[Selagi keluhuran Perlembagaan dan Wasiat Raja-raja Melayu dipelihara,
hak istimewa Melayu-Bumiputera akan tetap terlindung.]
Pada perenggan pertama lagi, biar saya
tegaskan bahawa makalah ini tidak sedikit pun cuba mempersoalkan apa-apa yang
termaktub dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Malah sebenarnya
bertujuan memperkukuhkan Hak Istimewa Orang Melayu sebagaimana dinyatakan dalam
Perkara 153.
Sesungguhnya, hak-hak istimewa (kedudukan
istimewa) orang Melayu bukan suatu perkara baru yang hanya muncul selepas
kemerdekaan (31 Ogos 1957); sebaliknya sudah sedia tercatat dalam Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Dalam Wasiat Raja-raja Melayu yang
ditandatangani pada 5 Ogos 1957, Raja-raja Melayu secara tegas menetapkan
syarat untuk memastikan akan kekal terjamin (antara lain) status agama Islam,
tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu.
Termasuk dalam senarai Hak Istimewa Orang
Melayu menurut Perkara 153 adalah jawatan dalam kerajaan, peruntukan biasiswa
dan bantuan ekonomi. Kesemua hak ini sesungguhnya dilindungi Yang di-Pertuan
Agong selaku primus inter pares.
Majlis Raja-raja Melayu perlu memberi perkenan jika apa-apa perkara berkaitan
mahu diubah.
Ramai yang tidak tahu dan tidak sedar
bahawa ada sepuluh perkara yang termaktub dalam Perkara 2 (a), Perkara 38 (4)
dan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diluluskan tanpa
persetujuan Majlis Raja-raja. Ketidaktahuan dan kejahilan seperti inilah yang
membuatkan pihak tertentu cepat melatah, melenting, melalak dan mengamuk dengan
andaian palsu bahawa ada orang yang sedang cuba menggugat Hak Istimewa Orang
Melayu.
Secara realiti, kalau sekalipun ditakdirkan
bahawa Rakyat memilih dan membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) supaya
Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan Pusat, kesemua perkara berkaitan Hak Istimewa
Orang Melayu tetap terjamin selagi Raja-raja Melayu berpegang pada tujuh wasiat
yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957.
[Makalah
ini ditulis pada 20 Februari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 23 Februari
2013. Makalah penuh termuat dalam buku Malaiur Manikam. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi
makalah berkaitan Melayu dan Islam. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]