Friday, 2 March 2007

Ikan Patin dan Beruang Besar

“Oh, cepat! Mari tolong Ayah.”

Mendengar suara Ayah, saya segera bergerak menghampiri Ayah.

“Cepat! Tolong Ayah untuk menarik kail ini. Nampaknya kita berjaya menangkap seekor ikan yang besar.”

Tanpa membuang masa, saya berdiri di sisi Ayah dan membantu Ayah menarik kail dengan sepenuh tenaga.

“Adik, datanglah menolong Ayah dan Kakak!” Saya menyeru ke arah Adik yang duduk di hujung perahu.

Adik kelihatan masih duduk sambil menutup mulut dengan kedua-dua belah tangan. Bahunya terhingut-hingut.

“Wah, sudah dapat! Lihat betapa besar ikan yang kita tangkap,” kata Ayah dengan suara bangga.

“Besarnya ikan ini, Ayah,” saya menyahut. “Ikan apa ini, Ayah?”

“Ayah rasa ini ikan patin,” Ayah membalas sambil memasukkan ikan besar itu ke dalam bakul rotan yang dibawa.

“Nanti kita minta Emak masak ya, Ayah?” Saya mencadangkan dengan gembira sambil duduk di sisi Ayah.

Ayah mengangguk seraya mula mengayuh sampan. Melihat aksi Ayah, saya turut mencapai pengayuh dan memulakan kayuhan.

“Adik! Tolonglah kayuh bersama-sama. Biar kita cepat sampai di jeti. Boleh kita bawa ikan patin ini kepada Emak yang sedang menunggu di khemah. Biar Emak masak ikan patin ini untuk makan malam.”

Adik kelihatan terus berusaha mengawal ketawa. Ayah menyerahkan pengayuh kepada Adik. Setelah terkebil-kebil seketika, Adik menerima pengayuh daripada Ayah dan mula mengayuh seperti saya.
.
(Petikan cerpen "Ikan Patin dan Beruang Besar" yang disiarkan dalam majalah e-baca, Mac 2007)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!