14 Nov 2014

Kisah Ramadan


Pada 1 Ramadan 1434 (10 Julai 2013), seorang murid Bukan Melayu dan Bukan Islam di sebuah sekolah rendah kebangsaan di Shah Alam meminta izin daripada guru di kelas untuk minum air kerana haus.

“Saya tak benarkan sesiapa minum. Kami boleh tahan lapar dan dahaga sampai waktu berbuka puasa. Kenapa pula kamu semua tak boleh tahan sampai balik rumah?”

Demikian reaksi daripada guru berkenaan yang membuatkan murid-murid Tahun Lima itu terkejut dan hairan. Mereka tertanya-tanya apakah demikian ajaran sebenar dalam Islam.

Topik berkaitan Ramadan dan puasa memang sesuatu yang amat sensitif. Namun begitu, niat saya memperkatakan mengenai insiden (terpencil) ini adalah untuk memperbetulkan salah tanggap segelintir penganut Islam sendiri tentang ibadat puasa.

Dalam contoh di atas yang berdasarkan kejadian sebenar, apa yang dilakukan oleh guru berkenaan – secara sedar atau tidak sedar – adalah “dakwah negatif”. Dia memberikan gambaran seolah-olah apabila orang Islam berpuasa (baca: tidak makan-minum), maka semua orang di sekeliling juga tidak dibenarkan makan atau minum.

Saya segera teringat akan kisah berkaitan Siddharta Gautama Buddha. Khabarnya, sejak Siddharta kecil, bapanya – iaitu seorang raja di India – memastikan bahawa hanya segala perkara yang baik, muda, sihat dan ceria berada di sekeliling kehidupan putera berkenaan.

Namun begitu, pada suatu hari, selepas melihat realiti kehidupan (yang cuba disembunyikan oleh bapanya), Siddharta mendapat semacam kejutan budaya. Akhirnya dia meninggalkan istana untuk mencari jawapan bagi pelbagai persoalan yang mula muncul bertubi-tubi dalam minda.

Syukurlah Siddharta akhirnya mencapai budhi atau nyana serta mengasaskan ajaran agama Buddha yang kini tersebar ke seluruh dunia. Akan tetapi, bagaimana pula dengan murid-murid dalam contoh di atas?

Apa yang saya ketahui tentang ajaran sebenar dalam Islam (ulang: ajaran sebenar) adalah bahawa tiada sebarang halangan terhadap orang Bukan Islam (Tidak Islam) untuk meneruskan hidup seperti biasa; termasuk pada bulan Ramadan.

Dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia, sikap tolak-ansur yang tinggi ditunjukkan oleh kaum Bukan Melayu dan Bukan Islam. Misalnya, ramai yang mengelakkan diri daripada makan atau minum di hadapan rakan-rakan yang berpuasa.

Jangan sempitkan konsep puasa

Namun begitu, sikap tolak-ansur yang ditunjukkan itu tidak pula bermakna bahawa semua orang perlu berpura-pura dan mencipta dunia maya seperti yang dilakukan oleh bapa Siddharta semata-mata untuk memastikan bahawa rakan-rakan beragama Islam dapat meneruskan ibadat puasa tanpa sebarang cabaran atau ujian.

Sesungguhnya, puasa individu terbabit adalah lebih bernilai dan berkat sekiranya dia mampu menahan lapar dan dahaga sementara orang ramai di sekeliling meneruskan hidup seperti biasa. Itulah yang diajarkan oleh guru-guru dan rakan-rakan saya sejak kanak-kanak.


Malangnya, agak menyedihkan apabila segelintir orang yang berpuasa itu sendiri menyempitkan konsep “puasa” serta memberikan gambaran seolah-olah apa yang ditegah dalam ibadat puasa adalah makan dan minum semata-mata. [Baca juga - Kisah Viratam]

Sementara itu, saban tahun sepanjang Ramadan, anak saya, Devishi Prabha Sankari (11 tahun), akan mengajak saya atau ibunya ke Bazar Ramadan di Taman Sri Muda, Shah Alam untuk membeli pelbagai juadah yang rata-rata dijaja orang Islam.

Suasana ceria, muhibah dan saling menghormati nyata wujud di Bazar Ramadan di seluruh negara. Langsung tidak timbul persoalan mengapa orang Bukan Islam perlu “sibuk” membeli makanan yang sebenarnya dijual khusus untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Devishi juga memahami bahawa apabila kita membeli juadah di Bazar Ramadan, kita sebenarnya membantu para peniaga berkenaan (biasanya peniaga sementara) yang bertungkus-lumus menyediakan makanan dan menjualnya demi mahu mendapatkan sedikit sumber kewangan tambahan pada bulan yang mulia ini.

Biasanya, kami akan membeli makanan dari beberapa gerai di Bazar Ramadan dan kemudian pergi ke sebuah restoran milik kaum India bersebelahan tapak bazar berkenaan.

Pemilik dan pekerja restoran mengakui bahawa jumlah pengunjung sepanjang Ramadan memang berkurangan. Tempat meletak kereta yang dijadikan tapak Bazar Ramadan juga menyebabkan pengunjung restoran itu kurang sepanjang bulan puasa.

Kalau pun orang datang ke sekitar kawasan restoran, mereka lebih tertarik untuk meninjau dan membeli pelbagai juadah istimewa di Bazar Ramadan. Pekerja restoran memahami keadaan ini dan tidak marah atau merungut.

“Seronok juga tengok suasana meriah di bazar,” kata salah seorang pekerja restoran warga India yang saya kenali.

Kavyan teruskan aktiviti

Di restoran itu, kami biasanya memesan minuman panas untuk dinikmati bersama-sama juadah yang dibeli di Bazar Ramadan. Walaupun biasanya makanan luar tidak dibenarkan, saya perhatikan bahawa larangan itu tidak diamalkan sepanjang Ramadan di restoran berkenaan.

Selalunya kami mengajak pekerja restoran untuk sama-sama mencuba juadah yang kami beli. Sekurang-kurangnya ada juga peluang untuk mereka menikmati pelbagai kuih-muih tempatan.

Bercakap tentang makanan, sepanjang Ramadan, aktiviti bahasa dan sastera anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berjalan seperti biasa. Bezanya adalah bahawa tiada makanan dihidangkan semasa atau selepas aktiviti.

Kavyan memang aktif sepanjang tahun dan disertai masyarakat pelbagai kaum dan agama. Pada pendirian saya, sekiranya aktiviti ditiadakan semata-mata kerana bulan puasa, kita sebenarnya semacam memperlekeh atau mempersenda kemuliaan Ramadan.

Usahlah kita beranggapan rakan-rakan beragama Islam tidak dapat turut serta dalam mesyuarat atau aktiviti yang dijalankan semata-mata kerana mereka sedang berpuasa. Sesungguhnya usah kita lupa bahawa Nabi Muhammad dan para sahabat baginda pernah terlibat dalam perang semasa Ramadan.


Maka, tindakan “menangguhkan” semua acara pada waktu siang sepanjang Ramadan sebenarnya tidak wajar. Tidak mustahil bahawa pihak tertentu berbuat demikian semata-mata kerana makanan dan minuman tidak boleh dihidangkan!

Pada Sabtu lalu [13 Julai 2013], Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Baca Cerpen Kavyan berlangsung seperti biasa di Galeri Shah Alam untuk merancang pelbagai persiapan menjelang acara pada 1 September 2013. Jawatankuasa pelbagai kaum dan agama tidak pula merungut atau mempersoalkan mengapa mesyuarat diadakan pada pukul 3:00 petang pada bulan puasa.

Menjelang pukul 4:00 petang, hujan lebat dan angin kencang melanda sekitar Shah Alam. Mesyuarat diteruskan tetapi masing-masing risau memikirkan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh para peniaga di tapak Bazar Ramadan! Kami mengharapkan hujan dan ribut segera reda supaya perniagaan dapat diteruskan dan peniaga mampu membawa pulang rezeki yang sewajarnya.

Berbalik pula kepada kisah seorang murid di sebuah kelas Tahun Lima di sebuah sekolah rendah kebangsaan di bandar raya yang sama. Selepas kelas tamat, guru wanita itu melangkah keluar.

“Awak minumlah sekarang. Saya tak marah. Emak saya ajar, apabila saya berpuasa, saya tak patut halang hak orang lain untuk makan atau minum,” kata kanak-kanak Bumiputera-Islam dari Sabah itu kepada rakan di sebelah.

[Makalah ini ditulis pada 14 Julai 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 15 Julai 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]