1 Mar 2012

Komsas: Penulis Sedia Tarik Balik Karya

Berikut kenyataan media bersama oleh Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun & Mohd Izan Abd Hazes pada 1 Mac 2012:

1. Usaha kami sejak awal tahun lalu untuk menuntut hak royalti bagi karya kami yang dijadikan teks Komsas nampaknya masih belum membuahkan hasil.


2. Surat kami kepada Menteri Pelajaran pada 26 September 2011 serta Mesyuarat Khas di Bahagian Buku Teks (BBT) pada 16 Februari 2012 tidak membuahkan apa-apa hasil yang memihak kepada kami.


3. Pengarah BBT memutuskan bahawa bahagian itu tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu kami dalam menuntut hak royalti bagi karya kami yang digunakan sebagai teks Komsas tanpa izin kami.


4. Maka, isu ini terpaksa dibawa semula untuk perhatian Menteri Pelajaran dengan harapan beliau akan masuk campur dan menggunakan kuasa yang ada untuk menyelesaikan isu ini dengan segera.


5. Pada Mesyuarat Khas (16 Februari 2012), BBT, Penasihat Undang-undang KPM dan penerbit tidak mahu menunjukkan dokumen-dokumen yang kononnya sudah ditandatangani oleh kami dan dikemukakan oleh penerbit kepada BBT bagi tujuan penerbitan teks Komsas.


6. Perlu ditegaskan bahawa kami tidak pernah menandatangani sebarang dokumen seperti didakwa penerbit.


7. Malah, kami sedia membuat Akuan Bersumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah berhubung perkara ini.


8. Dengan itu, kami mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa pihak tertentu telah mengemukakan dokumen palsu kepada KPM dalam urusan penerbitan teks Komsas.


9. Kami telah mengharapkan Pengarah BBT menggunakan kuasa yang ada pada beliau untuk memberikan salinan dokumen-dokumen berkaitan yang kononnya ditandatangani oleh kami.


10. Kami berempat sudah membuat laporan polis pada 10 September 2011 berhubung kemungkinan penerbit mengemukakan dokumen palsu kepada KPM dalam urusan penerbitan teks Komsas. Salinan laporan polis juga diserahkan kepada Menteri Pelajaran bersama-sama surat rayuan bertarikh 26 September 2011.


11. Dalam perkembangan terbaru, pada 25 Februari 2012, seorang lagi penulis yang turut menjadi mangsa royalti teks Komsas mendedahkan salinan salah satu dokumen berhubung penerbitan teks Komsas. Dokumen itu memuatkan tandatangan penulis yang dipalsukan oleh penerbit.


12. Sehubung itu, kami berharap KPM sudi menunjukkan salinan dokumen berkenaan yang berada dalam simpanan KPM untuk membolehkan kami membuktikan bahawa tandatangan pada dokumen itu adalah palsu.


13. Sekiranya Menteri Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah Bahagian Buku Teks masih tidak mampu membantu kami mendapatkan hak royalti teks Komsas, maka kami terpaksa mengambil langkah terakhir bagi menyelesaikan isu ini daripada berpanjangan.


14. Jika tiada sebarang penyelesaian yang memihak kepada kami dalam masa terdekat, maka kami mungkin terpaksa mengemukakan notis/surat rasmi “tidak mengizinkan” karya kami digunakan sebagai teks Komsas kerana tandatangan kami pada dokumen rasmi dipalsukan penerbit tertentu dan kerana penerbit tidak membayar royalti yang setimpal kepada kami.


15. Selepas itu, KPM bertanggungjawab menarik balik penggunaan novel “Cempaka Putih Untukmu” (Rohani Deraman), cerpen “Warkah Daripada Ibu” (Rohani Deraman), puisi “Seorang Insan Istimewa” (Amy Suzani), cerpen “Budi Semangkuk Daging” (Amy Suzani), novel “Bukan Duniaku” (Hazama) dan novel “Hikmah” (Mohd Izan) daripada digunakan sebagai teks Komsas.


16. Langkah drastik yang sedang kami fikirkan ini adalah sebagai memberi pengajaran kepada penerbit terbabit supaya tidak menipu KPM dan tidak menipu golongan penulis dalam urusan penerbitan teks Komsas.


17. Tambahan pula, apa gunanya kami terus berdiam diri lalu tidak mendapat apa-apa bayaran (royalti) sedangkan penerbit tertentu mengaut untung besar apabila karya kami dijadikan teks Komsas.


Nota: Keempat-empat penulis turut mengirim e-mel berhubung perkara di atas kepada Menteri Pelajaran pada 1 Mac 2012. Kenyataan media ini dipaparkan di blog Uthaya Sankar SB atas permintaan para penulis terbabit. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai isu royalti teks Komsas.