24 Feb 2012

Cikgu Hadebah dan Ramayana

Dhurga, Amirul, Jenny, See Hua dan Nathan terasa seronok melihat Cikgu Hadebah di kantin sekolah.

“Selamat petang, cikgu!” Mereka berkata bersama-sama.


“Oh, selamat petang. Apa khabar kamu semua?” Cikgu Hadebah memandang mereka berlima dan tersenyum mesra.


“Kami semua sihat, cikgu,” See Hua yang tinggi lampai menjawab mewakili kawan-kawannya.


“Kami datang untuk latihan sukan. Akan tetapi, tiba-tiba hujan pula,” Nathan menyambung.


Kelima-lima murid Tahun Enam itu duduk mengelilingi meja di kantin.


“Kami tidak mengganggu cikgu, kan?” Dhurga cuba mendapatkan kepastian.


Cikgu Hadebah adalah guru mata pelajaran Bahasa Malaysia semasa mereka belajar Tahun Empat. Sekarang pun beliau masih mengajar murid Tahun Empat manakala kelima-lima kanak-kanak ini bakal menduduki UPSR pada tahun ini.


“Cikgu sedang menulis draf skrip drama sempena Hari Buku Sedunia. Kamu semua tahu bila sambutannya?”


“Saya tahu, cikgu!” Amirul menjawab pantas. “Pada 23 April setiap tahun.”


“Hari Buku Sedunia disambut bersama-sama Hari Hak Cipta,” Jenny pula menambah.


Cikgu Hadebah tersenyum gembira. Beliau memang bangga dengan kebijaksanaan kumpulan murid itu. Mereka bukan sahaja cemerlang dalam subjek peperiksaan tetapi juga mempunyai pengetahuan am yang luas.


(Petikan cerpen “Cikgu Hadebah dan Ramayana” yang disiarkan di majalah e-baca keluaran Mac 2012. © Uthaya Sankar SB.)