8 Apr 2013

Masuk Islam, bukan Masuk Melayu

Baru-baru ini, saya menulis beberapa makalah yang secara khusus menyentuh Perkara 153 (Kedudukan Istimewa Orang Melayu) dan Perkara 160 (definisi “orang Melayu”) dalam Perlembagaan Persekutuan. Turut disentuh mengenai Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957 di mana wasiat itu turut menggariskan perkara berkaitan status agama Islam, tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu.
 
Makalah-makalah berkenaan adalahHak Istimewa Orang Melayu(Free Malaysia Today, 23 Februari 2013),Takkan Melayu Hilang di Malaysia(The Malaysian Insider, 25 Februari 2013),Ketuanan Rakyat dan Bangsa Malaysia(Roketkini, 26 Februari 2013),Hidayah Bangga Kekal Cina(Free Malaysia Today, 4 Mac 2013) danKami Tidak Masuk Melayu(The Malaysian Insider, 4 Mac 2013) – BOLEH DIBACA DI SINI.
 
Saya memang sudah menjangkakan reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Bagaimanapun, memandangkan niat saya adalah untuk membuka minda orang ramai untuk berdialog dan berbincang secara terbuka mengenai pelbagai perkara yang sebelum ini (mungkin) dianggap sensitif, maka saya menerima kesemua komen dengan gembira.
 
Persoalan paling asas yang menghantui fikiran ramai selepas membaca makalah-makalah berkenaan adalah pertanyaan sama ada seorang individu Bukan Melayu yang memeluk Islam akan lebih gemar menukar identitinya menjadi “orang Melayu” atau tetap berbangga untuk mengekalkan jati diri, budaya dan keunikan keturunan asalnya.
 
Seorang rakan, Azmal Narawi (Azuma) yang berasal dari Kelantan dan kini tinggal di Batu Caves, Selangor menghantar pautan bagi petikan dari Kitab Riyadh as-Solihin berkaitan topik hubungan silatulrahim dengan ibu bapa berlainan agama. Hadis yang dipetik adalah daripada Riwayat Bukhari dan Muslim.
 
Dalam huraian Hadis itu antara lain dijelaskan bahawa Islam menyusuh umatnya menghubungi ibu walaupun ibu itu bukan seorang Islam; hubungan anak dengan ibu adalah kekal walaupun berlainan agama dan kepercayaan; serta harus mengekalkan silatulrahim dengan keluarga asal (Bukan Islam) selagi mereka tidak memerangi Islam.
 
Bagi seorang guru, Mohd Hafiz Andrew Hafiz yang berasal dari Pahang dan sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), walaupun sudah mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam, beliau menegaskan: “Aku kekalkan kaumku.”
 
Seorang lagi individu India-Muslim yang saya kenali sejak Ogos 2011 ialah Haji Effendy Abdullah yang tinggal di Johor Bahru. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa pada bahagian “religion” (agama) di Facebook, beliau menulis “Good Muslim” (Umat Islam yang Baik).
 
“Islam adalah satu agama yang tidak dihakmiliki oleh mana-mana kaum, etnik atau bangsa; sebagaimana juga agama Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan sebagainya. Apabila seseorang memeluk agama Islam, orang itu hanya bertukar agama sedangkan kaum, keturunan atau etnik asalnya akan kekal hingga akhir hayat,” katanya.
 
Effendy turut menceritakan daripada pengalamannya bahawa pada musim haji di Mekah, penganut Islam yang paling ramai adalah dari negara-negara seperti India, China, Pakistan, Bangladesh, Turki, Afrika dan Rusia.
 
Tidak ambil kesempatan atas Perkara 160
 
“Jemaah haji dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand adalah relatif sedikit berbanding bangsa lain. Dalam isu yang dibincangkan pula, istilah ‘masuk Melayu’ adalah tidak betul sama sekali. Saya lahir dalam keluarga kaum India sebelum memeluk Islam. Saya tetap kaum India dan tetap juga mengikut hukum syarak Islam,” katanya.
 
Pesara ini turut menegaskan: “Saya tidak akan menjadi Melayu dan saya juga tidak mahu menjadi Melayu.”
 
Turut berkongsi pendangan itu adalah isterinya, Rohani Deraman yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan. Novelis ini juga sentiasa sedar dan akur pada hakikat bahawa lelaki yang menjadi pasangan hidupnya adalah lelaki kaum India beragama Islam.
 
“Ramai yang terlupa bahawa Islam itu agama manakala Melayu itu kaum. Islam adalah milik semua makhluk yang Allah berikan hidayah dan petunjuk. Jadi, agama Islam bukan milik mutlak orang Melayu sebagaimana disangka pihak tertentu,” kata Rohani yang juga amat mesra dengan adik-beradik iparnya yang beragama Hindu.
 
Apa yang amat unik mengenai Rohani adalah bahawa sejak berkahwin, dia sentiasa menjaga, menghormati dan melayan ibu mentuanya dengan penuh kasih walaupun mereka berlainan kaum dan agama. Saya melihat tindakan Rohani sebagai “dakwah positif” yang mampu memberikan gambaran tepat mengenai ajaran sebenar dalam Islam.
 
“Jika seseorang itu dilahirkan dalam keluarga kaum Cina, maka tetaplah itu kaumnya sampai ke hujung nyawa. Sekiranya individu itu memeluk agama Islam, apa yang perlu ditukar hanyalah sedikit cara hidup sekiranya didapati bertentangan dengan lunas dan ajaran agama Islam. Akan tetapi, perlu saya tegaskan bahawa seseorang itu tetap orang Cina, India, Portugis, Belanda, Iban atau apa sahaja walaupun selepas memeluk Islam,” tegas penulis sepenuh masa ini yang antara lain menghasilkan novel Jihad Mardina (2012).
 
Wajar juga dinyatakan bahawa Effendy dan Rohani adalah pasangan suami-isteri. Sepanjang saya mengenali mereka, pasangan itu tidak pernah cuba mengkategorikan Effendy sebagai “orang Melayu” walaupun beliau layak mengikut Perkara 160.
 
Perkara seperti ini tentulah berbeza dengan realiti yang dapat kita perhatikan sendiri di sekeliling kita saban hari. Malah, siri artikel saya mengenai topik “Melayu” tercetus berikutan insiden Ridhuan Tee Abdullah (nama asal: Tee Chuan Seng) menulis rencana bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013).
 
Saya ada menulis makalah bertajukAntara Konvoi Rumah Ibadat dan Ultra Kiasu(Projek Dialog, 19 Februari 2013) dan kenyataan media Ridhuan Tee Perlu Didakwah(Projek Dialog, 24 Februari 2013). Antara isi penting yang disentuh adalah mengenai individu “Bukan Melayu” yang memeluk agama Islam dan segera menganggap dirinya “lebih Melayu daripada orang Melayu”. Sekali gus, tindakan “ultra kiasu” mereka mencemarkan nama baik orang Melayu (tulen) dan kesucian agama Islam.
 
Menyentuh topik perbincangan yang berkaitan, Zuraimi Baharum @ Bani Omar tampil dengan pandangan berikut: “Rasa-rasanya Islam di Malaysia tidak berkembang kerana Islam telah diMelayukan; selain akhlak yang ditunjukkan oleh orang Islam itu sendiri, terutamanya orang Melayu-Islam.”
 
Seorang lagi individu yang mengemukakan pandangan serta berkongsi pengalaman ialah Anim Sri Mastika Yunus, seorang etnik Bajau dari Sabah yang sejak turun-temurun sudah beragama Islam. Beliau yang berasal dari Kota Marudu sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaysia Sabah serta kagum dengan pandangan politik Nabi Muhammad.
 
Kita sepatutnya meraikan kepelbagaian
 
“Dahulu, ketika datuk saya dari suku Dusun memeluk agama Islam, beliau tidak disebut sebagai ‘masuk Islam’ atau ‘masuk Melayu’ tetapi ‘ne kesama’ iaitu ‘masuk Bajau’. Di Sabah, suku Dusun, Murut dan Rungus antara suku/etnik yang secara keturunan beragama Kristian atau pagan,” kata Anim yang turut menguasai bahasa suku Dusun dan Bajau.
 
Beliau adalah anak kacukan Bajau-Dusun. Keturunan bapanya suku Dusun tetapi apabila datuknya memeluk Islam, maka keturunan itu turut mula dikenali sebagai orang Bajau (ne kesama).
 
“Walau bagaimanapun, saya bangga jika dikenali sebagai orang Dusun – bukan Bajau, bukan Melayu. Hal ini kerana asal-usul saya secara biologi dan genetik memang suku Dusun sebelum datuk masuk Islam dan ‘masuk Bajau’. Saya rasa konsep ‘masuk Bajau’ berlaku akibat kurang pengetahuan dan keadaan masyarakat pada zaman datuk saya,” kata Anim.
 
Rosihan Amri Md Zakaria, seorang guru di Pulau Pinang juga berkongsi pandangan dan hujah menerusi dialog yang berlaku dalam keadaan positif dan membuka minda.
 
“Saya seorang Melayu-Islam. Namun, saya merasakan stigma orang Melayu yang mendesak ‘saudara baru’ atau ‘mualaf’ mengikut sepenuhnya budaya Melayu dan menggunakan nama Melayu adalah salah sama sekali. Kita sepatutnya meraikan kepelbagaian kaum dan budaya; bukannya mengamalkan pemahaman yang sempit iaitu ‘Melayu adalah Islam’ dan ‘Islam adalah Melayu’,” kata guru itu yang tinggal di Sungai Petani.
 
Pandangan yang dikongsikan oleh rakan-rakan ini membuktikan bahawa kebanyakan masyarakat menyedari perbezaan antara “Melayu” dan “Islam”. Malah, apabila seseorang  “masuk Islam” tidak semestinya bermakna “masuk Melayu”.
 
Malangnya masih ada puak yang tidak tahu atau berpura-pura tidak tahu. Malah, tidak dapat dinafikan bahawa ada juga puak yang sengaja mengiktiraf dirinya “masuk Melayu” supaya boleh menjadi “orang Melayu” mengikut takrif Perkara 160 dan seterusnya “merampas” hak berupa kedudukan istimewa yang sebenarnya diperuntukkan untuk kaum Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-raja Melayu.
 
Semasa menyertai Konvoi Rumah Ibadat Seremban pada 17 Februari 2013, saya turut menerima cenderamata daripada Pertubuhan IKRAM Negeri Sembilan dan Hidayah Centre Negeri Sembilan.
 
Cenderamata itu adalah sebuah buku berjudul Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim (2009) tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir. Saya sangat berminat membaca buku terbitan Telaga Biru itu yang disusun secara komprehensif dan mudah dirujuk; khususnya bagi orang Islam (termasuk mualaf) dalam hubungan mereka dengan orang Bukan Islam (termasuk keluarga asal).
 
Puak ultra kiasu, etnosentrik dan fanatik yang tidak mampu atau tidak mahu membezakan antara “Melayu” (kaum) dan “Islam” (agama) amat wajar membaca buku ini sebagai suatu “dakwah diri” yang amat berguna dan pasti menginsafkan.
 
Langkah ini amat wajar bagi memastikan mereka tidak terus “sesat” dan meneruskan “dakwah negatif” yang memberikan gambaran tidak benar mengenai Islam kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
 
[Makalah ini ditulis pada 4 Mac 2013 dan disiarkan di Projek Dialog pada 5 Mac 2013. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi makalah berkaitan Melayu dan Islam. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]