Saya dan Devishi Prabha Sankari sudah merancang “misi” meletak racun tikus di beberapa lokasi terpilih di dalam rumah pada pagi 13 Oktober 2009.
Sebenarnya, hampir seminggu lalu, kami telah meletakkan racun tikus (jenama “King Kong”) di beberapa lokasi berikutan kehadiran tikus yang “boleh didengar tetapi tidak kelihatan”.
Hasil daripada usaha itu, beberapa hari lalu, bangkai seekor tikus ditemui di dapur manakala satu lagi di luar rumah.
Maka, pada petang 12 Oktober 2009, saya dan Devishi sudah menyenaraikan “misi” untuk pagi keesokannya; iaitu selepas bersarapan dan mengirim e-kad Diwali kepada Ganesan (atau “Etta” bagi Devishi).
Bagaimanapun, pada pagi tadi, apabila saya pergi untuk mengambil kotak racun tikus, saya mendapati kotak berkenaan amat ringan.
Rupa-rupanya kosong!
Maka, saya dan Devishi membuat rumusan (teori?) berikut:
Racun yang kami letakkan di beberapa lokasi terpilih minggu lalu telah habis dimakan. Salah seekor tikus yang berpeluang menjamah “makanan” itu telah pergi memberitahu rakan-rakannya sebelum mati:
“Ei! Tadi aku makan makanan yang sedaplah. Rugilah kamu semua tak ikut.”
Lalu, berkata pula seekor lagi tikus, “Aku pun nak rasa jugalah. Ada lagi, tak?”
“Entahlah. Aku nampak ada beg plastik berisi kotak makanan digantung pada paku di dinding tu,” jawab si tikus pertama tadi sambil menunjuk ke arah beg plastik berisi racun tikus cap King Kong.
Maka, pergilah beberapa tikus muda mencuri dan memamah racun tikus yang mungkin disangka juadah Deepavali.
Akhirnya, Devishi dan saya membeli stok baru racun tikus sebagai “Hadiah Deepavali” bagi tikus-tikus yang “boleh didengar tetapi tidak kelihatan”.