24 Feb 2012

Malgudi yang Abadi

Antara pengarang yang saya sukai dan kagumi ialah R. K. Narayan (10 Oktober 1906 – 13 Mei 2001) kerana kemampuannya menyampaikan kisah-kisah biasa dengan gaya yang bersahaja dan bahasa yang amat mudah.

Dalam segala kesederhanaan itulah sebenarnya terkandung keistimewaan pengarang ini yang lahir dan membesar selama 15 tahun di rumah neneknya di Chennai (Madras), Tamil Nadu, India.


Rasipuram Krishnaswami Iyer Narayan Swami mencipta sejarah dalam dunia sastera antarabangsa pada tahun 1930 dengan melahirkan “Malgudi” iaitu sebuah daerah khayalan yang menjadi latar bagi kesemua (kecuali sebuah) karyanya.


Saya mula mengenali pengarang ini menerusi satu daripada enam kumpulan cerpennya iaitu A Horse and Two Goats (1970) yang saya baca pada tahun 1990.


Malah, sesiapa yang berpeluang meneliti karya-karya saya pasti akan dapat mengesan gaya bahasa mudah yang saya gunakan hasil pengaruh secara tidak langsung daripada pengarang hebat ini.


Bagi peminat Narayan – dan juga mereka yang baru mahu mengenali beliau – bolehlah mendapatkan empat buku yang diterbitkan khas bagi mengumpulkan karya-karya terpilih mendiang.


Buku A Town Called Malgudi (1999) setebal 642 halaman menggabungkan novel The Man-eater of Malgudi (1961), novela Talkative Man (1986) serta 16 cerpen terpilih daripada antologi Malgudi Days (1942), Under the Banyan Tree (1985) dan Salt and Sawdust (1993).


Buku The World of Malgudi (2000) pula menampilkan novel Mr Sampath (1948), The Financial Expert (1952), The Painter of Signs (1977) dan A Tiger for Malgudi (1983) dalam 600 halamannya.


Buku ketiga dalam siri ini ialah The Magic of Malgudi (2000) iaitu gabungan novel Swami and Friends (1935), The Bachelor of Arts (1937) dan The Vendor of Sweets (1967).


Buku Memories of Malgudi setebal 779 halaman pula menggabungkan novel-novel The Dark Room (1938), The English Teacher (1945), Waiting for the Mahatma (1955), The Guide (1958) dan The World of Nagaraj (1990).


Watak-watak yang diangkat menerusi karya-karya ini adalah orang kebanyakan yang tinggal di Malgudi dan ada kalanya berinteraksi bersama orang luar; selalunya dengan hasil yang melucukan.


Walaupun rata-rata watak dan kisah yang dipaparkan adalah berkaitan kaum India, namun tema dan persoalan yang dibawakan menerusi karya-karya Narayan adalah bersifat sejagat dan mampu menyentuh jiwa pembaca di seluruh dunia.


Narayan sering bercerita menggunakan sudut penceritaan watak-watak yang jujur, tulus, lurus dan tidak hipokrit. Maka, sering kali pembaca akan bersimpati dengan nasib malang yang menimpa watak-watak ini.


Saya ada membicarakan buku-buku Narayan pada program “Cakap-cakap Buku” anjuran Perpustakaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor pada 19 Disember 2011.


Antara lain, saya memberitahu hadirin bahawa karya-karya Bahasa Inggeris ini enak dibaca segenap lapisan masyarakat. Tambahan pula, Narayan menggunakan bahasa yang mudah tetapi sangat berkesan dalam menyampaikan cerita secara amat bersahaja.


Bagi individu yang sentiasa sibuk, koleksi cerpen beliau adalah pilihan yang bijak untuk mengenali karya-karya pengarang ini sebelum beralih membaca novel-novel beliau yang juga sama hebat.


Gaya penceritaan bersahaja yang menjadi identiti dan keistimewaan Narayan membuatkan pembaca terhibur sambil membuka ruang untuk mereka memikirkan pelbagai persoalan dalam hidup dan masyarakat secara lebih teliti, kreatif dan kritikal.


Kisah mengenai masalah bahasa dalam cerpen “A Horse and Two Goats” akan membuatkan pembaca tersenyum sendiri manakala kisah keluarga dalam “Uncle” mampu membuatkan kita mengimbau pengalaman lama semasa kanak-kanak.


Narayan menganyam pelbagai kisah seharian dengan sentuhan magis sehingga pembaca dapat merasakan seolah-olah mereka adalah salah seorang penduduk Malgudi.


Pembaca akan segera kenal pelbagai tempat di Malgudi: Sungai Sarayu, stesen kereta api, Bombay Anand Bhavan, Palace Talkies, Sekolah Mubaligh Albert dan The Boardless yang menjadi tumpuan penduduk.


Bagaikan watak-watak yang hadir itu adalah insan-insan yang kita kenali dan pernah menjadi jiran-tetangga kita di sebuah kampung bernama Malgudi yang kononnya pernah dikunjungi Rama (dari epik Ramayana), Siddhartha Gautama Buddha dan Mahatma Gandhi.


(Uthaya Sankar SB lahir dan membesar di sebuah kampung kecil bernama Aulong Lama yang tidak kelihatan pada peta Malaysia. Ulasan ini ditulis pada 2 Februari 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 11 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)