Umur Devishi Prabha Sankari (Devishi PS) genap sepuluh tahun pada 4 Mac 2012. Pada kesempatan ini, saya mahu mengimbau beberapa kenangan yang sangat bermakna dan membuatkan saya sentiasa bersyukur.
Sesungguhnya saya amat bertuah kerana Tuhan telah mengurniakan saya dengan “daya lupa” (selective amnesia) yang memungkinkan saya menikmati karya (filem, novel dan sebagainya) berulang kali. Hal ini saya akui dalam tulisan di The Malaysian Insider pada 26 September 2011.
“I don’t want to forget the simple moments in life. Therefore I write.” Demikian saya catatkan pada ruangan status di Facebook pada 28 Januari 2012. Itulah yang mahu saya lakukan pada kali ini.
Sejak Devishi di tadika, setiap kali saya berpeluang mengambilnya selepas sekolah, saya akan bertanya kepadanya, apa perkara baru yang dipelajarinya di kelas pada hari berkenaan.
Bagi saya, sebagaimana saya huraikan dalam satu lagi tulisan (The Malaysian Insider, 31 Julai 2009), apa yang penting adalah ilmu yang ditimba di sekolah secara yang menyeronokkan; bukan pengetahuan yang disuap dan disogokkan oleh guru kepada murid.
Mujurlah Devishi turut memenuhi kepentingan ilmu yang dipelajari sambil berseronok. Berkat bimbingan ibunya, Prabhawathy Govindarajoo, maka Devishi tetap mendapat keputusan akademik yang amat membanggakan sehingga kini.
Sepanjang tahun 2006, semasa berumur empat tahun, Devishi tinggal bersama-sama neneknya, mendiang datuknya dan ibu saudaranya di Kamunting, Perak sebelum memulakan pendidikan prasekolah.
Selama setahun itu, dia berjaya menguasai Bahasa Tamil dengan amat baik! Kosa kata dan pengucapan Bahasa Tamil yang digunakannya sejak itu terbukti mengatasi kemampuan saya sendiri.
Apabila masuk ke tadika (2007-2008), Devishi mula menguasai Bahasa Inggeris. Terdahulu, sejak bayi, dia sudah biasa dengan Bahasa Malaysia yang digunakan oleh ibu bapanya.
Malah, sejak Devishi berumur setahun, saya sering bermain dengan berkata “Acha nak gigit hidung/telinga/mata/mulut” dan dia akan segera menutup hidung/telinga/mata/mulut.
Sejak bayi, Devishi juga sentiasa menyertai (menghadiri) aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di seluruh negara.
Dia juga “cucu” kesayangan Penasihat Agung Kavyan, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang dipanggilnya “taata” sejak kecil.
Hobi Devishi adalah menyanyi, menari, membaca, menulis dan melukis. Kami berdua sering menonton kartun menerusi DVD atau filem di pawagam. Oh, ya! Dia lebih tahu perihal filem-filem Tamil (pelakon, cerita dan lagu) berbanding saya.
Semasa kami menonton filem Eragon (2006) di pawagam, saya terdengar Devishi berbincang bersama abangnya, Ganesan Duraisamy: “Betapa baik kalau kita pun dapat bela seekor anak naga. Bolehlah kita tunggang naga dan terbang ke sekolah.”
Ikan laga yang kami beli pada 31 Disember 2010 dinamakannya “Cutie” (Si Comel) dan ikan itu masih hidup secara harmoni bersama-sama beberapa ikan spesis lain di dalam akuarium di rumah.
Sekali itu, pada 13 Oktober 2009, saya dan Devishi merancang “misi” meletak racun tikus jenama ‘King Kong’ di beberapa lokasi terpilih di dalam rumah.
Bagaimanapun, saya mendapati kotak racun tikus itu kosong. Maka, saya dan Devishi membuat rumusan bahawa racun yang kami letak pada minggu sebelumnya habis dimakan tikus.
Kami membayangkan bahawa salah seekor tikus yang berpeluang menjamah “makanan” itu pergi memberitahu rakan-rakannya sebelum mati: “Ei! Tadi aku makan makanan sedaplah. Rugilah kamu semua tak ikut.”
Lalu, berkata pula seekor lagi tikus: “Aku nak rasa jugalah. Ada lagi, tak?”
“Entahlah. Aku nampak ada kotak berisi makanan itu digantung pada paku di dinding,” jawab si tikus pertama tadi sambil menunjuk ke arah kotak racun tikus.
Kisah-kisah rekaan dan imaginatif seperti ini memang lazim dalam kalangan kami. Misalnya, cerpen “Ikan Patin dan Beruang Besar” (e-baca, Mac 2007) ditulis berasaskan “lakonan” saya dan Devishi memancing ikan patin di ruang tamu rumah!
Pada 31 Disember 2007, saya dan Devishi ke sebuah pasar raya untuk membeli anak patung untuk diberikan sebagai hadiah hari jadi kepada sepupunya, Shruthi.
Harga anak patung berkenaan sekitar RM16.00 sahaja (saya kurang ingat). Terdapat satu anak patung wanita serta beberapa helai pakaian dalam set itu.
Amat nyata bahawa puteri kesayangan saya (yang berumur lima tahun) sangat menyukai anak patung itu. Bagaimanapun, dia berkata: “Beli satu set sahajalah untuk diberi kepada Shruthi. Untuk saya tak perlu sebab kita bukannya kaya.”
Hati saya sangat tersentuh mendengar kata-katanya dan pengalaman itulah yang saya tuangkan dalam cerpen “Anak Patung Hari Jadi” (e-baca, Julai 2010) untuk tujuan dokumentasi.
Perwatakan Devishi sering saya paparkan menerusi watak bernama “Dhurga”, termasuk dalam cerpen terbaru berjudul “Cikgu Hadebah dan Ramayana” (e-baca, Mac 2012).
Pada 6 Mac 2011, sambutan hari jadi ke-9 Devishi diadakan di KFC Kemuning Utama, Shah Alam. Saya masih ingat bagaimana kegembiraan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak dan rakan-rakannya yang hadir.
Hal ini sangat berbeza pada tahun sebelumnya di mana saya berasa amat sedih kerana tidak mampu mengadakan sebarang sambutan sempena hari jadi ke-8.
Malah, pada 4 Mac 2010, sementara Prabhawathy ke sekolah, saya dan Devishi pergi bersarapan di sebuah restoran dan kemudian bercadang pergi membeli baju baru sebelum mengambil kek warna merah jambu (bertulis “Happy Birthday Princess Devishi”) yang sudah ditempah lebih awal.
Malangnya, bateri kereta saya rosak dan terpaksa diganti pada masa itu juga. Dalam keadaan terdesak, wang yang disimpan untuk membeli baju baru Devishi terpaksa digunakan untuk membeli bateri kereta.
Saya berusaha menyembunyikan rasa sedih, kecewa dan kasihan daripada diketahui/dikesan oleh Devishi. Dia pula seperti memahami keadaan saya, lalu mengatakan bahawa dia sudah ada banyak baju yang dibelikan oleh ibunya.
“Acha, I am your princess and you are my king,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu saya pada waktu itu.
Sedikit pengalaman berkenaan ada saya tuangkan secara kreatif ke dalam cerpen “Selamat Hari Jadi, Sayang” (e@siswa, April 2010) kerana hanya itu yang mampu saya lakukan untuk meluahkan rasa sedih dalam jiwa pada waktu itu.
Seperti yang saya nyatakan menerusi cerpen “Air Mata Hari Jadi” (Fokus SPM, Mei 2010): “Air mata yang mengalir adalah bukti sifat Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun.”
Devishi akan menyambut hari jadi ke-10 pada 4 Mac 2012 dan saya mahu seluruh dunia tahu bahawa saya berbangga menjadi ayahnya.
(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berpandukan beberapa catatan yang didokumentasikan di blog dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 27 Februari 2012.)