dan Kelantan.
Sejak
dilantik menjadi Exco pada Mac 2008, lulusan Universiti Manipal, India (1979)
ini dilihat memberikan tumpuan khas terhadap isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan kuil – dua isu
penting dan sensitif dalam kalangan kaum India beragama Hindu.
Selain
daripada membantu SJK Cina dan Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kerajaan Selangor
menyediakan peruntukan khas sebanyak RM4 juta bagi membantu SJKT. Rata-rata
penduduk yang saya temui menyokong usaha ini kerana mereka sedar, cara terbaik
bagi kaum India mencapai mobiliti sosial adalah menerusi pendidikan. Mereka
juga tidak membantah tindakan menyalurkan sebahagian dana tersebut kepada
beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan projek berkaitan
pendidikan.
Golongan
ibu bapa dan guru di beberapa kawasan sekitar Selangor juga memberitahu saya
bahawa mereka berpuas hati dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Xavier.
Tumpuan beliau bukan hanya terhadap kerja-kerja membaiki kemudahan (fizikal)
SJKT, tetapi juga menjana semangat dan keyakinan dalam diri murid-murid, guru
dan ibu bapa menerusi pelbagai projek.
Walaupun
kurang mendapat publisiti di media, kebanyakan SJKT di Selangor mengaku telah
mendapat manfaat daripada usaha gigih yang dilakukan oleh Xavier sejak 2008;
khususnya dalam soal pemilikan tanah bagi membina bangunan kekal. Kehebatan
SJKT Midlands di Seksyen 7, Shah Alam juga menjadi kebanggaan kaum India serta
bukti bahawa SJKT boleh setaraf SJKC dari segi kemudahan.
Pencapaian cemerlang sejak 2008
Apabila
saya berpeluang bertemu Xavier pada pagi 16 Mei 2013, beliau turut menghuraikan
mengenai isu kuil. Katanya, sejak 2008, kuil Hindu adalah antara penerima
bantuan kewangan terbesar daripada kerajaan negeri; melibatkan peruntukan lebih
RM6 juta. Masalah tanah melibatkan lebih 60 kuil juga berjaya diselesaikan
manakala pembinaan kuil-kuil baru dipastikan memenuhi syarat ditetapkan
kerajaan tempatan.
“Memanglah
isu-isu berkaitan kuil Hindu sangat sensitif dan mustahil dapat diselesaikan
sepenuhnya dalam sekelip mata, tetapi berkat kerjasama semua pihak terbabit,
kerajaan negeri terus-menerus melakukan apa sahaja yang patut dan mampu
dilakukan,” kata politikus itu yang aktif di Facebook dan Twitter.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa banyak perkara yang sudah dilakukan oleh Xavier
sebagai ADUN dan Exco. Malangnya beliau kurang mendapat liputan media. Selain
itu, mengapa dalam perkembangan terbaru, ada pihak yang membuat kempen tidak
mahu beliau kekal sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor?
“Memanglah
rata-rata media cetak Bahasa Tamil dan Inggeris memboikot kami dengan
tidak menyiarkan berita mengenai segala perkara positif yang dilaksanakan dalam
isu-isu berkaitan kuil dan SJKT. Namun, maklumat positif yang disampaikan oleh
orang ramai kepada rakan-rakan mereka (word
of mouth) masih berkesan, walaupun tidak secara meluas. Merekalah kekuatan
kami.
“Portal
berita dalam talian menjadi media yang amat berkesan untuk menyampaikan
maklumat dengan segera kepada khalayak yang lebih luas. Saya mengharapkan
peluang yang adil dan seimbang turut diberikan kepada saya oleh portal berita
berkenaan untuk menjawab pelbagai tuduhan yang dilemparkan pihak berkenaan
serta bagi menjelaskan kedudukan sebenar,” katanya dengan penuh harapan semasa
pertemuan kami di Taman Sentosa, Klang.
Agak
menarik bahawa dalam tinjauan lapangan serta pembacaan saya (khususnya blog
Xavier dan portal Demi Rakyat), banyak perkara menarik yang
sebenarnya berjaya dilakukan menerusi usaha individu ini yang pernah juga
menjadi presiden Kelab Rotary Klang (2005-2006) dan setiausaha agung Malaysian
Dental Association (2007-2008).
Dalam
usaha memberikan sedikit “kuasa” kepada penduduk setempat, sejumlah 48 ketua
komuniti daripada kalangan kaum India dilantik di seluruh negeri Selangor sejak
2008. Mereka menjalankan tugas hampir sama seperti ketua kampung, dibayar elaun
dan ada peruntukan dana bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Ada
banyak lagi kejayaan yang boleh dimasukkan dalam senarai pencapaian Xavier
sejak 2008 tetapi beliau ternyata tidak mahu mengungkitkan kejayaan lalu semasa
perbualan kami. Sebaliknya beliau lebih banyak mahu menumpukan pada
perancangan, tugas dan amanah yang perlu dipikul bagi tempoh lima tahun akan
datang berikutan mandat yang diberikan oleh pengundi di DUN Seri Andalas.
Saya
mengambil peluang untuk mengemukakan pertanyaan mengenai “kempen” terbaru yang
giat dilakukan sekumpulan ‘orang dalam’ PKR sendiri yang khabarnya diterajui Dr
S Streram (Petaling Jaya Selatan), P Maniam (Hulu Selangor), S Murali
(Puchong), Anthony Dass (Kota Raja), P Krishnasamy (Klang), Dr Neduchelian
(Kapar), M Jayabalan (Lembah Pantai), S Balan (Subang) dan P Thiagarajan (OMS).
Pada mulanya, Xavier kelihatan sugul dan
keberatan untuk memberikan komen berhubung isu terbaru ini. Bagaimanapun, saya
menegaskan bahawa tujuan saya bertemu beliau adalah untuk mendengar sendiri
penjelasan daripadanya dan kemudian menulis artikel berdasarkan pertemuan kami.
‘Saya tidak gentar dengan SMS dan fitnah’
“Saya memang sedih dengan perkembangan
terbaru di mana saya dituduh oleh pihak tertentu bahawa saya gagal melaksanakan
tugas sebagai Exco pada penggal pertama. Sayangnya mereka tidak pula mahu
melihat apa-apa yang sudah berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang relatif
singkat sejak 2008,” katanya.
Siapakah kumpulan ini yang begitu
bersemangat mahu menghalang perkembangan politik Xavier dalam kerajaan negeri?
Adakah mereka kelompok yang berjuang bersama-sama PKR dan PR lama sebelum
Xavier menyertai perjuangan reformasi pada 1998?
“Mereka boleh dikatakan orang-orang baru. Kumpulan
ini memang mensasarkan saya sejak sebelum 2008. Mereka mencuba tetapi gagal
mendapatkan kerusi (kuasa) dalam pemilihan parti. Mereka juga gagal mendapat
tempat dalam barisan kepimpinan tertinggi parti.
“Selepas itu, mereka didapati mula bergerak
secara sendirian untuk menentang saya dalam semua perkara. Punca dan alasannya
hanya mereka yang tahu. Kini, apabila timbul kemungkinan saya dikekalkan dalam
jawatan Exco, mungkin mereka merasakan kedudukan mereka dalam PKR tercabar,”
Ketua Cabang Kota Raya itu menghuraikan sedikit demi sedikit.
Jika kumpulan ini boleh menggerakkan kempen
besar-besaran, pasti mereka terdiri daripada kumpulan yang besar, kuat dan
berpengaruh. Malah tidak mustahil bahawa mereka ada ramai penyokong dalam
kalangan ahli PKR dan orang ramai.
“Daripada apa yang saya dapat tahu,
penyokong sebenar mereka tidaklah mencapai 500 orang seperti
digembar-gemburkan. Kumpulan tertentu didapati menggunakan SMS untuk menghantar
mesej kepada orang ramai dalam usaha mencemarkan nama dan reputasi saya.
Bagaimanapun, saya menganggap semua ini sebagai cabaran positif.
“Saya tidak mahu membalas tindakan mereka
dengan cara yang sama. Sebaliknya saya lebih suka jika isu ini diselesaikan
secara baik dalam parti, tanpa perlu menyusahkan orang ramai, khususnya para
pengundi yang sedang menunggu dengan penuh harapan untuk melihat pemimpin
masyarakat (ADUN dan Ahli Parlimen) yang mereka undi melaksanakan tugas yang
diamanahkan,” kata bapa kepada tiga anak itu yang turut berterima kasih kepada
isterinya, Sheila Devaraj yang sentiasa memberikan sokongan moral.
Xavier menyatakan bahawa perjuangan semua
pihak (dalam PKR dan PR) adalah sama, iaitu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan membawa
pentadbiran baru seperti diimpikan sejak dahulu.
“Sekiranya ada pihak yang cuba menimbulkan
pelbagai masalah (dari dalam) seperti yang berlaku sekarang, maka ia
sedikit-sebanyak akan mengganggu perjuangan PR. Kalaulah benar saya melakukan
kesalahan dan penyalahgunaan kuasa seperti didakwa, maka pihak terbabit wajar
membuat laporan rasmi kepada SPRM dan polis berserta bukti.
“Barulah saya juga akan berpeluang
mempertahankan diri secara adil dan saksama. Kalau sekadar menghantar SMS dan
e-mel tanpa nama kepada orang ramai, itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab
serta tidak menyelesaikan masalah. Kalau tidak mampu membantu perjuangan
membela rakyat, sekurang-kurangnya jangan menjadi batu penghalang,” katanya
tanpa menyebut nama sesiapa secara khusus.
[Makalah
ini ditulis pada 16 Mei 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 16 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB 2013.
Harap maklum bahawa anda membaca makalah
ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]