Penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia boleh memberi sumbangan besar ke arah memupuk persefahaman dan perpaduan; serta menjadi pemangkin kepada kejayaan konsep “Satu Malaysia”.
Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, kelompok berkenaan mampu mengangkat tema, budaya dan kisah hidup masyarakat India untuk difahami dan dihayati oleh masyarakat pelbagai kaum.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini yang berkata, kementeriannya menggalakkan Penulis Bukan Melayu untuk menulis buku Bahasa Malaysia, supaya perkembangan bahasa kebangsaan dalam khalayak Bukan Melayu akan lebih semarak lagi.
Kumpulan Sasterawan Kavyan yang diasaskan pada tahun 1999 diterajui oleh sekumpulan penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera seperti cerpen dan sajak Bahasa Malaysia.
Dalam suatu kenyataan yang dikeluarkan di Shah Alam, Uthaya berkata, Kavyan juga mengendalikan siri bengkel penulisan untuk membimbing orang ramai yang berminat mempelajari teknik menghasilkan cerpen bermutu.
Katanya, karya sastera merupakan cara yang amat berkesan untuk membantu masyarakat pelbagai kaum saling memahami dan menghormati kepelbagaian budaya dan adat-resam yang wujud dalam kalangan penduduk Malaysia.
Nota: Skrip ini ditulis berdasarkan buletin yang disiarkan menerusi Bernama Radio24 pada 12 Oktober 2009, 4:00 petang.