Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
diasaskan di Kota Marudu, Sabah sempena sambutan ulang tahun ke-51 penubuhan
Persekutuan Malaysia pada 16 September 2014.
Mungkin sahaja kewujudan Momogun Movement for Self-Determination
(Mosik) tidak membawa apa-apa makna kepada rata-rata penduduk di Semenanjung
Malaysia (Tanah Melayu).
Walau bagaimanapun, hasil penelitian sejak
awal bulan ini [September 2014], saya mendapati bahawa Mosik mendapat sambutan
hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat “Momogun” iaitu “Orang Asal Sabah”.
Saya berpeluang mendapatkan maklumat
daripada rakan saya, Daniel Jebon Janaun yang mengasaskan
serta menggerakkan Mosik.
Menurutnya, Mosik diwujudkan demi
perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat
selaras Perkara 20, Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Laporan Suruhanjaya
Cobbold, Laporan IGC dan Perjanjian Malaysia 1963, serta jaminan dan
persetujuan asal dalam penubuhan Malaysia.
Seperti yang dapat diduga, perjuangan
nasionalis dan negarawan seperti Daniel dan Doris Jones pasti mendapat liputan
negatif daripada mana-mana media yang dijadikan alat propaganda kuasawan dan
politikus.
“Regim Malaya dan tali barutnya telah
memberikan gelaran ‘pemisah’ kepada para pejuang dan nasionalis negara Sabah
dan Sarawak. Apakah tujuan Regim Malaya berbuat demikian sedangkan perjuangan
kami sangat berasas. Di mana letaknya kewajaran gelaran ‘penghasut’ yang
diberikan?”
Demikian tanya Daniel, individu berumur 47
tahun yang melepaskan jawatan kerajaan pada awal Mac 2013 untuk berjuang bagi
memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara.
Secara sinis tetapi berani, lelaki daripada
etnik Kadazan (Kimaragang) ini mengatakan bahawa memandangkan Regim Malaya
menggelarkan mereka sebagai “pemisah” dan “penghasut”, maka mereka tidak gentar
untuk benar-benar menjadi seperti yang dituduh.
Mungkin ramai yang tidak tahu – serta tidak
mengambil tahu – tetapi suara-suara menuntut hak dalam kalangan penduduk asal
Sabah dan Sarawak semakin lantang, serta semakin sukar dikawal.
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa
polis sedang “memburu” Doris iaitu pengasas gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM). Wanita itu
juga ternyata sedikit pun tidak gentar dengan ugutan, amaran dan tuduhan yang
dilemparkan kuasawan dan politikus.
Memahami perjuangan Mosik, SSKM
Segala perkembangan ini menunjukkan bahawa
orang ramai di Sabah dan Sarawak sudah semakin berani bangkit bersuara; bukan
hanya pada peringkat tempatan (Sabah/Sarawak) dan nasional (Malaysia), tetapi
juga pada peringkat antarabangsa.
“Apabila Regim Malaya menangkap pejuang dan
nasionalis, maka bermulalah revolusi kebangkitan rakyat untuk memulihkan status
Sabah dan Sarawak sebagai negara berdaulat,” kata Daniel yang sedang dalam
proses menerbitkan buku berjudul Sabah Sebuah Negara.
Apakah sebabnya penduduk Sabah dan Sarawak
tidak berpuas hati? Soalan ini amat perlu ditanya bagi mendapatkan jawapan dan penjelasan
yang benar dan tepat.
Menurut Daniel, menerusi pembentukan
Persekutuan Malaysia (16 September 1963), Sabah dan Sarawak sebenarnya telah
diturunkan taraf daripada “negara” yang merdeka dan berdaulat menjadi “negeri”
yang berada di bawah kuasa Malaya (Tanah Melayu; Semenanjung Malaysia).
“Sejak tarikh 27 Ogos 1976, Sabah dan
Sarawak dinafikan hak sebagai rakan kongsi sama taraf dengan Malaya; sebaliknya
sekadar menjadi negeri ke-12 dan ke-13.
“Hari kemerdekaan Sabah (31 Ogos 1963) dan
Sarawak (22 Julai 1963) tidak diiktiraf, malah dilupakan dan langsung tidak
diajar di sekolah,” Daniel yang saya kenali sejak tahun 1990-an menghuraikan
dengan sedih.
Penerangan yang diberikannya amat penting
serta membantu saya lebih memahami perjuangan kumpulan yang bernaung di bawah
SSKM dan Mosik.
Sama ada berjaya atau tidak, patut atau
tidak patut, menghasut atau menderhaka bukanlah soal utama di sini.
Apa yang lebih penting adalah bahawa kita
berpeluang untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku dan mengapa ada pihak
yang bangkit berjuang menuntut kemerdekaan Sabah dan Sarawak selepas lebih 50
tahun pembentukan Persekutuan Malaysia.
Selain Kelantan yang dikatakan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai negeri paling miskin, Sabah juga sudah
dimiskinkan walaupun “negeri di bawah bayu” itu sebenarnya amat kaya.
Bagi mewajarkan perjuangan Mosik, Daniel
menekankan bahawa kekayaan bumi Sabah dijarah, dikaut dan dibawa ke Malaya
sehingga ahkhirnya wujud kemiskinan yang tinggi dan kitaran ganas kemiskinan di
Sabah.
Membetulkan, menyelamatkan Malaysia?
“Artikel 4 Perjanjian Malaysia yang
menyatakan kesemua terma dalam perjanjian dan usaha untuk jaminan yang dibuat
dalam pembentukan Malaysia harus dilaksanakan oleh empat negara, iaitu United
Kingdom (Britain), Malaya, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Tetapi ia tidak
dihormati dan dipatuhi,” beliau mengulas.
Tindakan kerajaan pusat mengaut dan
merampas hasil minyak dan gas Sabah dan Sarawak menerusi Petronas juga diselar
Mosik kerana perbuatan itu sebenarnya bukan dalam bidang kuasa kerajaan pusat.
Meletakkan tarikh kemerdekaan Malaysia pada
tanggal 31 Ogos 1957 juga tidak dipersetujui penduduk Sabah dan Sarawak khasnya
dan penduduk Malaysia amnya yang celik sejarah.
“Sabah dan Sarawak kehilangan kuasa
autonomi dan individualiti. Apa yang ada hanyalah dominasi Malaya terhadap
kami. Kerakyatan diberikan kepada pendatang asing yang tidak layak sehingga
orang asal Sabah (Momogun) menjadi minoriti.
“Sesungguhnya Mosik akan tetap
memperjuangkan penyelesaian dan pembetulan kepada segala masalah ini,” kata
Daniel dengan penuh semangat.
Sekiranya pelbagai catatan dan komentar di
laman rangkaian sosial diteliti, para pejuang di dalam dan di luar Mosik
mempunyai misi yang sama iaitu “membetulkan Malaysia” dan “menyelamatkan
Malaysia”.
Saya meminta Daniel menghuraikan visi
berkenaan supaya jelas kepada orang ramai serta tidak pula dimanipulasi pihak
berkepentingan.
“Dalam konteks Sabah, visi kami menegakkan
Sabah sebagai negara yang mempunyai kuasa autonomi mutlak, negara maju yang
menguasai sepenuhnya sumber ekonomi, bebas daripada pendatang asing tanpa izin
(Pati), rakyat Sabah hidup aman dan harmoni dengan hak dan adat-istiadat anak
negeri yang terus terpelihara, serta hak menikmati keadilan sebagai rakan kongsi
dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Kalaulah Sabah berjaya dimerdekakan sekali
lagi (kali pertama pada 31 Ogos 1963) dan Sabah menjadi sebuah negara
berdaulat, timbul pula pertanyaan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.
“Ada jawapannya dalam buku Sabah Sebuah Negara yang bakal terbit
sebelum hujung tahun ini,” kata Daniel tanpa mendedahkan jawapan secara mudah.
Sementara menantikan kelahiran buku
berkenaan, kita bolehlah mengikuti perkembangan perjuangan Mosik dan SSKM menerusi laman rangkaian sosial dan media
alternatif.
[Makalah ini ditulis pada 22 September 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 23 September
2014. Baca juga: Tangisan Orang Asal Sabah © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]