Dalam konteks penduduk majmuk di Malaysia,
pasti wujud interaksi antara masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, budaya dan latar belakang.
Memandangkan majoriti rakyat negara bertuah
ini beragama Islam, maka secara rasional, rakyat bukan
Islam dan bukan Melayu (kerana di Malaysia, Melayu adalah Islam, dan Islam adalah Melayu)
berpeluang untuk mengambil tahu serta mempelajari pelbagai aspek berkaitan
ajaran Islam.
Sistem pendidikan di negara kita juga
memasukkan – malah “menyumbat” – pelbagai aspek berkaitan Islam dalam mata
pelajaran sejak tadika. Maka, sama ada mahu atau tidak mahu, rela atau tidak
rela, tidak ada sesiapa yang “terlepas” peluang belajar tentang Islam.
Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman
saya sendiri sejak kanak-kanak, timbul situasi di mana pelbagai persoalan,
pertanyaan dan rasa ingin tahu yang dikemukakan kepada individu Islam kurang
mendapat jawapan atau penjelasan yang sewajarnya dan memuaskan.
Sesungguhnya menjadi tanggungjawab setiap
umat Islam (sebagaimana para ahli kitab) untuk berdakwah; menyampaikan nur
Islam kepada semua orang. Sama ada ajaran Islam diterima atau tidak oleh orang
lain (ahli zimmah) bukan persoalan, kerana hidayah itu urusan Allah.
Namun, apabila maklumat asas berkaitan
Islam gagal – atau kurang berjaya – disampaikan kepada orang bukan Islam yang
bertanya, maka interaksi antara agama serta peluang dakwah menjadi sia-sia.
Lihat sahaja ruangan soal-jawab agama di
kebanyakan akhbar dan majalah arus perdana serta ceramah agama. Rata-rata
soalan adalah berkaitan hal remeh-temeh serta kisah di dalam kelambu.
Sekadar contoh: “Apa hukum jika isteri
terminum air mani suami?” “Saya terlanjur dengan kekasih dan mahu bertaubat.
Bolehkah?” “Apakah cara mengajar anak bersolat?”
Mujurlah masih ada beberapa pihak yang
boleh dijadikan tempat rujukan bagi mendapatkan maklumat sebenar mengenai
Islam; tanpa agenda politik perkauman dan manipulasi fakta,
atau kisah di dalam kelambu semata-mata.
Cabaran untuk mengenali Islam yang sebenar
menjadi lebih berat apabila kita terpaksa mendepani “usaha” puak seperti Ridhuan Tee Abdullah, Pertubuhan
Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)
menimbulkan prasangka antara kaum dan agama, serta manipulasi licik pihak
tertentu mengapi-apikan unsur perkauman atas nama “Melayu” dan “Islam”.
Dalam keadaan seperti inilah juga saya
sebagai seorang pengamal multifaith biasanya beralih kepada
bahan bacaan – khususnya majalah dan buku – terbitan beberapa penerbit
berwibawa yang saya yakini sepenuhnya tidak terbabas daripada nas Quran dan
Hadis.
Hal ini penting kerana jika kita tersilap
langkah, apa yang disajikan dan dipaksakan kepada kita oleh pihak tertentu
adalah “Islam Versi Melayu” yang mungkin
terbabas sedikit-sebanyak daripada Islam sebenar dan firman Allah.
Antara persoalan asas mengenai Islam yang
menarik perhatian masyarakat bukan Islam, serta masih menjadi tanda tanya dalam
kalangan orang bukan Islam (dan mungkin sekelompok orang Islam juga) adalah
topik berkaitan haram, halal, makruh, sunat, harus, wajib, najis, arak, anjing, samak, mazhab, babi dan salam.
[Makalah ini ditulis
pada 31 Oktober 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 3 November 2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan sendiri.]