Nama Rohani Deraman
memang sudah “melonjak naik” sejak 15 Ogos 2011 apabila
beliau berani tampil mendedahkan bahawa penerbit tidak mahu membayar walau satu
sen selepas cerpen dan novelnya diangkat menjadi teks Komsas.
Di sisi lain, penulis sepenuh masa
kelahiran Pasir Putih, Kelantan yang kini menetap di Johor Bahru, Johor terus
tekun menghasilkan karya-karya kreatif, khususnya novel.
Buku terbaru Rohani yang menggunakan nama
pena “Fida Rohani” ialah Jihad Mardina
(2012) dan saya menerima senaskhah novel itu semasa pertemuan kami pada 19
Februari 2012 untuk membincangkan perkembangan isu royalti teks Komsas.
Apa yang menarik perhatian saya terhadap
novel setebal 546 halaman ini adalah bahawa “jihad” dan “dakwah” yang dilakukan
oleh watak-watak dalam novel ini – serta oleh pengarang menerusi novel ini –
bukan kepada “orang luar”.
Sering kali, saya secara peribadi menjadi
amat menyampah membaca sekian banyak karya (cerpen dan novel) berunsur Islam
yang bagaikan berkhutbah dan berdakwah secara langsung kepada orang “Bukan
Islam”.
Misalnya, sebuah cerpen yang saya baca pada
Februari 2012 menampilkan suatu watak yang berasa amat bangga kerana “berjaya
menerbitkan keragu-raguan yang munasabah dalam perasaan dan fikiran” satu lagi
watak Bukan Islam. Pada saya, dakwah seperti itu amat bertentangan dengan ajaran
sebenar Islam.
Rohani pula berjaya mengangkat martabat
“seni berdakwah” menerusi novel ini apabila kumpulan sasaran yang perlu
“didakwahkan” adalah orang Islam sendiri.
Penulis tidak pula menggunakan cara, teknik
dan olahan konvensional dalam menjayakan misi itu. Sebaliknya paparan yang
disajikan amat segar dan sangat menyentuh jiwa.
Kehadiran watak-watak Datuk Iskandar dan
Datin Marisa mungkin kelihatan agak “skema” tetapi kisah sepenuhnya yang
dipaparkan tetap membawakan sesuatu yang baru.
Seperti diakui oleh Rohani, belakangan ini
banyak kes ibu bapa disisihkan anak-anak, serta anak-anak dipinggirkan ibu bapa
atas pelbagai alasan.
“Semuanya kerana kemunduran iman yang
semakin melata dalam generasi manusia yang semakin maju. Maka, saya terpanggil
untuk menulis apa yang amat menyentuh sensitiviti masyarakat kita,” katanya.
Kisah keluarga yang disulami pelbagai
masalah, cabaran dan rintangan dipaparkan dengan penuh kreatif sehingga pembaca
mampu menghayati sepenuhnya pengalaman yang dilalui oleh watak-watak dalam
novel ini.
Selain daripada Mardina sebagai watak utama
dalam novel ini, satu lagi watak penting yang perlu diberi perhatian adalah
Siti Fatimah, seorang mualaf yang memeluk Islam kerana cinta terhadap agama
itu, bukan kerana cinta terhadap kekasih.
Rohani ternyata membuat kajian mendalam
terhadap pelbagai isu semasa, al-Quran, hadis serta merujuk pakar bidang dalam
menghasilkan novel Islamik ini yang sebenarnya sesuai untuk bacaan umum.
Bagi pembaca beragama Islam yang “miskin
iman tapi mewah dunia” pula, novel ini mampu memberi peringatan penting: “andai
tiba-tiba sakratul maut datang menjemput sedangkan lafaz taubat tidak sempat
diucapkan”. ...
(Ulasan buku ini ditulis
pada 5 April 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 7 April 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)